26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Imam Hoslan Husin yang dijatuhi hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah kerana melempar selipar ke arah panel hakim dibebaskan dari penjara Kajang hari ini selepas didapati berkelakuan baik.
Beliau dilepaskan bersyarat di bawah perintah Parol dari Pejabat Parol Daerah Cheras di bawah Jabatan Penjara Malaysia kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi selepas menjalani hukuman penjara tujuh bulan tiga hari mulai 8 Mac lalu.
Hoslan dikehendaki melapor diri setiap minggu ke pejabat parol, atau pada bila-bila masa dikehendaki pegawai parol sehingga dibebaskan sepenuhnya pada 8 November 2012.
Hoslan turut perlu melapor diri jika ingin keluar dari daerah Cheras.
Isterinya, Noorliza Mat Isa, 43, bergegas hadir dari Hospital Kuala Lumpur dari menjaga anaknya akibat demam denggi.
“Syukur. Dengan kehendak Allah Taala saya dipenjara.Dengan kehendak Allah Taala dibebas. Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada saya dan keluarga,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peguam Karpal Singh; Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat kerana membelanya secara terbuka.
Hoslan menambah, beliau memaafkan pihak yang menganiainya, namun akan terus memperjuangkan keadilan kerana ia adalah ijtihad dalam hidupnya.
“Tidak ada yang lebih baik dari memaafkan. Kerana Rasulullah sendiri pun sentiasa memaafkan,” kata Hoslan memaklumkan, diberi kebenaran menyampaikan tazkirah kepada banduan dalam himpunan harian pagi ini.
Hoslan berkata, beliau akan meneruskan kehidupan dengan berniaga kitab-kitab agama.
“Kita jalankan kehidupan. Tidak ada masalah. Tidak baik sekiranya ada penyakit hasad dengki,” kata bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan ini.
Parol bermaksud pelepasan seseorang penghuni penjara yang mempunyai tarikh bebas dan layak, untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol.
Penghuni dikehendaki menjalani baki hukumannya di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol.
greennbox/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan