12 Oktober 2012

Filem sekarang kurang mendidik masyarakat - Sarimah

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN 12 Okt. - Skop filem tempatan kini semakin sempit kerana penggiat industri lebih menumpukan kepada "box office" berbanding usaha mendidik masyarakat, kata Seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

Beliau berkata sesebuah filem sepatutnya dapat dijadikan teladan oleh masyarakat, seperti yang diusahakan penerbit era dahulu terutama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

"Filem yang dapat beri pengajaran kepada orang kita semakin kurang titik beratkan. Dah tiba masanya kita ubah perkara ini untuk tingkat kualiti kehidupan dan banyak belajar dari filem yang baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Bual Bicara Bersama Seniwati Datuk Sarimah Ahmad Dalam Filem Tan Sri P. Ramlee anjuran Persatuan Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Persatuan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang di sini.

Beliau menyifatkan P. Ramlee sebagai insan yang sentiasa memandang ke hadapan serta mempunyai firasat tinggi kerana ada antara jalan cerita dalam filemnya benra-benar berlaku pada zaman ini.

"Beliau insan istimewa banyak perkara yang dia cakap akan berlaku. Sumbangannya paling bermakna adalah akronim pawagam yang pada asalnya adalah panggung wayang gambar. Itu beliau sendiri yang cipta sampai sekarang kita guna," katanya. - BERNAMA


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terlalu sedikit yang boleh dijadikan iktibar dari longgokan filem-filem melayu masa kini. Apalah sangat pendidikan dari filem yang boleh diperolehi oleh masyarakat selain dari perlumbaan kearah material, manakala pengeluar filem pula berebut-rebut peluang untuk box office dengan belanjawan filem yang jutaan ringgit sekadar nak tunjuk ekstrimnya gelagat melayu harini. Masyarakat tidak lagi terdidik oleh filem tapi sebaliknya masyarakat filem yang syok sendiri dengan penonjolan brutal dan kehidupan pura-pura.