12 Oktober 2012

Nurul Izzah : Husni Kurang Moral Kritik Belanjawan PR

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR 12 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini membidas kenyataan Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang mengatakan Bajet PR sebagai salah pengiraan dan ‘lemah matematik’.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyelar Husni sebagai kurang bermoral dan tidak layak mengkritik bajet PR.

“Saya rasa Husni tidak mempunyai kedudukan moral dan layak untuk mengkritik PR.

“Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 menemui 75 kes terlebih belanja dalam 14 kementerian daripada aspek pembayaran,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Manifesto dan Dasar PR menyambut baik kenyataan perbendaharaan yang mengakui ketepatan anggaran kos program PR.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata ia mengesahkan bahawa Kerajaan Pusat memandang serius segala cadangan dan penyelesaian ekonomi yang dikemukakan PR.

“Oleh sebab itu, dalam persidangan parlimen ini, ahli parlimen BN lebih gemar menghabiskan masa yang diperuntukkan membahas bajet PR.

“Tidak cukup dengan itu, menteri seperti Husni mengerah kakitangan awam di perbendaharaan dan jabatan lain bekerja lebih masa mencari bidasan kepada kami, ” katanya.

Jelasnya, kerahan itu adalah satu salahguna kuasa berbentuk partisan kerana PR tidak diberikan akses sama sekali kepada semua data,angka dan statistik yang diperlukan sepenuhnya untuk membuat unjuran.

Sehubungan itu, PR mengesyorkan penubuhan sebuah Pejabat Belanjawan Parlimen bebas yang bertanggungjawab menyediakan analisis belanjawan dan maklumat ekonomi kepada ahli parlimen secara objektif.

Katanya, cadangan itu sangat penting supaya perbahasan dasar dan keputusan kewangan boleh dibuat secara telus dan cepat.

“Sistem ini sudah lama digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia bagi membentuk amalan yang adil dan saksama kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Turut serta dalam sidang media tersebut MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

selangorkini/-

Tiada ulasan: