12 Oktober 2012

Air sungai berwarna hitam

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Air sungai berwarna hitam
 
Dari kiri, Hamzah, Azmi dan Ramsi menunjukkan air sungai yang sudah berubah warna dan lokasi sungai yang semakin kotor, kelmarin.
 
TAMPIN – Kebanyakan penduduk di Felda Sungai Kelamah, dekat sini, berasa kesal dan kecewa apabila sungai yang dahulunya menjadi lokasi mereka mandi sekiranya bekalan air terputus kini sudah berubah warna menjadi kehitaman.

Seorang penduduk, Ramsi Abdul Wahab, 69, berkata, sejak lebih 40 tahun tinggal Felda itu, sungai berkenaan tidak pernah tercemar dan menjadi tumpuan penduduk untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun menurutnya,  keadaan itu berubah sejak tiga bulan lalu, apabila warna air berubah menjadi kehitaman dan lebih buruk lagi pada Ogos lalu, banyak ikan mati di sungai berkenaan sehingga menimbulkan bau busuk.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi sebelum ini sungai adalah sumber air alternatif kami sekiranya bekalan air di Felda ini terputus. Malah, ada juga penduduk menggunakan air sungai ini untuk aktiviti penternakan dan pertanian mereka.

"Namun kini penduduk tidak mahu lagi menanggung risiko dan mengelak daripada menggunakan air sungai ini kerana takut ternakan atau tanaman mati,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kawasan sungai itu, dekat sini, kelmarin.

Hamzah Ibrahim, 49, pula berkata, sebelum ini, keadaan air sangat jernih sehingga penduduk boleh melihat ke dasar sungai tetapi  kini keadaan air hitam dan batu juga sudah berlumut.

“Tidak sangka tempat yang sebelum ini sangat cantik dan menjadi tumpuan kami sudah berubah seperti ini.

"Saya tidak tahu apa puncanya tetapi percaya ia disebabkan oleh aktiviti sebuah kilang kelapa sawit berdekatan," katanya.

Sementara itu, Azmi Mohd, 44, berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah pencemaran itu.

"Saya sudah mengetengahkan aduan kepada pihak JAS dan JPS melalui aduan atas talian, namun sehingga ke hari ini masih belum selesai.

"Oleh itu, diharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan Kempen Sayangi Sungai Kita dapat direalisasikan dan mencapai matlamatnya," katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: