12 Oktober 2012

TNB Johor tanggung rugi RM20 juta

26 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


TNB Johor tanggung rugi RM20 juta
Mohd Aminuddin
 
JOHOR BAHRU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor menanggung kerugian hampir RM20 juta akibat kecurian arus elektrik dari 2011 hingga kini.

Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, mana-mana individu yang dikesan melakukan kecurian arus ini bukan sahaja perlu membayar nilai kegunaan elektrik yang dicuri, malah berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Bagi mereka yang didapati melakukan pengubahsuaian ke atas meter bacaan ini, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990, iaitu TNB berhak menuntut kerugian hasil daripada apa yang telah dilakukan oleh pelaku kecurian elektrik ini.

“Sekiranya mereka yang disabitkan kesalahan melakukan kegiatan menggunakan elektrik secara haram atau mengganggu meter, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Aminuddin berkata, TNB menerusi Jabatan Jaminan Hasil mempunyai 120 anggota yang akan memantau secara rambang di tiga negeri wilayah selatan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Modus operandi pasukan ini akan melakukan tinjauan rambang ke kilang, premis perniagaan dan rumah kediaman untuk melakukan pemeriksaan.

“Jika didapati meter telah diusik, pegawai akan mengambil gambar sebagai bukti dan menggantikan meter baru. Siasatan akan dijalankan bagi mengesan nilai kecurian dilakukan berdasarkan trend penggunaan elektrik sebelum ini.

“Ada kes TNB dapat kesan membabitkan nilai kecurian RM1.9 juta bagi satu kes membabitkan kilang di Johor,” katanya.

Mohd Aminuddin turut menasihatkan pemilik premis atau rumah yang menyewakan bangunan milik mereka untuk menukar nama bil kepada penyewa.

“Menukar nama bil kepada penyewa jarang dilakukan pemilik premis atau rumah, namun ia memberi impak yang besar kepada pemilik kerana sekiranya berlaku kecurian arus, caj tersebut akan dituntut ke atas penama.

“Proses tukar nama ini mudah yang boleh dilakukan di pejabat TNB dengan berserta perjanjian sewaan,” katanya.

Jelasnya, hampir 15 peratus kes kecurian ini dibawa ke mahkamah namun TNB bersedia mengadakan rundingan kepada mana-mana pelanggan yang mengalami masalah ini.

sinar harian/-

Tiada ulasan: