29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Pada pertengahan tahun 90-an dulu saya menonton filem Jurassic Park,
cerita berbentuk sains fiksyen Amerika. Filem ini diarahkan oleh Steven
Spielberg, berdasarkan sebuah novel tahun 1990 oleh Michael Crichton.
Ceritanya
memang menggerunkan, kisah sekumpulan haiwan purba dari jenis Dinosaur
yang kononnya hidup 230 juta tahun lalu, menguasai sebahagian dari
daratan dan digeruni oleh semua makhluk lain pada waktu itu, demikian
menurut ceritanya.
Kini tulang-tulang spesies itu, khabarnya,
boleh dilihat di beberapa muzium di dunia, di mana kebenarannya tidak
pasti walaupun memang ada manusia percaya bahawa Dinosaur yang amat
menggerunkan itu pernah hidup di dunia ini. Namun kini hanya menjadi
sejarah.
Dinosaur memang tidak akan muncul kembali, tetapi ia
adalah imej dan symbol kepada suatu kuasa yang pernah menggerunkan di
masa lalu, bukan masa kini. Demikianlah kuasa, di mana-manapun ia akan
berakhir dan tetap berakhir.
Saya mengingat semuanya ini ketika
suasana negara ini berdepan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi,
sebuah pilihan raya yang luarbiasa dan sebenarnya pilihan raya adalah
mengenai kuasa. Jadi pertarungan untuk mendapat kuasa.
Selama 56
tahun Barisan Nasional - dulu Perikatan – memerintah negara ini dan ia
menjadi parti paling lama memerintah negara berasaskan nasionalisme atau
kelompok kaum menurut parti dalam komponan BN itu sendiri. Dengan
lamanya ia berkuasa, tentulah ia merasakan paling kuat, gagah dan tidak
mungkin ada parti lain, atau komponan parti lain, yang boleh
mengalahkannya.
Namun zaman telah jauh berubah dan keadaan juga
jauh ikut berubah dengan pantas. Di sinilah pemimpin dan pendokong
Barisan Nasional kelihatan gagal memahami perubahan ini, jauh sekali aan
keupayaannya menahan kelajuan perubahan ini.
Kini dalam PRU
Ke-13 ini mereka dilihat sangat terkejut menyaksikan kemaraan
pembangkang – Pakatan Rakyat - lawan politiknya yang mara dengan laju
dan tangkas bersama kebangkitan rakyat untuk memenangi PRU itu dalam
usaha untuk berkuasa di Puterajaya.
Dengan melihat keadaan inilah
ada penganalisis pro-BN dengan segera mengingatkan pemimpin BN akan apa
yang berlaku dengan parti LDP, Jepun dan Kuomintang, China, tumbang
kerana dilihat sebagai parti orang tua, parti warlords, parti feudal dan
parti komisyen.
Mereka bagaimanapun kembali berkuasa hanya
selepas memberi peluang kepada generasi muda dan pelapis serta
membebaskan diri daripada cengkaman golongan peniaga dan kapitalis.
Penganalisis
itu, dengan penuh kebimbangan, akhirnya menyeru BN supaya menerima
hakikat bahawa Pakatan Rakyat mempunyai nisbah pemimpin muda dan
berpelajaran yang lebih besar daripadanya. Hal ini, kata penganalisis
itu, menyebabkan PR dilihat sebagai lebih mesra generasi muda.
Kemudian
ada penganalisis lain membayangkan jika BN kalah kali ini maka ia
kemudian nanti akan dilupakan seperti Dinosaur yang disebutkan tadi di
mana ia pernah gagah, mendominasi bumi, tetapi akhirnya menjadi barang
purba yang menjadi tontonan ramai saja.
Oleh sebab itu,
orang-orang beriman percaya akan petunjuk al-Quran mengenai kuasa
seperti yang disebut di dalam al-Quran bahawa Allah memberi kuasa kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya dan akan mengambil balik kuasa itu dari
mereka yang tidak dikehendakinya.
“Katakanlah Wahai Tuhan
yang memiliki sekelian kekuasaan, Engkau beri kerajaan kepada siapa yang
engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki. Di
tangan-Mulah memiliki sekelian kebaikan, kerana sesungguhnya Engkaulah
yang berkuasa atas tiap sesuatu.” (Surah Ali Imran : ayat 26).
Ayat
ini menatijahkan bahawa kuasa itu hak Allah, bukan hak manusia. Ia
diwakilkan secara sementara kepada manusia dan Allah akan mengambil
kuasa itu kembali jika dikehendaki-Nya.
Dalam konteks
mendapatkan kembali kuasa melalui pilihan raya seperti yang berlaku
sekarang di negara ini, kelihatan pertarungan semakin sengit. Pakatan
Rakyat telah mendapat dokongan paling kukuh melalui kebangkitan rakyat,
terutama yang dicetuskan oleh Himpunan Bersih dan pelbagai himpunan lagi
serta para NGO dan anak muda.
Kebangkitan rakyat ini diperkecil
dan dilemparkan pelbagai tuduhan oleh media milik BN, tetapi akhirnya
mereka itu tidak berupaya menahan kebangkitan rakyat ini.
Dalam
PRU akan datang ini, Pakatan Rakyat menjadi saf utama atau barisan
depan, sementara di belakangnya adalah rantaian gelombang kebangkitan
rakyat yang akan mencetuskan tsunami politik seluruh negara dan ini yang
amat menggerunkan Umno/BN sekarang ini.
Hingga ke saat-saat
akhir saja baru ada kelihatan isyarat kegelisahan pemimpin dan pendukung
BN bahawa kebangkitan rakyat dan keupayaan Pakatan Rakyat sangat
mencabar kekuasaan mereka selama 56 tahun ini.
Padazaman dulu
ada orang kampung berkata, letaklah siapa saja jadi calon, asalkan
lambang kapal layar (kini dacing), maka calon itu tetap menang. Tetapi
kini segalanya berubah, pertarungan sangat sengit di semua kawasan
pilihan raya dan tentunya ini kejutan luar biasa bagi BN.
Sementara
itu, meneliti senarai calon-calon Pakatan Rakyat yang telah dikeluarkan
ternyata ratusan nama-nama besar, tokoh-tokoh muda yang segar,
berkalibar - agamawan, golongan profesional, jeneral tentera yang telah
bersara, tokoh pendidik, bekas pegawai tinggi polis, artis dan lain-lain
menunjukkan isyarat kepelbagaian tokoh telah menjadi calon PAS. Ia
bukan calon kitar semula atau calon yang tidak bermutu.
Sepanjang
ingatan saya, belum pernah ada lonjakan yang begini hebat bagi
pembangkang sepanjang sejarah pilihan raya dan ini adalah isyarat
kebangkitan rakyat yang luar biasa.
Kesimpulannya, kita menyaksikan bahawa Umno/BN tidak berupaya mendepani zaman yang berubah, menyebaban ia akan ditinggalkan.
harakahdaily/-