10 April 2013

Kesal hak Pas disabotaj

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kesal hak Pas disabotaj

Syed Othman (kiri) bersama Mohd Jailani (dua, kiri) dan barisan kepimpinan Pas Pasir Gudang menunjukkan dinding bangunan Pas yang diconteng sebagai salah satu tindakan provokasi
PASIR GUDANG – Pas negeri ini kesal tindakan sekumpulan 30 anak muda didakwa tidak menghormati demokrasi politik apabila membakar dan menurunkan bendera parti itu minggu lalu.

Timbalan Yang DiPertua Pas Pasir Gudang, Mohd Jailani Sukri berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi di Lebuhraya Pasir Gudang itu, menyaksikan secara jelas tindakan mereka.

Menurutnya, kehadiran kereta peronda polis ke lokasi berkenaan berjaya menyelamatkan keadaan apabila mereka bukan sahaja dibawa ke kereta, malah telah dihalau.

“Kami kesal kerana anak-anak muda ini bukan saja bertindak kasar dengan orang tua, malah di depan mata kami bertiga mereka koyakkan, turunkan dan pijak bendera kami walaupun dihalang polis.

“Semua bukti kami ada termasuk kehadiran seorang individu yang terkenal sehingga kumpulan itu bertindak semakin agresif,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, lebih 2,000 bendera Pas hilang sejak dipasang di kawasan Pasir Gudang.

Menurutnya, provokasi seperti itu menjadi-jadi sejak pembubaran Parlimen diumumkan 3 April lalu.

“Kita minta pihak berkenaan nasihat anak buah masing-masing.

“Pas tegas dalam perkara ini, kalau ada ahli  yang terlibat dalam menurunkan bendera lawan, kita akan singkirkan daripada berkempen,” katanya.

Katanya, pihaknya berhasrat mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

Menurutnya,  setakat ini lima laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, namun belum ada tindakan diambil.

Sinar/-

Tiada ulasan: