10 April 2013

Tak sempat duduki SPM

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


kemalangan

Motosikal mangsa ditemui remuk dan pecah di bahagian hadapan.
KULIM - Hasrat seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Tungku Putra di sini kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Dalam kejadian ini, mangsa maut selepas mendapat rawatan kecemasan di Hospital Kulim selepas ditemui cedera parah di bahagian kepala dan muka oleh orang ramai.

Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa menunggang motosikal yang baru dimilikinya hasil pemberian waris terdekat bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai datang dari arah Kulim menghala ke Kilang lama. Motosikal mangsa ditemui remuk di bahagian hadapan di Jalan Tengku Putra, Simpang Pusingan Taman Manggis 2 dan mangsa dipercayai dalam perjalanan balik ke rumah. Selain motosikal mangsa, tidak ada kenderaan lain berada di atas jalan.

"Sekiranya mangsa terbabas pastinya akan terdapat kesan pecah di kaki lima jalan bagaimanapun dari siasatan dijalankan, tidak ada tanda seperti itu di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, pihaknya percaya terdapat kenderaan lain terlibat dalam kemalangan ini.

"Sehingga kini kami mengklasifikasikan kemalangan itu sebagai langgar lari. Saya meminta kerjasama orang ramai yang ada di tempat kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Ismail turut menasihatkan golongan remaja supaya tidak keluar berpelesiran terutama pada waktu malam kerana ini boleh mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan.

Katanya, kebanyakan kereta dan kenderaan berat sering memandu dalam keadaan laju terutama pada waktu malam.

Sinar/-

Tiada ulasan: