29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUBANG PASU - "Tumbang juga rumah kami.'
Demikian luah seorang nelayan apabila kediamannya tumbang akibat angin kuat di Kampung Sanglang, dekat sini dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 petang sehari sebelum kejadian ribut di Kampung Paya, Pida 1 April lalu.
Abdul Wahab Ahmad, 60, berkata, keadaan rumahnya sebelum ini memang terlalu usang tambahan ia sudah lama mereput.
Menurutnya, sebelum kejadian dia ada memohon kepada pihak terlibat membaik pulih keadaan rumahnya itu namun tiada sebarang tindakan susulan sebaik permohonan itu dibuat sejak beberapa bulan lalu.
“Kali terakhir pihak terbabit hanya datang mengambil gambar kediaman dan apabila saya bertanyakan mengenai permohonan, mereka memaklumkan bahawa peruntukan tiada.
“Oleh itu, saya harap kejadian ini membuka mata pihak itu selain permohonan kami ini mendapat perhatian,” katanya.
Bagaimanapun, dia dan tiga lagi ahli keluarganya bersyukur dan bernasib baik kerana tiada sebarang kecederaan berlaku ketika kejadian.
“Hanya sebahagian kecil rumah kami yang tidak terjejas. Bermakna hanya ruang itu jadi tempat kami berteduh selain keadaan bumbung juga bocor,” katanya kepada Sinar Harian.
Adiknya, Normi Ahmad, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di bahagian bawah rumah dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat seakan gempa bumi.
Menurutnya, sebaik mendengar dentuman itu dia bergegas keluar dari rumah dan mendapati bahagian hadapan rumah yang diduduki bersama abangnya itu sudah menyembah bumi.
“Rumah ini memang usang dan mereput akibat anai-anai. Disebabkan angin kencang ia roboh dan saya merayu pihak terlibat dapat membaik pulih keadaan rumah ini segera agar kami dapat tinggal dengan lebih baik," katanya.
Sinar/-
1 ulasan:
tak ada peruntukan.. aduhai....
Catat Ulasan