10 April 2013

Kempen: Rais cipta alasan dangkal

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Respons Datuk Seri Rais Yatim Menteri Penerangan, Kebudayaaan dan Komunikasi mempertahankan Jabatan Penerangan boleh diguna untuk kempen BN sangat dangkal dan menunjukkan beliau tidak layak menjadi menteri.


Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, alasan bahawa kerajaan BN memerintah sehingga hari penamaan calon seolah-olah menyatakan selama BN memerintah semua premis kerajaan dan jabatan kerajaan boleh diguna untuk majlis parti politik BN.

“Adakah ini secara mutlak benar sedangkan terdapat prosedur am bahawa kegiatan politik parti tidak boleh diguna dalam premis agensi awam?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun ini adalah amalan BN selama ini akan tetapi ia jelas suatu pelanggaran etika demokrasi yang sangat ketara.


Ini juga, ujarnya adalah petanda kenapa selama ini dakwaan kerjaaan BN adalah tidak demokratik adalah benar.

“Apabila Rais mengguna alasan ia dibolehkan kerana kerajaan sementara masih berfungsi seperti kerajaan biasa, maka ia menunjukkan BN tidak mempedulikan sama sekali peraturan yang adil dalam pilihanraya,” ujarnya.

Katanya, di satu pihak parti politik pembangkang sama sekali dilarang mengguna premis agensi awam, malah adakalanya premis persendirian juga pernah disekat oleh pihak berkuasa, namun BN dengan mudah dan bebas menggunakan sekolah, universiti, maktab perguruan, pejabat kerajaan untuk kegiatan parti sewenang-wenangnya.

Menurutnya, dari segi mengguna peruntukkan wang sangat jelas juga pihak BN tidak merasa bersalah mengguna peruntukan awam dalam kegiatan parti politik.


“Pihak perbendaharaan negara nampaknya tidak bermasalah membenarkan hal ini malah tidak mengambil tindakan untuk memperbetulkan amalan perbelanjaan yang menyalahi peraturan awam,” katanya.

Katanya, jika itu yang dijadikan permainan politik BN, maka semua peraturan am yang menetapkan peraturan jentera birokrasi awam tidak boleh dipolitikkan tidak bermakna dan kalau begitu harus dimansuhkan oleh pihak JPA.

“Kami berpendirian bahawa politik yang jelas tidak menyalahgunakan agensi awam sepatutnya menjadi antara teras demokrasi, bukan sahaja ia tidak sepatutnya berlaku malah ia amat menyimpang dari segi peraturan kewangan negara.

“Kami membantah keras semua agensi awam dari diperalatkan oleh parti politik. Pihak SPR sepatutnya mengambil tindakan yang wajar untuk menegaskan persoalan ini,” ujarnya.

Jika tidak, tegasnya BN tidak layak membentuk kerajaan kerana perkara yang sangat asasi seperti ini tidak boleh difahami.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: