29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
ALOR GAJAH - Seorang anggota Rela cedera di kepala selepas motosikal dinaikinya dihalang dua kereta sebelum diserang dan dibelasah sekumpulan lima lelaki di pekan Alor Gajah, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Zamri Yaakob, 20, menunggang motosikal Honda EX5 bersama rakannya, Abd Rahman Abdullah, 26, dihalang dua buah kereta dinaiki lima lelaki sebelum dibelasah.
Kejadian turut mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah lagi motosikal ditunggang Mohd Nasir Daud, 21, dari arah Paya Datuk, di sini, sebelum diserang mengguna senjata tajam.
Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Gadek ditahan dua buah kereta berkenaan selepas membuat pusingan U untuk ke stesen minyak.
Bagaimanapun, katanya, muncul dua kereta itu dari Dataran Keris menghalang laluan masuk ke stesen berkenaan.
“Menyedari laluan dihalang, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lasak ditunggang seorang remaja.
“Akibat pertembungan itu, ketiga-tiga mangsa dari dua motosikal itu terjatuh sebelum turun sekumpulan lelaki dari dua kereta berkenaan menuju ke arah mangsa sambil membawa satu senjata,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang terkejut diserang cuba melindungi diri menggunakan tangan sementara rakannya melarikan diri ke belakang stesen minyak itu kerana tidak mahu terlibat dengan kejadian terbabit.
“Mangsa dipukul berulang kali dan berlaku pergelutan hingga mangsa dipijak di tengah jalan raya sambil menjerit minta tidak diperlakukan begitu dan seolah menafikan sesuatu ketika dipukul bertubi-tubi.
“Namun selepas beberapa minit kemudian anggota peronda polis tiba dan kumpulan lelaki itu terus memecut kereta ke arah Gadek dan mangsa dibantu orang awam dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya.
Penunggang motosikal lasak, Mohd Nasir Daud berkata, dia terkejut apabila melihat motosikal mangsa melencong masuk ke laluannya hingga dia gagal mengawal motosikal dan bertembung.
“Akibat pertembungan, saya terjatuh dan dihempap motosikal dan melihat mangsa dipukul bertubi-tubi hingga mangsa menjerit supaya tidak dipukul lagi sambil berkata “bukan saya bang”,” katanya.
Dia yang cedera di tangan kiri akibat dihempap motosikal dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dari dua motosikal berbeza dilaporkan stabil.
“Mangsa dipukul di bahagian kepala dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, sementara mangsa penunggang motosikal lasak mengalami kecederaan ringan di tangan, " katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan