10 April 2013

Kempunan nasi goreng ibu

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kempunan nasi goreng ibu

Mayat dibawa ke HTF untuk dibedah siasat.
KANGAR – Seorang remaja lelaki mati lemas selepas mandi di salah sebuah kolam air berdekatan Pangsapuri Taman Sena di Kampung Bakau, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohd Nasrin Mohd Hashim, 29, dipercayai lemas ketika sedang mandi seorang diri di kolam air itu.

Menceritakan detik sebelum kejadian, ibu mangsa, Kalsum Ahmad, 59, berkata, dia baru pulang kerja dan ditegur anaknya sebelum keluar dari rumah terbabit.

“Tidak semena-mena semalam, sebelum kejadian dia tegur makcik sambil tersenyum sebelum keluar rumah menuju ke kolam tidak jauh dari Sungai Perlis,” katanya.

Menurutnya, pada kebiasaannya, anak keempatnya itu gemar makan kari namun pagi kejadian dia enggan menjamah kari yang dimasak untuknya.

“Makcik hairan kerana dia tak mahu makan kari tapi suruh makcik goreng nasi untuk dia. Makcik tak sempat kerana terpaksa ke tempat kerja. Tak sangka pula itu jadi permintaan akhirnya," katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurut Kalsum, biarpun sukar menerima kenyataan namun dia redha dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Nasir Mohd Hashim, 33, berkata, adiknya yang mandi berseorangan dipercayai lemas manakala rakan-rakan yang lain berada di atas tebing.

“Mereka cuba membantu tetapi tak sempat kerana pada awalnya mereka sangka dia bergurau," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Nordin mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar/-

Tiada ulasan: