07 April 2013

Jadi tukang kempen Ibrahim Ali pun cukuplah

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Apa yang membuatkan Mahathir terlalu berdendam terhadap Lim Kit Siang (LKS) hanya beliau sahaja yang tahu. Rakyat hanya boleh mengagak apa yang didendamkan oleh Mahathir. Tetapi kita ketepikan isu sebab dendam Mahathir terhadap bekas Ketua Pembangkang itu tidak pernah padam malahan lebih menyala dari masa-masa lampau.

Mahathir mahukan UMNO dan BN menghabiskan riwayat LKS dalam politik kerana itu sahajalah cara untuk membuatkan LKS bersara. Kenyataan dendam kesumat begitu tidak terkawal sehingga beliau (Mahathir) meminta calon ‘heavy weight’ untuk diturunkan melawan LKS di Gelang Patah dalam pilihanraya seperti Ghani Othman yang sekarang penyandang kerusi Menteri Besar Johor. Dr Mahathir berkata LKS tidak mahu bersara seperti beliau dalam politik sejak begitu lama.

Tetapi kita bertanya pula kepada Dr Mahathir. Bagaimana pula beliau? Beliau masih lagi bermain politik yang begitu aktif sekarang ini walaupun sebelum ini beliau pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Sekarang masih lagi bermain politik dan tidak mahu berhenti-henti. Beliau masih lagi berperanan untuk mengganggu pelan dan kemahuan Najib Tun Razak dalam penentuan calon. Seperti saya katakan dalam posting yang lepas Mahathir masih lagi mahu menjadi penentu keadaan UMNO itu.

Jika UMNO terlalu kuat beliau mahukan kekuatan UMNO itu diturunkan dengan memberikan komen yang menjatuhkan kekuatan UMNO. Apabila UMNO sekarang sudah agak hampir jatuh dengan sebenarnya beliau turun padang untuk menaikkan sedikit kekuatan UMNO itu. Ini semua permainan politik Mahathir yang tidak mahu berhenti dari politik negara.

Yang terakhir pula Mahathir mahukan Ibrahim Ali diambil oleh Najib untuk menjadi calon UMNO di Pasir Mas. Beliau sentiasa masuk campur dalam urusan negara yang sedang diurus oleh Najib. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tidak siapa pun boleh mempengaruhi kehendak beliau dan beliau mentadbir negara mengikut kemahuan nafsu beliau sendiri.

Saya selalu berkata rakyat mesti bersatu kali ini di luar BN kerana jika rakyat bersatu dalam UMNO dan BN, mereka akan ditunggangi oleh kehendak Mahathir dan kroni serta keluarga beliau sendiri. Mahathir tidak henti-henti bermain politik walaupun beliau telah bersara. Keadaan politik yang kucar-kacir sekarang berpunca lama dahulu, iaitu semasa zaman beliau menjadi peneraju negara ini. Hasilnya kita boleh lihat sekarang.

Yang rakyat bergerak untuk melakukan perubahan ini adalah kerana gara-gara beliau. Apabila beliau bersara Mahathir telah mewarisi negara kepada pemimpin yang tidak pernah dididik oleh beliau dengan nilai murni, sebaliknya mewariskan kepada pimpinan yang tidak mampu menjaga kehormatan negara dalam erti sebuah negara berdaulat sebenarnya.

Rasuah besar yang bermula di zaman beliau telah melarat dan menjadi barah dalam kerajaan hari ini. Barah ini tidak dapat dikawal lagi.

Tidak apalah begitu, tetapi biarkanlah rakyat membetulkannya. Tetapi Mahathir kembali berpolitik dan UMNO tidak mampu untuk membuat keputusan dengan betul kerana campur tangan beliau dalam politik tanah air.

Dr Mahathir lah yang sepatutnya bersara dan beliau sepatutnya tidak lagi bermain politik. Jangan hendak mengata LKS sedangkan beliau lebih gila bermain politik dan UMNO kini tidak boleh lagi membuat keputusan sendirian tanpa campur tangan Mahathir.

UMNO yang lemah sekarang inilah yang dikehendaki oleh Mahathir kerana kelemahan UMNO hari ini membolehkan beliau menjadi penting dan terus-terusan berpolitik.

Asalkan boleh bermain politik menjadi tukang kempen Ibrahim Ali pun jadilah. Yang penting beliau terus berpolitik. Belum lagi beliau berniat untuk bersara. -http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Masalah terbesar Najib adalah 'Cah Keting'

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


DATUK Seri Mohd Najib Razak sudah pasti akan berdepan dengan masalah ahli-ahli partinya 'chah keting' sesama sendiri apabila nama calon-calon dari Umno yang akan bertanding di dalam pilihanraya umum ke-13 diumumkan tidak lama lagi.

Tanda-tandanya memang cukup nyata. Di sana sini, ahli-ahli peringkat akar umbi sibuk bercerita siapa yang digugurkan dan siapa yang terpilih sedangkan senarai calon yang akan mewakili Umno dan bertanding atas tiket Barisan Nasional masih belum dimuktamadkan lagi.

Najib sendiri telah meminta ahli jemaah menterinya ketika mensyuarat Kabinet terakhir Rabu lalu supaya jangan mendengar khabar angin mengenai siapa yang telah digugurkan atau siapakah yang akan menjadi menteri besar selepas pilihanraya nanti.

Tetapi belum pun sampai 24 jam Parlimen dibubar, Umno berdepan dengan kira-kira  150 ahli Umno bahagian Kangar, Perlis yang berang meminta pucuk pimpinan parti tidak mengemuka calon "payung terjun" di Parlimen Kangar.

Mereka nekad bermalam didalam bas sepanjang perjalanan dari Kangar ke Kuala  Lumpur untuk berkumpul diluar bangunan Putra World Trade Centre pada pagi Khamis untuk menyerah memorandum kepada Najib yang hari itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan seterusnya Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Mereka mahu supaya orang dari Umno Kangar dicalonkan untuk kerusi Kangar  sekiranya ahli Parlimen Kangar Datuk Radzi Sheikh Ahmad tidak dicalonkan untuk mempertahan kerusi yang disandangnya.  

Yang anihnya mereka yang memprotes ini  telah bertindak bukan kerana perkara yang sahih tetapi atas khabar-khabar angin yang bertiup kencang yang Radzi tidak dicalon semula dan ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya, yang bukan dari Umno bahagian Kangar, yang akan bertanding di Kangar.

Bayangkan keadaan yang akan berlaku apabila senarai penuh calon-calon Umno diistiharkan. Tentu ada yang akan bertindak lebih dasyat lagi daripada kumpulan 150 orang ini.

Sebenarnya senarai calon-calon BN masih didalam proses kemaskini dan akan diumukan seminggu sebelum penamaan calon untuk memberi masa kepimpinan parti memujuk yang merajuk kerana tidak terpileh dan mengambil tindakan disiplin kepada yang terang-terang mensabotaj parti kerana tidak berkenan dengan calon-calon yang terpilih.

Tetapi dek kerana terlalu ghairah untuk menjadi calon atau mahu orang-orang tertentu menjadi calon, penyokong-penyokong telah bertindak tanpa menunggu mendapat kesahihan berita yang bertiup kencang.  

Terlalu banyak spekulasi di bawah selepas pembubaran parlimen sehingga ada penyokong pimpinan bahagian terang-terang menyatakan pilihan hati mereka melalui sepanduk dan kain rentang dan juga memorandum kepada pemimpin-pemimpin tertinggi parti.  

Najib sendiri amat arif akan penyakit yang dialami Umno saban kali tiba musim pelihanraya dan sedia maklum ia amat susah untuk diatasi lebih-lebih lagi dia sendiri mahu melakukan perubahan dengan mengemuka calon-calon yang menepati citarasa pengundi.

Muka-muka baru dikalangan teknokrat and professional difahamkan akan tersenarai sebagai calon Umno kerana mereka menepati kriteria winnable yang ditetapkan olehnya.

Kerana takut masalah sabotaj parti sepertimana yang berlaku pada pilihanraya umum ke-12 berulang, Najib berterusan menasihat pemimpin akar umbi Umno semasa lawatan ke negeri-negeri supaya tidak melakukan perkara-perkara yang akan memberi kesan negatif kepada peluang Umno memenangi lebih banyak kerusi.

Malang sekali bagi parti nasionalis ini, ahli-ahlinya  tidak mengambil iktibar dari apa yang berlaku semasa piliharanya umum lalu.

Kajian parti telah mendapati 47 kerusi parlimen telah disabotaj oleh warlords Umno yang marah kerana diketepikan dan ahli-ahli parti meredakan kemarahan dengan mengundi calon-calon daripada parti pembangkang, merosakkan kertas undi ataupun tidak keluar mengundi pada piliharaya 2008.

Kajian post mortem ke atas keputusan pilihanraya itu juga menunjukkan ahli-ahli Umno sendiri tidak mengundi calon Umno kerana calon-calon Umno telah memperolehi 2 juta undi dari 5.7 juga undi Melayu yang berdaftar ketika itu. 

Sekiranya yang mengundi calon-calon Umno kesemuanya ahli Umno, ini bermaksud satu juta ahli Umno sendiri tidak mengundi calon-calon Umno kerana keahlian Umno menjangkau 3 juta orang.

Yang untung dari pergaduhan dalaman Umno ini tidak lain dari Pakatan Rakyat.

Harakahdaily/-

PRU-13 cuba dikaitkan dengan 13 Mei?

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



(Mohamad Sabu berucap di Lenggong)

LENGGONG: Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kemungkinan akan dijalankan pada awal bulan Mei.

Menurutnya, ini bertujuan untuk Umno memainkan isu Tragedi 13 Mei kepada rakyat khususnya orang Melayu.

"Saya jangkakan pilihanraya akan diadakan pada awal bulan Mei ini bertujuan untuk membangkitkan isu Tragedi 13 Mei," katanya ketika berucap pada Ijtima' Pilihanraya PAS Perak yang diadakan di Kg Luat, Lenggong.

Beliau menjelaskan, jika dilihat ketika ini, pelbagai sepanduk dan papan tanda tentang keamanan dan kestabilan negara.

"Sepanjang lebuhraya Johor hingga Perlis, kita boleh lihat pelbagai jenis sepanduk tentang keamanaan, kestabilan, kacau bilau dan huru hara.

"Kini papan-papan tanda itu diletakkan diseluruh negara," jelasnya lagi.

Justeru itu, beliau menggesa semua jentera meyakinkan kepada rakyat bahawa kacau bilau dan huru-hara tidak akan berlaku sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Jelas beliau,tanggapan tersebut hendaklah ditangkis supaya ianya tidak mempengaruhi masyarakat.

"BN akan menanam tanggapan itu dalam pemikiran seluruh rakyat dinegara ini hingga hari mengundi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, Dato' Seri Najib dalam ucapan pembubaran parlimen turut menjamin perubahan kuasa akan berlaku dalam keadaan tenteram.

Ketua Polis Negara juga katanya telah mengatakan pihaknya akan menjalankan amanah dengan profesional jika negara diterajui oleh kepimpinan yang baru.

"Jadi rakyat tidak perlu risau tentang itu, negara akan aman sekiranya pemerintahan bertukar," jelas Mohamad Sabu.

Harakahdaily/-

Pemuda lembam hilang, bapa rayu bantuan orang ramai

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


GEORGETOWN - Seorang bapa dari Sungai Dua, Gelugor di sini memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anak lelakinya, Mohd Tarmizi Hamid, 39, yang hilang sejak 21 Mac lepas.
Hamid Man, 76, berkata anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana lembam dilihat penduduk sekitar berjalan sehelai sepinggang ke arah perhentian bas berdekatan kawasan perumahan mereka semasa hari kejadian.
"Anak saya tidak pernah pergi begitu jauh. Biasanya akan pulang ke rumah jika keluar dan dia tidak pernah merayau sampai jauh malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hamid berkata laporan polis telah dibuat pada 24 Mac lepas namun masih tiada perkembangan positif diterima.
Katanya beliau sekeluarga bimbangkan keselamatan dan kesihatan anak keempat dari enam beradik itu kerana dia perlu mengambil ubat setiap hari ekoran penyakit lembamnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak Mohd Tarmizi diminta menghubungi Hamid di talian 012-4933015 atau balai polis berdekatan.- Bernama

PAS Perak umum calon 9 April

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: PAS Negeri Perak akan memperkenalkan calon-calon yang mewakiliinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 ini pada satu program khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pasir Panjang pada jam 9 malam 9 April ini.


Ia akan diumumkan sendiri oleh Haji Abu Bakar Hussien, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. 

Program ceramah yang akan berlangsung di Batu 10, Lekir, Lumut pada jam 9.00 malam amat bermakna kepada semua jentera PAS semua peringkat.

Semua pimpinan PAS semua peringkat akan hadir ke program yang bertemakan ‘PeraKite’ itu termasuk semua penyokong bagi mendengar pengumuman tersebut. 

"Kami juga akan melaksanakan ‘siaran langsung’ majlis penting tersebut melalui laman blog – www.perakitedaily.blogspot.com bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat Perak untuk turut mengikuti pengumuman bermakna tersebut," kata Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al Amin dalam satu kenyataannya. 

Ini jelas membuktikan bahawa PAS memang telah bersedia dan mendahului Umno Negeri Perak yang sebagai pesaing utama PAS selama ini, tambah beliau dalam kenyataan itu.

Harakahdaily/-

Polis tahan 2 lelaki, rampas surat kesultanan sulu

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Polis menahan dua lelaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam satu operasi di Tanjung Baru, Pulau Bumbum, Semporna awal pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berumur lingkungan 50-an dan disahkan bukan warga tempatan.

Beliau berkata satu fail putih mengandungi dua surat kesultanan Sulu dan beberapa senjata berbahaya turut dirampas dalam operasi 6.30 pagi itu.

"Tangkapan dan rampasan itu boleh mengaitkan mereka terlibat dalam kegiatan pengganas ini," katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Unit Media Ops Daulat di Lahad Datu.

Menurut SMS itu, statistik terkini tangkapan di bawah Sosma adalah 135 dan jumlah pengganas yang ditembak mati seramai 70 orang.

-Bernama

Aktivis Tolak berdepan samseng di Johor

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



JOHOR BHARU:  Aktivis Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) yang menjelajah ke Johor hari ini berdepan sekumpulan samseng yang menghalang kemasukan mereka untuk bertemu masyarakat di sini.

Dalam kejadian pagi tadi, samseng-samseng tersebut cuba menahan kumpulan mereka yang berkumpul di sekitar kawasan Masjid Tan Sri Ainudin Wahid di sini bagi memulakan programnya.

Salah seorang dari mereka (gambar atas), meninggikan suara dengan memberi amaran agar aktivis Tolak keluar dari kawasan tersebut atau kereta mereka akan dirosakkan. 

"Kau masuk sini minta kebenaran tak. Sekarang kau belah, aku terajang kereta ni nanti kan pecah, ko belah sekarang," katanya.

Sekumpulan anggota polis yang berada di tempat kejadian bagaimanapun segera meleraikan samseng-samseng ini.

Tidak mahu insiden yang tidak diingini berlaku, kumpulan aktivis Tolak tersebut kemudiannya bersurai.

Johor merupakan destinasi kedua jelajah mereka selepas Melaka semalam.

Bagi meneruskan acara jelajah mereka, kumpulan itu kini ke KIP MART untuk mengumpul tandatangan rakyat sebagai tanda sokongan rakyat menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).



Harakahdaily/-

TG Nik Aziz doakan orang yang fitnahnya berubah

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Biar pun sering menjadi mangsa fitnah namun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa dan berharap mereka akan berubah suatu hari nanti.

Menteri Besar berkata, beliau tidak akan ambil tindakan mahkamah ke atas golongan terbabit biar pun kerap lagi melemparkan tuduhan fitnah terhadapnya.

“Umno yang tolak Islam, saya minta agar semua orang Umno dapat menerima Islam sepenuhnya. Macam mana kalau dah tolak Islam, amalan nak diterima Allah.

“Tolak Islam kerana menganggap Islam dah habis tempoh adalah berdosa,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan Pawah Rusa kepada 10 peserta di Pejabat Veterinar hari ini.

Mengenainya tindakan media menyiarkan separuh sahaja ucapannya, beliau berkata, itu satu kesalahan dilakukan pengamal media terutamanya yang dimiliki Umno.

“Sebab itu kita tak hairan ucapan kita sering diputar belitkan oleh media mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, mereka yang menyokong perjuangan Islam namun kedekut dan tidak ikhlas dalam sembahyang pun tidak mendapat pahala.

Sementara itu kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar memperuntukkan RM220,000 bagi melaksanakan penternakan rusa di negeri ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, seramai 10 peserta pertama dipilih Jabatan Veterinar sebagai projek perintis menternak rusa di Kelantan.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Suratan Kamaruddin dan Timbalan Dekan Falkuti Veterinar UMK, Dr Mokhtar Arshad.

Harakahdaily/-

Calon 'muka baru' Pas turun padang, nekad pertahan Baling

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
BALING - Calon Pas kerusi Parlimen Baling, Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad kini giat memperkenalkan dirinya kepada rakyat khususnya kepada jentera parti.

Bekas Pengarah Kor Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) itu mengatur pergerakan di setiap Unit Peti Undi (UPU) bermula di Kuala Ketil, Kupang dan Bayu.

Tempoh memperkenalkan diri ini penting berikutan Najmi merupakan ‘muka baru’ walaupun dia adalah anak tempatan Baling.

Najmi berkata, dia yakin rakyat Baling boleh menerima kehadirannya walaupun pihak lawan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kita tahu rakyat Baling melihat kepada mereka yang mempunyai pendidikan agama. Namun begitu, ia tetap bergantung kepada pengundi itu sendiri,” katanya semasa ditemui di UPU Felda Teloi Kanan, di sini.

Ditanya adakah beliau tergugat dengan gerak kerja yang dilakukan kepimpinan Umno Bahagian Baling, Najmi berkata, dia tidak berasa tergugat.

“Ia bergantung kepada ‘mood’ rakyat Baling. Walaupun Barisan Nasional (BN) menggunakan material sebagai langkah memancing undi, ia tetap bergantung kepada pengundi,” katanya.

Najmi berkata, dia tidak pernah terfikir untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan pemilihannya sebagai calon amat mengejutkan.

“Saya memang tidak pernah terfikir untuk bertanding. Namun begitu, saya menghormati dan menerima keputusan parti dengan hati terbuka,” katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin Md Taib turut menyokong penuh pemilihan Najmi sebagai calon Parlimen Baling.

Sinar/-

Hadi Awang: Pas kerjasama dengan PKR, DAP kerana tidak menentangnya

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
ALOR SETAR - Pas memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana kedua-dua parti itu tidak menentangnya, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Umno menolak pelaksanaan hukum Islam yang kita (Pas) mahu.
Kita tidak akan bekerjasama dengan syaitan. Oleh kerana DAP tidak menentang kita, lebih baik kita bekerjasama dengan mereka dan PKR," katanya semasa berucap melancarkan manifesto pakatan ketiga-tiga parti itu di Kedah di Kompleks Pas Batu 9, dekat sini malam tadi.
Ketika ditanya pemberita selepas itu adakah perkataan syaitan yang digunakannya merujuk kepada Umno, beliau hanya berkata "Itu kena tanya (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad). Saya hanya mengulangi amanat Tun Dr Mahathir."
(Dr Mahathir pernah dipetik menggunakan pepatah Inggeris "better the devil you know than the angel you don't' yang membawa maksud "lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali" tetapi telah diminta bertaubat oleh Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din baru-baru ini kerana dikatakannya Dr Mahathir membuat kenyataan sanggup bersama dengan syaitan.

Ketika mengulas permintaan pemimpin Pas itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata Harun Din berkata demikian kerana mungkin beliu tidak mahir dengan loghat pepatah Inggeris sehingga membuat tafsiran sedemikian (devil itu syaitan).
Abdul Hadi mendakwa Umno tidak memahami konsep negara berkebajikan yang hendak dilaksanakanya apabila parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan PKR.
Katanya konsep itu lebih luas dan berlainan dengan yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu memberi bantuan kepada fakir miskin, membina rumah orang susah dan subsidi tertentu.
Beliau berkata negara berkebajikan Pas meliputi pemberian susu percuma untuk anak baru lahir, rawatan dan subsidi.
Katanya Pas telah 99 peratus memuktamadkan pemilihan calon untuk di 76 kawasan dalam PRU13 dan nama mereka akan diumumkan bila-bila masa sahaja. - Bernama

Johor diselubungi teka-teki calon MB baru

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Abdul Ghani Othman

Datuk Abdul Ghani Othman
JOHOR BAHRU - Teka-teki paling popular di Johor ketika ini menyentuh persoalan berhubung siapakah calon Menteri Besar Johor yang baru menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman.
   
Rakyat Johor sudah hampir pasti akan mendapat Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Ghani yang telah memimpin negeri selatan tanah air ini selama empat penggal bermula dari 1995.
   
Dengan Abdul Ghani, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sudah hampir pasti akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baru.
   
Menteri Besar itu kini disebut-sebut akan mempertaruhkan dirinya menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah, di dalam pertandingan yang disifatkan sebagai "Titanic Battle" pada PRU-13.
   
Di antara nama yang paling kerap disebut rakyat Johor ketika ini adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin, yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang.

Sebenarnya nama Mohamed Khaled telah pun disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas, tetapi ia tidak menjadi kenyataan pada saat-saat akhir.
   
Menteri Pengajian Tinggi itu dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pertimbangan yang penting bagi mereka yang menaruh harapan mahu menjadi Menteri Besar Johor.
   
Menurut beberapa pemimpin Umno negeri yang enggan dinamakan, Khaled merupakan calon teratas dalam senarai pemimpin Umno yang menjadi pilihan untuk mengambil alih tempat Abdul Ghani. 
   
"Khaled mempunyai dua pilihan iaitu sama ada bertanding di dua kerusi DUN iaitu Tiram atau Tanjung Puteri kerana DUN Permas yang berada di bawah Parlimen Pasir Gudang merupakan milik MIC," katanya.
   
Bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi itu dijangka memilih DUN Tiram kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Parlimen Pasir Gudang bagi membolehkannya terus dekat dengan kawasan parlimen itu.

Jika beliau memilih untuk bertanding di DUN Tanjung Puteri pula, Mohamed Khaled dijangka akan berganding semula dengan mentornya Anggota Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
   
Selain Menteri Pengajian Tinggi, nama-nama lain yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu termasuk Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.
   
Nur Jazlan, Pengerusi UDA Holdings dan seorang akauntan bertauliah juga dilihat calon sesuai untuk jawatan Menteri Besar Johor bagi meneruskan usaha agresif kerajaan negeri dan Pusat untuk menarik pelaburan ke Johor dan Iskandar Malaysia.
   
Anggota Parlimen Pulai itu yang cenderung dalam bidang ekonomi, juga fasih berbahasa Mandarin dan mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura serta komuniti perniagaan republik itu.
  
Bagaimanapun, akhir-akhir ini muncul satu lagi nama pemimpin Umno yang menjadi sebutan ramai di Johor sebagai calon Menteri Besar iaitu, anggota DUN Kukup Datuk Md Othman Yusof yang mesra dengan panggilan "Datuk MOY".
   
Beliau merupakan pemilik majalah komik terkenal "Ujang." - Bernama

Gangguan bekalan air di lima daerah di Negeri Sembilan, Selasa ini

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SEREMBAN, 7 April — Beberapa kawasan di Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Port Dickson akan mengalami gangguan bekalan air Selasa ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan loji rawatan air dan pemasangan injap.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Azlan Abdul Aziz berkata gangguan bekalan air mulai 10 pagi hingga 8 pagi keesokannya (10 April) di Rembau melibatkan Simpang Linggi, Dusun Sri Alam, Exevalley Orchid Park, Kampung (Kg) Delima, Kg. Kundur Hilir, Kolej Kemahiran Tinggi, Jalan (Jln) Bunga Raya, Kg. Datuk Keramat, Sekolah SAINS, Desa Permai Kundur, MLK Estet, Kg. Pelabar Luar, Kg. Pelabar Dalam, Jln. Masjid Lama, Kg. Sg. Semerah Padi dan Jln. Kasturi.
“Turut terlibat ialah Jln. Perigi Jerneh, Jln. Balai Panjang, Kg. Pengkalan Durian, Ladang Bukit Bertam, Kg. Bukit Bertam, Kg. Sungai (Sg) Radin, Kg. Sg. Timun Dalam, Kg. Sg. Timun Luar, Rumah Rakyat Lubuk Cina Fasa 1 & 2, Dataran Lubuk Cina, Kg. Semin, Kg. Dato Shahbandar, Panchang 1-8, Kg. Haji Sulaiman, Kg. Baru Semin, Ladang Sg. Baru, Pasar Lubuk Cina, Jln. Tok Bidan, Jln. Harimau Terjun, Jln. Paya Mengantuk, Kg. Titian Bintangor, Jln. Mesin Kelompok, PLKN Titian Bintangor, Jln. Limau Kambing, Kg. Nerambai dan Kg. Titian Akar,” katanya di sini, hari ini.
Katanya di Port Dickson pula kawasan yang terlibat ialah Pengkalan Durian (Rumah Rakyat 1&2), Taman (Tmn) Linggi, Kg. Linggi, Pengkalan Kempas, Permatang Pasir (Rumah Rakyat Permatang Pasir, Sua Manggis), Tarzan Estate, Bukit Kuau, Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Sg. Raya, Bukit Kepong, Batu 18,19,20,21,22 Pengkalan Kempas, Batu 16 sehingga Batu 12 Jln. Pantai, Telok Pelanduk, Tmn. Politeknik, Tmn. Intan Perdana 1, 2 & 3, Bukit Perdana, Tmn. Anika, Blue Lagoon, Telok Kemang, Bandar Sunggala, Escort dan Batu 12 sehingga Batu 4 Jln. Pantai.
Azlan berkata di Tampin, gangguan bekalan air mulai 8 pagi hingga 12 malam melibatkan Felda Sg. Kelamah 1 hingga 3, Kg. Sg. Dua, Kg. Tenai, Maju Ternak, Kg. Kurnia Diraja, Kilang Papan Jalan Gemas, Kg. Londah, Kg. Ladang, Kg. Bangkahulu, Kg. Ulu Ladang, Taman Halacara Baru dan Ladang Tabong Haji Kg. Londah, manakala di Jempol melibatkan seluruh kawasan Pekan Bahau, Rompin dan Serting.
Sementara itu, beliau berkata di Kuala Pilah gangguan bekalan air pada waktu yang sama (8 pagi-12 malam) melibatkan Tanjung Ipoh, Kg. Merual, Kg. Seri Menanti, Kg. Mertang, Kg. Pulau, Kg. Sikai, Kg. Gunung Pasir, Kg. Tengah Ulu, Kg. Taman Pemarak, Kg. Tengah, Kg. Bukit Perah, Kg. Gamin, Kg. Seberang Pekan, Kg. Bemban, Kg. Senaling, Kg. Batu 1 Jln. Tampin, Kg. Seri Pilah, Kg. Batang Pilah, Kg. Cheriau dan  Tmn. Bahagia Delima. Selain itu, Kg. Gachong, Kg. Batu 46, Kg. Pilah Tengah, Kg. Tanah Melintang, Tmn. Bukit Intan, Kg. Bukit, Kg. Bukit Temensu, Tmn. Selasih, Tmn. Desa Aman, Tmn. Desa Melang, Tmn. Mutiara Impian, Tmn. Nesa, Kg. Gemencheh Ulu, Kg. Tangkoh/Sikota, Kg. Air Mawang, Kg. Eyor, Kg. Renggoh, Kg. Nuri, Kg. Betong, Kg. Tanggai, Kg. Tumang, Kg. Padang Jual, Kg. Melekai, Kg. Kuala Johol, Kg. Gating, Kg. Dingkir, Kg. Selaru dan Kg. Masjid Tua.
Turut terlibat ialah Kg. Simat, Kg. Tulang Rimau, Kg. Ulu Inas, Kg. Baru Air Mawang, Kg. Kabong, Kg. Geduhom, Kg. Malan, Kg. Kepis Ulu, Kg. Kepis Hilir, Kg. Kepis Baru, Kg. Simpang Dangi, Desa (Kg. Baru) Dangi, Desa (Kg. Baru) Kepis Batu 10, Kg. Seri Kepis, Kg. Pelangai, Kg. Kuala Jemapoh, Kg. Seri Jemapoh, Kg. Beting, Kg. Kuala Gentam, Kg. Seri Pandan, Kg. Jemapoh, Kg. Desa Jemapoh, Kg. Mara Parit Tinggi, Kg. Desa Parit Tinggi, Kg. Gentam, Kg. Rembang Panas, Kg. Terusan Seberang, Kg. Kuala Rembang Panas, Kg. Sg. Jelutong, Kg. Jerjak/Padang lebar, Kg. Sg. Talan, Kg. Terusan, Kg. Juasseh Pekan, Kg. Desa Anggerik, Kg. Bukit Gelugor, Kg. Juasseh Kapitan, Kg. Terusan Ulu, Kg. Juasseh Tengah dan Kg. Pasir Ambor.
Azlan berkata bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa.
Beliau meminta pengguna yang memerlukan perkhidmatan pada hari berkenaan supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982. — Bernama

Pakatan: Manifesto BN ciplak idea kami, tak mesra rakyat

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Manifesto

Manifesto
SHAH ALAM - Di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) bahawa manifesto yang dibentang malam tadi memenuhi aspirasi rakyat, pembangkang menyifatkan ia sebagai satu janji yang hambar, tidak ada keaslian dan kontang idea.

Malah paling teruk, ia hanya merugikan rakyat, kata pemimpin-pemimpin PR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto BN jelas menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang sememangnya dihimpit oleh tekanan ekonomi.

"Apabila duit ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, ini bermakna BN akan terus selama-lamanya mengekalkan rakyat Malaysia sebagai rakyat berpendapatan rendah," ujar beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Menurut Saifuddin, hasrat kerajaan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM1,200 kepada rakyat berpendapatan kurang RM3,000 adalah satu usaha ke arah memastikan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

"Ini berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat, pendekatan Pakatan Rakyat ialah menyelesaikan masalah struktur ekonomi dan pendekatan untuk melegakan tekanan hidup rakyat yang berupa meningkatnya kos kehidupan," ujar beliau lagi.

Manifesto BN yang bertemakan "Menepati Janji Membawa Harapan" malam tadi antaranya menggariskan penambahan pemberian BRIM bagi setiap isu rumah, baucar buku dan bantuan persekolahan.

BN juga berhasrat menurunkan harga kereta dan mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat-peringkat.

Menurut Saifuddin, tawaran itu adalah idea ciplak yang diambil dari manifesto popular perikatan pembangkang itu.

"Mereka nampaknya tak ada pilihan.

"Mereka mengulangi tawaran yang mereka kata boleh membankrapkan negara tetapi Barisan Nasional kini terpaksa menjilat kembali ludah mereka," ujarnya lagi.

Pakatan menerusi manifesto yang dibentangkannya Februari lalu antara lain akan memastikan harga kereta di negara ini dapat dibeli dengan harga serendah RM25,000.

Perikatan itu juga akan memastikan tol dihapuskan dengan mengambi alih lebuhraya secara berperingkat-peringkat.

Ia juga berhasrat untuk memastikan setiap keluarga di Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya pendapatan RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pentadbirannya.

Sementara itu, menurut Naib Presiden DAP,  M. Kulasegaran, manifesto yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah manifesto untuk membeli undi.

"Ini manifesto untuk menang dalam pilihan raya sahaja. Bukan untuk menyenangkan masyarakat Malaysia atau satu haluan yang baik," katanya.

Malah katanya, manifesto itu juga tidak menekankan secara khusus bagaimana kerajaan mahu melaksanakan pentadbiran negara dengan membina ekonomi yang lebih kukuh di masa akan datang.

"Walaupun dalam keadaan sekarang ekonomi kita tenat kerana masalah defisit, mereka mahu laksanakan manifesto seperti ini.

"Ia seperti kerajaan yang hendak merosakkan rakyat dengan memberi wang," tambah beliau.

Ujarnya, berbanding BN, Pakatan Rakyat akan sentiasa dari semasa ke semasa memperhalusi manifestonya demi kesejahteraan rakyat.

"Itu adalah satu keperluan kepada mana-mana parti politik pun," ujar beliau.

Sementara itu, menurut Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manifesto BN adalah janji untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

"Tawaran BN yang pada mulanya menggunakan pendekatan one-off kini dijadikan pemberian tahunan dilihat sebagai terdesak untuk menang PRU13," ujar beliau.

Bahkan ujarnya, jika dilihat daripada jumlah peruntukan yang akan digunakan BN untuk mengurus negara lima tahun akan datang, ia jauh lebih besar daripada apa yang dipentukkan oleh PR.

"Oleh itu tawaran PR juga turut munasabah seperti BN," katanya membidas dakwaan kononnya manifesto PR hanya akan membankrapkan negara.

Sinar/-

Gempa bumi sederhana landa Kepulauan Mariana, Jepun

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda kepulauan Mariana, selatan Jepun, pada 9.31 pagi hari ini.
Dalam satu kenyataan di sini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa itu berpusat di 2,124km tenggara Yokosuka, Jepun dan 3,448km timur laut Kinabatangan, Sabah.
Bagaimanapun, gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Kakitangan penjara dibeku cuti untuk halang mengundi?

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Warden Rimas,

Berhubung dengan perkara di atas saya mewakili seluruh kakitangan penjara khususnya anggota bawahan melahirkan rasa dukacita akan permainan politik kotor oleh Barisan Nasional.

Mereka telah memperkudakan agensi kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri yang mana telah mengeluarkan surat pekeliling yang telah mengarahkan semua Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri membekukan cuti semua pegawai dan anggota tidak terkecuali bagi kami yang berkhidmat di Jabatan Penjara Malaysia.

Bagi saya sendiri yang hampir 23 tahun berkhidmat inilah baru kali pertama semua anggota Jabatan Penjara Malaysia telah dinafikan hak kami sebagai PENGUNDI oleh sebuah parti yang melaungkankan sistem demokrasi tetapi telah melacurkan kata-kata mereka dengan permainan politik kotor mereka yang memperkudakan agensi kerajaan.

Untuk makluman saudara bukan semuanya kami kakitangan penjara yang mengundi di tempat kami bekerja kerana pada PRU - PRU yang lepas tiada masalah bagi kami untuk balik mengundi di tempat asal masing-masing.

Bagi saya serta isteri sendiri yang telah membuat pertukaran alamat dari Johor balik semula ke Kedah tetapi atas urusan kerja kerana telah dinaikkan pangkat berkhidmat di Perak.

PRU 13 inilah kami terasa amat dukacita kerana tidak berpeluang untuk balik menmgundi di tempat dan negeri kelahiran kami disebabkan oleh mereka yang berkepentingan dan mengamal politik kotor kerana mereka merasakan PRU 13 ini Barisal Nasional akan menjadi  pembangkang untuk Parlimen Malaysia.

Bagi saya inilah satu cara bagi Barisan Nasional untuk mengekalkan tampuk pemerintahan dengan cara yang paling kotor dalam sejarah PRU di Malaysia.

Saya difahamkan bahawa hampir 90% anggota Jabatan Penjara Malaysia menyokong PR pada PRU-PRU yang lepas dan juga pada PRU 13 kali ini.

Jadi sebagai warga Malaysia yang prihatin saya amat berharap agar Harakahdaily menghebohkan perkara ini untuk makluman semua parti-parti dan PAKATAN RAKYAT kerana kami anggota Jabatan Penjara Malaysia tidak mengundi secara pos. 
Sekian terima kasih.

Harakahdaily/-

Tiada peluang ke-3 Mustapa Mohamed di Jeli

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


JELI: Ribuan yang memenuhi setiap ruang Padang Kemahkotaan malam tadi tidak mahu lagi peluang ketiga diberi kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dengan nada bersemangat mereka melaungkan kesediaan untuk mengembalikan fenomena 1999, apabila anggota parlimen Jeli itu hanya berjawatan menteri atas kapasiti senator.

“Sungguh luar biasa sekali semangat rakyat Jeli. Tidak pernah saya melihat begitu ramai hadir pada perhimpunan malam ini.

“Tidak sama dengan keadaan yang berlaku pada kempen pilihan raya umum 2004 dan 2008. Sekarang cukup menyakin,” kata Anuar Mohamad, 47 dari Air Lanas.

Ahmad dari Gunung Reng, Batu Melintang pula membisikkan suasana petang semalam ada kelainan yang dirasakan.

“Hujan turun dengan lebat sekali seketika. Hati saya terasa begitu tenang. Inilah bayangan awal rakyat Jeli sekarang ketika mereka disogok dengan aneka umpan kebendaan,” ujarnya.

Seorang penduduk dari Kemubu, Dabong memberitahu penduduk kampung berpakat menyewa bas datang ke Bandar Jeli. Katanya, setiap penduduk membayar RM10 tambang pergi balik.

Dua pemuda memakai t-shirt hijau ketika menumpang teduh di Masjid Bandar Jeli memberitahu beliau datang dari Dabong menunggang motosikal.

Beliau datang sebelah petang, sedangkan ramai rakannya bertolak lebih awal. Di jalan Kota Bharu-Salor banyak kelihatan anak-anak muda mengibarkan bendera R.

Memasuki Bandar Jeli bendera bendera bulan purnama, PKR, R dan K dilihat di mana-mana. Kereta yang dipandu anak-anak muda seperti megah mengibarkan bendera tersebut.

Sebelum hujan mencurah-curah anak-anak muda yang berhimpun di padang memberi ingatan kepada anggota parlimen Jeli supaya jangan mengkhianati rakyat Kelantan.

“Kita tidak mahu lagi pemimpin seperti ini berada di Jeli,” laung mereka melalui pembesar suara.

Menghampiri waktu Maghrib orang ramai bertali arus memasuki ruang padang. Kenderaan memenuhi di mana sahaja ruang kosong.

Solat Maghrib diimamkan bekas Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang. Solat hajat pula diketuai bekas Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa.

Ribuan rakyat Jeli menyertai munajat, zikir dan bacaan selawat. Mereka memohon kepada Allah Taala diberikan pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengedarkan 2,000 surat terbuka tiga halaman kepada Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lima isu dibangkitkan iaitu saham Felda, AP eksport minyak sawit, AP import kereta, Dasar Automatik Negara dan isu Syarikat Perumahan Negara menjual rumah rakyat kepada sebuah syarikat.

Beliau juga meluahkan rasa hairan projek jalan raya yang dibina dari Kampung Berdang ke Sungai Rual hanya terhenti di atas bukit.

Menurutnya pada 2007 peruntukan dilulus sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.  Dan pada 2010 ada pula peruntukan RM70 juta disenaraikan.

“Saya tidak faham sama ada peruntukan RM55 juta telah digunakan sehingga perlu ada tambahan RM70 juta lagi.

“Kalau peruntukan tidak cukup mengapa perlu dibina jalan berkenaan. Jadi kita minta Mustapa jelaskan,” katanya.

Hadir sama pada Pra Himpunan Kelantanku Hijau  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, anggota-anggota Exco dan pemimpin PAS serta PKR Jeli.

Harakahdaily/-