07 April 2013

Johor diselubungi teka-teki calon MB baru

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Abdul Ghani Othman

Datuk Abdul Ghani Othman
JOHOR BAHRU - Teka-teki paling popular di Johor ketika ini menyentuh persoalan berhubung siapakah calon Menteri Besar Johor yang baru menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman.
   
Rakyat Johor sudah hampir pasti akan mendapat Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Ghani yang telah memimpin negeri selatan tanah air ini selama empat penggal bermula dari 1995.
   
Dengan Abdul Ghani, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sudah hampir pasti akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baru.
   
Menteri Besar itu kini disebut-sebut akan mempertaruhkan dirinya menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah, di dalam pertandingan yang disifatkan sebagai "Titanic Battle" pada PRU-13.
   
Di antara nama yang paling kerap disebut rakyat Johor ketika ini adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin, yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang.

Sebenarnya nama Mohamed Khaled telah pun disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas, tetapi ia tidak menjadi kenyataan pada saat-saat akhir.
   
Menteri Pengajian Tinggi itu dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pertimbangan yang penting bagi mereka yang menaruh harapan mahu menjadi Menteri Besar Johor.
   
Menurut beberapa pemimpin Umno negeri yang enggan dinamakan, Khaled merupakan calon teratas dalam senarai pemimpin Umno yang menjadi pilihan untuk mengambil alih tempat Abdul Ghani. 
   
"Khaled mempunyai dua pilihan iaitu sama ada bertanding di dua kerusi DUN iaitu Tiram atau Tanjung Puteri kerana DUN Permas yang berada di bawah Parlimen Pasir Gudang merupakan milik MIC," katanya.
   
Bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi itu dijangka memilih DUN Tiram kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Parlimen Pasir Gudang bagi membolehkannya terus dekat dengan kawasan parlimen itu.

Jika beliau memilih untuk bertanding di DUN Tanjung Puteri pula, Mohamed Khaled dijangka akan berganding semula dengan mentornya Anggota Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
   
Selain Menteri Pengajian Tinggi, nama-nama lain yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu termasuk Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.
   
Nur Jazlan, Pengerusi UDA Holdings dan seorang akauntan bertauliah juga dilihat calon sesuai untuk jawatan Menteri Besar Johor bagi meneruskan usaha agresif kerajaan negeri dan Pusat untuk menarik pelaburan ke Johor dan Iskandar Malaysia.
   
Anggota Parlimen Pulai itu yang cenderung dalam bidang ekonomi, juga fasih berbahasa Mandarin dan mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura serta komuniti perniagaan republik itu.
  
Bagaimanapun, akhir-akhir ini muncul satu lagi nama pemimpin Umno yang menjadi sebutan ramai di Johor sebagai calon Menteri Besar iaitu, anggota DUN Kukup Datuk Md Othman Yusof yang mesra dengan panggilan "Datuk MOY".
   
Beliau merupakan pemilik majalah komik terkenal "Ujang." - Bernama

1 ulasan:

Unknown berkata...

MB ialah sdr. salahuddin ayub.