26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
TUMPAT – Tindakan pantas penduduk kampung menendang pintu bilik tidur menyelamatkan seorang pesakit mental, Mohd Rizal Ramli, 44, daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Laut di sini, awal pagi semalam.
Ketika kejadian, Mohd Rizal tidur bersendirian di rumah itu sebelum dikejutkan oleh penduduk kampung dan kemudiannya bergegas keluar menyelamatkan diri kira-kira jam 6 pagi.
Mohd Rizal adalah yatim piatu yang tinggal di rumah itu bersama bapa saudaranya, Wan Kamarul Zaman Wan Abdul Majid, 56.
Wan Kamarul Zaman berkata, ketika kejadian, dia ke rumah saudaranya di Thailand bersama isteri, Siti Sunaidah Salleh, 45, serta empat anak pada hari Khamis.
“Terkejut saya apabila menerima panggilan mengatakan rumah saya terbakar.
“Saya terus bertolak pulang dari Thailand dan sampai di sini kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya merupakan peniaga kedai makan.
Menurutnya, berdasarkan cerita penduduk, Mohd Rizal terselamat dalam kebakaran itu apabila ada penduduk kampung naik ke rumah menendang pintu bilik tidurnya.
“Mujur anak saudara saya terselamat, namun agak terkilan kerana harta benda tidak dapat diselamatkan.
“Kami tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia 56 tahun hangus termasuk perabot, wang tunai RM3,000 dan barang kemas,” katanya yang memaklumkan kerugian RM100,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Ya’cob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.21 pagi.
“11 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 7.23 pagi,” katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan