26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menjanjikan sesuatu yang menarik serta persaingan sengit antara calon parti-parti yang bakal bertanding di negeri ini bagi mendapatkan mandat untuk membentuk kerajaan memerintah.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Neilson Ilan Mersat berkata, parti-parti politik sama ada komponen Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) masing-masing dilihat bakal mengemukakan calon-calon yang berkeyakinan tinggi serta berpotensi menang.
Malah, ada di kalangan parti-parti yang bakal bertanding begitu berani memberikan bayangan awal tentang jumlah kerusi yang mampu dimenangi pada PRU13.
“Saya melihat pertarungan kali ini akan dibayangi oleh harapan untuk meneruskan tsunami 2008 di satu pihak serta usaha untuk mengekalkan status Sarawak sebagai ‘fixed deposit’ (deposit tetap) di satu pihak.
“Kawasan luar bandar akan terus didominasi dengan isu-isu seperti keperluan asas berbeza dengan kawasan yang lebih maju di mana isu-isu yang bersifat abstrak seperti hak asasi, ketelusan, sistem penyampaian berkesan akan menjadi perhatian.
“Semua ini akan mewarnai senario yang bakal berlaku di negeri ini menjelang PRU13 yang menjanjikan sesuatu yang menarik serta persaingan sengit antara parti pembangkang dan penyandang kerajaan memerintah,” katanya dipetik Utusan Borneo.
Tambah Neilson, kewujudan media sosial akan memperhebatkan proses kempen bagi meraih sokongan di kalangan calon-calon yang bakal bertanding.
Oleh kerana pengundi-pengundi lebih terdedah kepada media sosial dan disajikan dengan pelbagai pandangan serta ulasan dari pelbagai perspektif, ia akan menjadikan PRU13 lebih menarik.
“Tetapi semua ini akan menjadikan mereka (pengundi) lebih bijak dalam membuat pilihan untuk sistem demokrasi yang lebih matang,” kata Neilson.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan