26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PARIT BUNTAR - Sebuah rumah kedai yang dijadikan asrama penginapan pekerja sebuah gerai makan di Pusat Bandar Tambahan, di sini hampir musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, hampir 80 peratus tingkat tiga bangunan tiga tingkat yang diduduki lima pekerja tempatan sejak sebulan lalu itu musnah.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar berkata, Abdul Halim Mansor berkata, seramai lapan anggota membabitkan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon.
“Sebaik tiba, kita dapati api sedang marak dan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
“Bagaimanapun, kebakaran hanya melibatkan tingkat tiga bangunan berkenaan, semua pakaian dan peralatan elektrik yang berada di dalamnya musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Abdul Halim berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesemua penghuni asrama keluar bekerja sejak awal pagi.
Jelasnya, hasil siasatan, kejadian berpunca daripada salah satu suis yang terbakar setelah dibiarkan terbuka untuk menghidupkan radio.
“Kealpaan penghuni rumah yang tidak menutup suis radio apabila keluar bekerja menyebabkan kebakaran yang memusnahkan kediaman berkenaan.
“Anggaran kerugian ditaksirkan sebanyak RM2,000 termasuk kerosakan bangunan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penghuni asrama, Mohd Halim Abdul Rahim, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja, sebelum terdengar bunyi bising dari luar kedai.
Katanya, dia segera keluar dan melihat orang ramai menjerit ada api di bangunan sebelah kedai tempatnya bekerja.
“Orang ramai segera menghubungi bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kedai lain.
“Saya cuba naik ke atas untuk menyelamatkan barangan berharga termasuk wang tunai melebihi RM500, namun gagal apabila keadaan api semakin marak,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan