26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
BUTTERWORTH - Hujan lebat berterusan selama empat jam sejak lewat malam kelmarin, mengakibatkan banjir kilat di Kampung Bagan Jermal dan laluan utama serta kawasan sekitarnya dinaiki air.
Kejadian yang disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi itu menyebabkan berlaku kesesakan jalan apabila pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan untuk mengelak mengharungi banjir.
Pengguna juga terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi yang dituju kerana bimbang kenderaan mereka rosak jika terus meredah air setinggi paras lutut itu.
Difahamkan, beberapa rumah penduduk di kawasan berdekatan turut dimasuki air dalam kejadian banjir kilat yang berlarutan lebih lapan jam.
Bagaimanapun, tiada kerugian dan kerosakan besar dialami penduduk kerana mereka sudah membuat persiapan awal menghadapinya melalui pengalaman sebelum ini.
Seorang pemilik kenderaan, Mat Mohamad Sutan, 45, yang selalu menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja di Perai berkata, kejadian banjir kilat ini bukan kali pertama berlaku pada tahun ini.
“Kawasan ini dikategorikan antara kawasan rendah yang mudah dinaiki air menyebabkan laluan kenderaan di sini terdedah kepada banjir kilat.
“Malah, longkang besar kiri dan kanan jalan juga sering tersumbat, sekalu gus memudahkan air bertakung dan mengganggu kelancaran trafik,” katanya.
Sementara itu, mangsa banjir kilat, M Kanapathy, 56, berkata, biarpun kali ini banjir kilat itu tidak lama masanya namun kekerapannya mengundang pelbagai masalah.
“Setiap kali hujan lebat saya dan beberapa orang penduduk kampung terpaksa membersihkan longkang besar untuk memudahkan saliran air.
“Ini dilakukan bagi mengelak air melimpah memasuki rumah dan laluan di sini,” katanya.
Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkuasa memantau keadaan laluan, termasuk meningkatkan ketinggian permukaan jalan dan longkang besar untuk memudahkan pergerakan air dari bertakung yang dikesan menjadi punca kepada kejadian banjir kilat di situ.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan