07 April 2013

Tiada peluang ke-3 Mustapa Mohamed di Jeli

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


JELI: Ribuan yang memenuhi setiap ruang Padang Kemahkotaan malam tadi tidak mahu lagi peluang ketiga diberi kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dengan nada bersemangat mereka melaungkan kesediaan untuk mengembalikan fenomena 1999, apabila anggota parlimen Jeli itu hanya berjawatan menteri atas kapasiti senator.

“Sungguh luar biasa sekali semangat rakyat Jeli. Tidak pernah saya melihat begitu ramai hadir pada perhimpunan malam ini.

“Tidak sama dengan keadaan yang berlaku pada kempen pilihan raya umum 2004 dan 2008. Sekarang cukup menyakin,” kata Anuar Mohamad, 47 dari Air Lanas.

Ahmad dari Gunung Reng, Batu Melintang pula membisikkan suasana petang semalam ada kelainan yang dirasakan.

“Hujan turun dengan lebat sekali seketika. Hati saya terasa begitu tenang. Inilah bayangan awal rakyat Jeli sekarang ketika mereka disogok dengan aneka umpan kebendaan,” ujarnya.

Seorang penduduk dari Kemubu, Dabong memberitahu penduduk kampung berpakat menyewa bas datang ke Bandar Jeli. Katanya, setiap penduduk membayar RM10 tambang pergi balik.

Dua pemuda memakai t-shirt hijau ketika menumpang teduh di Masjid Bandar Jeli memberitahu beliau datang dari Dabong menunggang motosikal.

Beliau datang sebelah petang, sedangkan ramai rakannya bertolak lebih awal. Di jalan Kota Bharu-Salor banyak kelihatan anak-anak muda mengibarkan bendera R.

Memasuki Bandar Jeli bendera bendera bulan purnama, PKR, R dan K dilihat di mana-mana. Kereta yang dipandu anak-anak muda seperti megah mengibarkan bendera tersebut.

Sebelum hujan mencurah-curah anak-anak muda yang berhimpun di padang memberi ingatan kepada anggota parlimen Jeli supaya jangan mengkhianati rakyat Kelantan.

“Kita tidak mahu lagi pemimpin seperti ini berada di Jeli,” laung mereka melalui pembesar suara.

Menghampiri waktu Maghrib orang ramai bertali arus memasuki ruang padang. Kenderaan memenuhi di mana sahaja ruang kosong.

Solat Maghrib diimamkan bekas Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang. Solat hajat pula diketuai bekas Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa.

Ribuan rakyat Jeli menyertai munajat, zikir dan bacaan selawat. Mereka memohon kepada Allah Taala diberikan pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengedarkan 2,000 surat terbuka tiga halaman kepada Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lima isu dibangkitkan iaitu saham Felda, AP eksport minyak sawit, AP import kereta, Dasar Automatik Negara dan isu Syarikat Perumahan Negara menjual rumah rakyat kepada sebuah syarikat.

Beliau juga meluahkan rasa hairan projek jalan raya yang dibina dari Kampung Berdang ke Sungai Rual hanya terhenti di atas bukit.

Menurutnya pada 2007 peruntukan dilulus sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.  Dan pada 2010 ada pula peruntukan RM70 juta disenaraikan.

“Saya tidak faham sama ada peruntukan RM55 juta telah digunakan sehingga perlu ada tambahan RM70 juta lagi.

“Kalau peruntukan tidak cukup mengapa perlu dibina jalan berkenaan. Jadi kita minta Mustapa jelaskan,” katanya.

Hadir sama pada Pra Himpunan Kelantanku Hijau  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, anggota-anggota Exco dan pemimpin PAS serta PKR Jeli.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: