07 April 2013

Mahkamah benarkan Husam injuksi blogger Parpukari

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ke atas blogger mesra Umno, “Parpukari”.


Parpukari atau nama sebenar Mohamad Salim Iskandar difahamkan rakan rapat dengan blogger Umno, Papagomo.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, dengan perintah injunksi tersebut Khamis lalu, Parpukari dilarang daripada menulis apa-apa berkaitan Husam sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Pada prosiding sebelum ini Hakim Datuk Yazid Mustaffa menolak permohonan peguam Parpukari, Jasbeer Singh Kaura untuk meminda penyata pembelaan.

Malah mahkamah juga menolak permohonan Parpukari memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Blogger terbabit pada 19 Februari 2012 menulis dan menggunakan gambar-gambar secara tidak tepat dan tidak benar yang dikaitkan dengan plaintif.

Rencana tersebut disiarkan dalam blog; http://parpukari.blogspot.com bertajuk “parpukari productions mempersembahkan kisah cinta terlarang 2 benua!”.

Dalam writ saman plaintif mendesak defendan memohon maaf secara bertulis kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blognya dan memadam artikel berkaitan.

Selain itu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu, gantirugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.  Kes tersebut akan dibicara pada 19 dan 20 Jun hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ekoran dakwaan menteri terbabit melulus saham FGVH lebih besar kepada syarikat Bumiputera berbanding peneroka.

"Siapa kroni yang diberi keistimewaan itu, syarikat mana yang diluluskan MITI untuk memiliki saham Felda. Kita minta menteri terbabit mengeluarkan senarai syarikat berkenaan dan menjawab isu-isu berkaitan," katanya pada ceramah Kelantanku Hijau di Padang Kemahkotaan, Jeli malam tadi.

Baru-baru ini Mustapa dilaporkan menuntut Husam memohon maaf berhubung dakwaan fitnah berkaitan saham FGVH yang diberi kepada kroni atau berdepan dengan tindakan saman.

Husam berkata, beliau bersedia menjawab isu tersebut di mahkamah dan tidak perlu menunggu notis 48 jam seperti diberi pemimpin terbabit.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: