27 Mac 2013

Najib serah kepada SPRM untuk siasat video pendedahan Taib

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) dilihat "cuba menampilkan imej mengambil berat terhadap gejala rasuah" walaupun mengkritik masalah itu tidak boleh selesai dalam sekelip mata, kata Datuk Seri Najib Razak bersama temu ramah dengan Financial Times hari ini, berikutan pendedahan video mengejutkan mengenaik skandal pembalakan Sarawak.
Akhbar perniagaan antarabangsa itu melaporkan perdana menteri enggan mengulas pendedahan oleh Global Witness ketika temubual tersebut, menjelaskan pihak berkuasa anti rasuah Malaysia telah menyiasat dakwaan tersebut terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Pelacuran dan rasuah adalah dua perkara yang membelenggu manusia sejak sekian lama. Tapi kami sedang menguruskannya. Namun ianya bukanlah sesuatu yang akan selesai sekelip mata," katanya.
Dalam artikelnya menjelaskan situasi sengit yang Najib akan hadapi dalam Pilihan Raya 2013, FT menjelaskan Umno sangat prihatin dalam topik rasuah, yang digunakan pembangkang sebagai senjata untuk kempen.
Akhbar perniagaan itu juga menjelaskan pelbagai dakwaan rasuah melibatkan kontrak kerajaan, dan Malaysia berkendudukan ke-54 daripada 176 negara berdasarkan kaji selidik indeks persepsi rasuah Transparency International Malaysia's (TI-M) 2012
Najib dilihat mencuba sedaya upaya bagi merubah negara termasuk membasmi rasuah, namun beberapa siri pendedahan rasuah melibatkan pentadbiran dan pemimpinnya berterusan berlaku.
Dalam pendedahan terbaru kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di London, Global Witness, menjadikan Taib (gambar) perhatian dalam video melibatkan penyiasatan terhadap skandal balak rasuah.
Video bertajuk "Inside Malaysia's Shadow State", menunjukkan rundingan oleh penyiasat GW dengan sepupu Taib dan beberapa orang tengah untuk membeli beberapa ribu hektar tanah hutan, yang mana kumpulan itu mendakwa menjadi kawasan petempatan ribuan masyarakay pribumi.
Taib bagaimanapun menafikan penglibatannya dan kerajaan yang dipimpinnya, malah kerajaannya juga telah memulakan inisiatif sendiri bagi menyiasat sama ada video itu adalah cubaan pembangkang untuk menjatuhkan kredibilitinya dalam PRU13.
FT berkata, pasukan Najib berkemungkinan tewas oleh Pakatan Rakyat (PR), perikatan antara pembangkang, PKR, DAP dan PAS yang semakin kukuh sejak lima tahun lalu.
PR telah menerima kemenangan pada Pilihan Raya pada Mac 2008 apabila merampas majoriti dua pertiga Parlimen dan lima negeri.
Sekiranya Najib hanya beroleh kemenangan tipis dalam pilihan raya akan datang, perdana menteri keenam itu juga akan menerima cabaran daripada kalangan pemimpin Umno sendiri.
Namun Najin dilihat mengetahui perkara itu ketika temuramah berkenaan dan menjelaskan beliau turut terlibat dalam risiko berkenaan apabila mengubah perlembagaan Umno bagi memudahkan kepimpinan dicabar.
"Saya menjadikan Umno lebih demokratik, lebih inklusif. Sudah tentu saya meletakkan diri saya dalam risiko. Namun saya percaya apa yang kami lakukan baik untuk negara dan parti, katanya.
FT turut dilaporkan berkata, Najib mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya yang mana telah memacu prestasi ekonomi Malaysia tahun lalu yang disifatkan Tabung Kewangan Dunia (IMF) "melepasi jangkaan."
Akhbar itu turut menjelaskan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus, dipacu permintaan dalam negara yang tinggi dan eksport komoditi seperti gas dan minyak.
Memetik HSBC, FT menjelaskan keyakinan pelabur asing terhadap reformasi Najib yang menyaksikan pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia mencecah 550 peratus atau RM215 bilion sejak 2009.
Namun akhbar itu turut menjelaskan kebimbangan berkenaan hutang kerajaan berbanding GDP sekitar 51 peratus, dan pendapatan kerajaan agak lemah.
Merujuk perkara itu, Najib berkata, kerajaannya sedang melihat perkara berkaitan cukai, menjadi petunjuk kemungkinan selesai pilihan raya, cukai barangan dan perkhidmatan akan diperkenalkan selepas menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Saya akan melihat kepada struktur cukai, terutamanya, kerana kita perlu perbesarkan pendapatan. Kerajaan melihat pendapatan perlu diberikan dasar yang kukuh," katanya.

The Malaysian Insider/-

Kit Siang ramal Pakatan menang 7 negeri

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meramalkan Perlis dan Negeri Sembilan adalah dalam jangkauan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, sekaligus meningkatkan bilangan kerajaan negeri Pakatan daripada lima pada 2008 kepada tujuh pada 2013.

NONEDalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ahli parlimen Ipoh Timor itu menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu boleh mengekalkan kuasanya di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dan menawan semula Perak.

Dengan kemampuan untuk menawan Perlis dan Negeri Sembilan, maka beliau mendakwa harapan Pakatan untuk menawan Putrajaya adalah cerah.

Bagaimanapun, Lim (kiri) mengakui bahawa kerajaan PAS Kedah dalam keadaan yang goyah.

Walaupun begitu, Lim berkata, 'tsunami politik' pada pilihan raya umum 2008 masih belum mencapai kemuncaknya.

"Pada pilihan raya umum lepas, angin anti-establishment bermula dari utara dan berhenti di Negri Sembilan. Ia bukan tsunami penuh. Ia belum mencapai kemuncaknya.

"Tsunami akan hanya reda apabila ia mencapai puncaknya. Saya percaya akan ada tsunami politik yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang yang akan melanda seluruh negara," Sin Chew Daily memetik Lim sebagai berkata.

Malaysiakini/-

Mandat: Umpama 'rampasan kuasa tanpa senjata'

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS beranggapan kerajaan hari ini sebagai satu 'rampasan kuasa tanpa senjata' apabila menafikan hak rakyat untuk memberikan mandat baru selepas lima tahun.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata rampasan kuasa tanpa senjata itu berlaku apabila rakyat sebagai pemilih kerajaan telah dinafikan hak mereka untuk memilih pemimpin dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, mandat yang diperolehi kerajaan Barisan Nasional hanya berusia lima tahun, sebelum ia terbubar sendiri pada 28 April ini, selaras dengan tarikh sidang pertama parlimen.

"Hari ini sudah genap lima tahun 19 hari sejak mandat diberikan rakyat.  Walaupun dari sudut undang-undang ia akan terbubar 28 April ini, bagi saya mandat yang diberikan hanya lima tahun, bukan lima tahun 19 hari," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, sepatutnya tempoh lima tahun yang diberikan kepada rakyat sejak 2008 lalu telah dikembalikan kepada rakyat untuk memberi mandat baru.

Dalam pada itu, Mahfuz melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan banyak membuat keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam suasana mandat rakyat sudah berakhir.

"Saya menuntut kerajaan untuk memaklumkn apa-apa projek, pembinaan yang telah diluluskan selepas 8 Mac lalu, termasuk di Lima, Langkawi.

"Bagi saya, tidak wajar perkara seperti ini (projek selepas 8 Mac lalu). Kerajaan 'caketaker' pun tidak boleh meluluskan sebarang projek, sebaliknya sekadar menjalankan apa yang sudah ada sebelum ini," tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Negeri Sembilan memandangkan Dewan Undangan Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya esok.

Harakahdaily/-

Stadium RM320 juta bakal jadi kenyataan

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Sebelum ini pemimpin Umno menjanjikan sebuah stadium baru dibina di Tunjung sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir Kelantan. Namun sekarang cadangan itu senyap begitu sahaja.

Sebaliknya kerajaan negeri pula memperlihatkan komitmennya membina stadium dan kompleks sukan di tapak Bandar Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Tunjong Development Corporation (TDC) yang dilantik kerajaan negeri menerajui projek berkenaan berkerjasama dengan pemaju berpengalaman yang membina Stadium Olimpik Beijing di China.

Pengurus Besar TDC, Nazri Deraman berkata, syarikat terbabit dipilih daripada tender terbuka dan akan menjalankan usahasama dengan pemaju tempatan.

Katanya, pembangunan Bandar Sukan itu merangkumi pembinaan kompleks membeli belah, ruang pejabat, hotel dan sebuah institusi pengajian tinggi.

“Pembinaannya merupakan sebahagian pembangunan di kawasan seluas seluas 272 ekar bagi pembangunan Bandar Sukan. Ia mengandungi Stadium Negeri di kawasan seluas 50 ekar, sebuah stadium tertutup dan pusat akuatik.

“Manakala kompleks sukan pula dibangunkan di kawasan seluas 75 ekar. Stadium Negeri sesuai untuk pelbagai acara sukan yang boleh memuatkan 45,000 penonton merupakan fasa pertama akan dibangunkan,” katanya di sini.

Menurutnya stadium itu juga sesuai dijadikan tempat ceramah perdana kerana ia mesra ibadat di mana boleh menampung jemaah solat dalam kapasiti yang ramai.

Bandar Sukan tersebut terletak 33 km dari Bandar Kota Bharu, 20 km dari Bandar Pasir Puteh, 7 km dari Kok Lanas, 7 km dari Selising dan 26 km dari Machang.

Kawasan itu sebelum ini merupakan tanah kerajaan negeri untuk rizab haiwan dan sebahagian daripada rizab Hutan Simpan Cabang Tongkat.

Lokasinya juga berhampiran projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai yang sedangkan dalam pembinaan sekarang.

Nazri berkata, projek tersebut merupakan alternatif kepada Stadium Sultan Mohammad Ke IV bagi menyediakan kemudahan sukan lebih bermutu dan lengkap.

Menurutnya projek mega itu membabitkan kos hampir RM320 juta memberi satu signifikan bagi perkembangan dan pembangunan sosial dan ekonomi rakyat.

“Ia juga berupaya meningkatkan taraf ekonomi rakyat dengan kewujudan pembangunan bercampur di kawasan sekitar projek tersebut termasuk Kok Lanas, Pasir Puteh dan Machang,” ujarnya.

Majlis pecah tanah Stadium Negeri akan diadakan pada 30 Mac ini dijangka disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada majlis itu juga kerajaan negeri akan melancarkan projek rumah mampu milik (RMM). Sebanyak 300 unit akan dibina pada fasa I memberi kemudahan kepada rakyat terutamanya golongan muda bagi memiliki rumah.

“Konsep RMM kerajaan negeri di mana rakyat boleh membeli rumah pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa,” katanya.

Oleh itu Nazri mengajak orang ramai hadir pada program berkenaan yang julung-julung kali diadakan di Kelantan.

Harakahdaily/-

Tindakan luar biasa Umno BN sebelum parlimen bubar

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Seluruh pemimpin dan ahli-ahli PAS serta Pakatan Rakyat di seluruh negara diminta memantau dengan rapi segala tindakan luar biasa para pemimpin Umno-BN di negeri-negeri yang dikuasai parti itu, sementara tibanya saat pembubaran parlimen.

Ketika berada di hujung kuasa, para pemimpin Umno-BN  dipercayai akan melakukan pelbagai tindakan untuk melakukkan pemindahan aset-aset mereka kepada kroni-kroni mereka, walaupun tindakan mereka itu menyalahi etika dan undang-undang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukti terbaru mengenai tindakan buruk mereka itu boleh dirujuk kepada tindakan yang telah dilakukan oleh para pemimpin Umno-BN Pahang pada Februari lalu.

Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan menerusi mesyuarat Exco Pahang yang telah meluluskan seluruh pengurusan jalan raya di negeri itu kepada sebuah syarikat, Y. P. Mantanence Sdn. Bhd. mulai April ini selama 7 tahun.

Katanya, walaupun keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Exco, tetapi ia ternyata menyalahi etika, lebih-lebih lagi ia mempertingkatkan kos sehingga 25 peratus berbanding kos biasa.

"Disebabkan tindakan itu, banyak pihak turut menjadi mangsa, sehingga ia mencetuskan pelbagai rungutan di kalangan rakyat teutama para kontraktor kelas F," katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, setelah disiasat didapati tindakan tersebut sengaja dilakukan oleh mereka untuk membolehkan mereka memindahkan aset-aset mereka kepada kroni-kroni mereka, setelah disedari mereka tidak lagi berpeluang berbuat demikian pada masa akan datang jika parti itu kalah dalam PRU ke-13 nanti.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu tidak mustahil turut dilakukan juga oleh para pemimpin Umno-BN di negeri-negeri lain yang dikuasai parti itu, sementara parlimen dibubarkan atau terbubar dengan sendirinya sehingga 28 April ini.

"Jadi kita mestilah memantau dengan rapi segala tindakan luar biasa mereka itu kerana selain untuk mengaut keuntungan peribadi dan memberikan habuan kepada kroni-kroni mereka, mereka juga ingin memberikan kesukaran dan tekanan kepada Pakatan Rakyat jika kita dapat memerintah negara selepas PRU ke-13 nanti," ujarnya.

Sebelum ini, tambah beliau, para pemimpin Umno-BN telah menimbulkan pelbagai tekanan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melalui perjanjian air dengan Syabas.

"Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor begitu prihatin kepada rakyat dengan membekalkan air percuma kepada rakyat untuk sekitar 11 mililiterpadu pertama, mereka pula berusaha untuk mengaut kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hak rakyat.

"Kita sememangnya amat kesal dengan sikap mereka itu. Mereka juga telah sedar tentang kemarahan rakyat kepada mereka. Jadi sementara kuasa masih berada di tangan mereka sekarang, mereka pasti akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan mereka. Tindakan mereka itu amat perlu dipantau oleh kita untuk membolehkan kita mengambil tindakan sewajarnya nanti," tegas beliau.

Harakahdaily/-

SU Agung: Dakwaan ahli Pas pernah cuba bunuh Mahathir mengarut

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Mustafa Ali

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini menempelak cubaan pihak-pihak tertentu mengaitkan Pas dengan pengakuan bekas ahli seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengaku pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyifatkan cubaan Zainon dan beberapa media membangkitkan semula isu 30 tahun lalu itu kerana sudah menjadi "alat Umno", beliau bagaimanapun meminta polis segera menyiasat kerana isu bunuh bukan perkara main-main.

"Ini 'rubbish'. Patut polis siasat dia (Zainon). Dia mengaku dia hendak bunuh (Dr) Mahathir. Pengakuan hendak bunuh orang ini berat," ujar Mustafa kepada Sinar Harian Online hari ini.

Bernama hari ini memetik Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Sulaiman sebagai berkata, agensi itu pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis Pas yang diwujudkan untuk membunuh Dr Mahathir pada 1988.

Menurut Rahman, laporan khas bertarikh 11 September 1984 nukilan wartawan Bernama itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.

"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya.

Laporan khas pada 11 September itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin Pas Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.

Zainon yang merupakan penulis buku 'Kafirkah Aku?' pada Isnin lalu, dilaporkan berhasrat menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf kerana merancang membunuh bekas perdana menteri itu.

"Sudah jadi alat Umno boleh kata apa sahajalah. Bila Umno suruh kata apa pun, mereka (Abdul Rahman dan Zainon) ini akan kata," bidas Mustafa lagi.

Dr Mahathir, bekas Presiden Umno, menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Sinar harian/-

Empat anggota polis didakwa rompak empat warga Indonesia

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak dan mengugut empat  warga Indonesia dua minggu lepas.

Azrol Yon Chik, Mohammad Hafiz Md Isa, Mohd Khairil Azli Saud dan Rustamad Awang, dari Balai Polis Tropicana, Damansara didakwa merompak wang tunai berjumlah RM500 dan lapan telefon bimbit milik Ernawati, Lilis, Arifhidayattullah dan Hendi Ekwanto di Kampung Sungai Penchala pada 1.30 pagi 12 Mac lepas.

Azrol, Mohammad Hafiz dan Mohd Khairil, masing-masing berusia 27 tahun, manakala Rustamad, 31, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun  Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mereka yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal itu juga didakwa mengugut mangsa sebanyak RM3,000 di Balai Polis Tropicana pada 2 pagi hari  sama mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Azrol dan Bustamad berdepan satu lagi pertuduhan iaitu mengugut mangsa sebanyak RM500 dalam kereta Perodua Alza di Jalan Penchala Link,  Brickfields pada 2.44 pagi hari yang sama.

Hakim Azman Mustapha membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenar berkomunikasi dengan mangsa, dan menetapkan 26 April untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Normadiana Mamat. - Bernama

Bubar Dun: Azizan tunggu isyarat Pas Pusat

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


ALOR SETAR - Kerajaan Pas Kedah akan menunggu isyarat Pas Pusat berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang isyarat mengenai tarikh membubarkan Dun.

"Saya tak dapat isyarat apa lagi daripada Kuala Lumpur. Saya tunggu isyarat daripada Pas Pusat," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa kerajaan negeri pimpinan pembangkang perlu dibubar serentak dengan Parlimen.

DUN Kedah akan bubar secara automatik pada 5 Mei ini.- Bernama

Khir Toyo: Adakah Najib takut bubar Parlimen?

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Khir Toyo

$entry.content.caption.value
HARI ini merupakan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sembilan berfungsi. Mungkin pada hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hasan akan mengumumkan pembubaran Dun. Dun juga boleh terbubar sendiri selepas 12 tengah malam ini.

Namun saya berharapkan Menteri Besar akan mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Negeri untuk membubarkan Dun. Adalah tugas Menteri Besar untuk memohon perkenan membubarkan Dun. Jika tidak, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama dalam sejarah pilihan raya negara yang terbubar secara sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempunyai tempoh sehingga 28 April ini untuk membubarkan Parlimen. Namun sebelum tarikh tersebut akan terdapat beberapa negeri akan terbubar dahulu seperti Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, terdapat beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.

Kemungkinan besar Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen dalam minggu ini. Ini menjadikan kerajaan Negeri Sembilan akan berada di bawah kerajaan sementara untuk tempoh yang agak panjang.

Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kerajaan Negeri Selangor akan membubarkan Dewan Negeri Selangor pada 22 April 2013 sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan pada masa tersebut. Tarikh ini tidak menghairankan kerana ia merupakan hari terakhir penggal Dewan Negeri Selangor.

Hakikatnya, hak untuk membubarkan Dun Selangor terletak kepada Menteri Besar dan Tuanku Sultan Selangor. Ia tidak ada kena0mengena dengan Penasihat Ekonomi Negeri mahu pun Ketua Umum PKR.

Anwar juga mendakwa Mohd Najib takut untuk membubarkan Parlimen kerana tidak yakin boleh memenangi pilihan raya umum kali ini.

Saya tidak fikir Mohd Najib masih belum membubarkan Parlimen kerana takut kalah. Ini kerana kajian dan pemerhatian pelbagai pihak sama oleh jentera Barisan Nasional, badan-badan pemerhati bebas, mahu pun penganalisis politik dan ekonomi antarabangsa meramalkan Barisan Nasional akan kembali memenangi pilihan raya kali ini dengan pencapain yang lebih baik dari tahun 2008.

Misalnya, The Economist Intelligence Unit (EIU), sebuah unit penyelidikan majalah terkemuka The Economist, meramalkan Barisan Nasional akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Malahan The Economist menyatakan bahawa pada pandangan pemerhati antarabangsa, keputusan pilihan raya jelas akan memihak kepada Barisan Nasional.

Kaji selidik oleh Merdeka Centre dan Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) juga mendapati Barisan Nasional akan kembali memerintah kerajaan persekutuan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyatakan kajian pasukannya mendapati Barisan Nasional akan memenangi 160 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun saya agak skeptikal dengan kajian ini, namun ia bukanlah mustahil.

Malahan Tun Daim Zainuddin sendiri yang terkenal dengan bacaan politik beliau yang sangat ampuh juga meramalkan BN akan menang dalam pilihan raya kali ini.

Berdasarkan pandangan pelbagai pihak dalam dan luar Negara, kajian bebas atau dilakukan oleh parti, BN akan kembali memerintah Malaysia untuk lima tahun akan datang. Justeru tidak timbul andaian dan tuduhan Anwar Ibrahim bahawa Mohd Najib tidak membubarkan Parlimen kerana takut kalah.
 

Mengapa Najib belum membubarkan Parlimen?

Soalan ini agak sukar untuk dijawab.

Hanya ALLAH dan Perdana Menteri sahaja yang mengetahui sebab sebenar. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu, nyata beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk memastikan idea, falsafah dan pelan transformasinya dirasai oleh majoriti rakyat.

Saya fikir apa yang Mohd Najib mahukan sekarang ialah kemenangan dua pertiga. Untuk mendapat kemenangan dua pertiga agak sukar berbanding sekadar untuk menang. Sebab itu beliau mengambil masa yang lebih sedikit untuk membuktikan kebolehan beliau dan meyakinkan sebahagian rakyat yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

Beliau dilihat seolah-olah tidak cukup masa untuk meyakinkan majoriti rakyat agar memberi kemenangan dua pertiga kepada Barisan Nasional. Ini tidak menghairankan kerana hanya pada 3 April tahun ini genap empat tahun pentadbiran beliau. Ini bermakna beliau kekurangan setahun untuk penggal pentadbiran penuh.

Oleh kerana beliau mengambil alih pentadbiran dalam keadaan parti yang lemah dan berantakan, pentadbiran yang dikritik hebat dan hampir dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya 2008, tugas Najib tidak semudah disangka.

Selain itu, keengganan Najib membubarkan Parlimen lebih awal mungkin beliau bimbang Pakatan akan cuba membuat tindakan tidak beretika seperti melewatkan pembubaran Dun Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Jika ini berlaku dan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mahu mengadakan pilihan raya serentak maka masa kerajaan Persekutuan sementara boleh mencecah sehingga dua bulan. Ini boleh memberi kesan serius kepada ekonomi dan pentadbiran Negara.

Malahan masa yang sedemikian panjang boleh mengancam keselamatan sekiranya kempen politik menjadi kian panas.

Justeru saya fikir Mohd Najib akan hanya membubarkan Parlimen seawalnya selepas ulang tahun keempat pentadbirannya pada awal April ini atau menunggu sehingga saat akhir, sekaligus mengelakkan Pakatan melakukan taktik memanjangkan masa pilihan raya untuk menimbulkan ketegangan kepada rakyat.

Tindakan Mohd Najib untuk memenuhi penggal yang ada harus dipuji bukannya dikritik. Ini merupakan catatan demokrasi yang penting kepada Negara ini. Perdana Menteri memilih untuk mengabaikan keistimewaannya untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut.

Bukankah selalunya pembangkang menuduh tidak mempunyai cukup masa berkempen dan menuduh Barisan Nasional tidak professional kerana mengumumkan pilihan raya mengejut? Sekarang apabila semua orang sudah mengetahui bila pilihan raya akan diadakan, tiada unsur kejutan lagi, Pakatan masih tidak berpuas hati. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

Ramai juga yang bertanya kepada saya, mengapa Anwar begitu beria-ia mahukan pilihan raya segera sedangkan masanya memang telah pun hampir tiba. Apakah kerana beliau yakin akan menang atau takut banyak lagi isu terbongkar dan makin ramai yang meninggalkan Pakatan nanti?

Wallahhualam! Hanya Allah yang maha mengetahui.


* Dipetik dari blog Dr Mohamad Khir Toyo

Ikhlas

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Oleh Jarjani Usman

“Sesungguhnya amal itu tergantung niatnya, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Barangsiapa berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah karena harta yang ingin diraihnya atau karena perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu untuk sesuatu yang menjadi tujuan hijrahnya” (HR. Bukhari dan Muslim).

Kebahagiaan tentunya dambaan setiap insan. Namun, kebahagiaan kadangkala sulit ditemukan atau dirasakan, karena mencarinya dengan cara yang tidak benar, misalnya, dengan mengingkari Allah. Padahal sesungguhnya kebahagiaan tidak jauh letaknya, ia hadir di hati diri kita sendiri. Ia insya Allah akan diraih, antara lain, dengan memberi tempat yang memadai untuk hadirnya keikhlasan karena Allah di bilik hati. 

Itulah di antara hadiah dari Allah untuk hamba-hambaNya yang ikhlas dalam beramal. Segala ibadah dan amal diniatkan karena Allah, tidak dikotori dengan hal yang lain. Kebahagiaan ini memang telah dijanjikan Allah, yang diketahui dengan membaca petunjuk dariNya. Sebagaimana disebutkan dalam Alquran, orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi tenteram (QS. Ar-Ra’ad: 28).

Sedangkan orang-orang yang tidak ikhlas dalam beramal, kerap dirundung perasaan rugi. Apalagi keuntungan hanya diukur dalam bentuk materi. Diliputi perasaan rugi, akan menimbulkan rasa tidak enak di hati. 

Karena itu, penting berusaha membersihkan niat dalam beramal. Yaitu, niat karena Allah. Apalagi orientasi hidup kita memang demikian, sebagaimana firman Allah, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku” (QS. Adz-Dzariyat: 56).

Editor : bakri

Serambi Indonesia/-

Hari Polis: Pemuda PAS Wilayah lawat Dang Wangi

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengadakan lawatan muhibbah ke Balai Polis Dang Wangi semalam sempena ulang tahun Hari Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang ke-206.

Dalam lawatan tersebut, Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad menghadiahkan kad ucapan dan hamper kepada Sarjan Jamaluddin sebagai tanda penghargaan di atas jasa yang dilakukan oleh pihak PDRM.

Dalam lawatan tersebut, Kamaruzaman mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertungkus-lumus menjamin keselamatan rakyat Malaysia.

"Sempena ulang tahun ke 206 PDRM ini, pihak DPPWP juga mengharapkan agar pihak polis terus komited dalam menjalankan amanah tanpa berpihak kepada mana-mana individu atau organisasi. 

"DPPWP juga mendoakan agar PDRM sentiasa maju jaya seiring dengan pesatnya pembangunan di Malaysia," katanya dalam pertemuan yang turut diiringi Setiausaha DPPWP, Nurul Islam dan exco, Abu Bakar.

Harakahdaily/-

Bubar: MB S'gor dah umum, Najib bila lagi?

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah mengotakan janjinya untuk mengumumkan awal tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) itu, sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki dengan tarikh pembubaran parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai bijak dan berani, dan Najib sewajarnya malu kepada pemimpin negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Menurut Ketua Penerangan DPPM Riduan Mohd Nor, Najib lebih suka membiarkan rakyat berada dalam keadaan teka-teki sehingga menyusahkan mereka merancang urusan kerana risau bertembung dengan pilihan raya.

"Tindakan politik MB Selangor mengumumkan tarikh pembubaran DUN adalah suatu tindakan licik, bijak serta suatu sindiran tajam kepada PM. Jika MB sebuah negeri dalam persekutuan mampu mengumumkan tarikh pembubaran DUN, amat malang sekali seorang PM yang mempunyai kerajaan persekutuan takut dan enggan mengumumkan tarikh pembubaran parlimen. 

"Lebih baik MB Selangor menjadi PM kerana beliau berani berterus terang dan berhadapan dengan rakyat, berbanding PM yang penakut untuk menghadapi kebenaran," katanya.

Semalam Abdul Khalid mengumumkan Dun Selangor akan dibubar pada 22 April ini sekiranya parlimen masih belum dibubarkan sebelum tarikh itu. 

Namun jika parlimen telah dibubarkan sebelum itu, ia akan automatik terbubar dan akan menjalani pilihan raya umum ke 13 mengikut kerajaan persekutuan.

Tarikh tersebut bersamaan dengan tarikh DUN Selangor dibubarkan secara automatik setelah cukup tempohnya 5 tahun.

"Meskipun lewat dari tarikh jangkaan banyak pihak, setidak-tidaknya MB Selangor berani meletakkan tarikh dan mengumumkan kepada media. 

"Beliau tidak merahsiakan tarikh pembubaran Dun supaya setiap rakyat membuat persediaan secukupnya," kata Riduan.

Harakahdaily/-

Gempa bumi sederhana landa Taiwan

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda Taiwan pada 10.03 pagi ini.

Menurut laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat 52km di tenggara Fengshan dan 1,937km timur laut Kudat, Sabah.

Penilaian awal jabatan itu mendapati gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Najib pengerusi mesyuarat Kabinet, spekulasi muncul lagi

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, yang ramai meramalkan sebagai yang terakhir, spekulasi mengenai pembubaran Parlimen muncul sekali lagi hari ini.

Banyak pihak membuat ramalan dan jangkaan masing-masing menerusi media sosial sejak pagi tadi.

Malah, Sinar Harian Onlinejuga menerima panggilan dan SMS mengenai soal itu, yang rata-rata bertanya sama ada Parlimen akan dibubarkan hari ini atau dalam waktu terdekat, kemungkinan besar minggu ini.
Ramai begitu teruja untuk mengetahui perkembangan terbaru sementara menanti kemunculan Pilihan Raya Umum ke-13.
Risikan dan penelitian Sinar Harian Online menunjukkan tidak ada tanda-tanda ke arah itu hari ini.
Difahamkan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri esok bagi membincangkan soal pembahagian kerusi dan pemilihan calon.
Beliau telah pun mengadakan tiga pertemuan dalam tempoh dua minggu lalu.


Persekitaran yang sama disaksikan Rabu lalu sehingga Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan laporan palsu kononnya Parlimen akan dibubarkan.

Spekulasi kali ini semakin kuat susulan sesi jelajah terakhir di Pahang Sabtu lalu dan disusuli dengan beberapa majlis penting dan menarik dihadiri Najib sejak Ahad lalu.

Semalam Najib merasmikan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2013.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pihaknya memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada 22 April ini jika Parlimen masih belum dibubarkan sebelum tarikh itu.
Mandat semasa kerajaan pusat akan berakhir 28 April.
Speaker Dun Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor akan memaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran secara sendiri Dewan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Beliau berkata, pemakluman itu bagi membolehkan badan pengendali pilihan raya mengadakan pilihan raya bagi negeri ini dalam tempoh 60 hari selepas Dun terbubar secara sendiri pada Khamis.
"Itupun jika Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak membubarkan DUN esok (hari ini) di mana baginda masih boleh berbuat demikian di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Tapi jika tidak ada pembubaran esok (hari ini), mungkin pada sebelah petang saya akan menghantar makluman kepada SPR kerana pada tengah malamnya Dun sudah terbubar," katanya kepada Bernama semalam.
Dalam pada itu, bancian kendalian Sinar Harian Online setakat 12.30 tengah hari tadi menunjukkan 69 peratus pembaca berharap Parlimen akan dibubar minggu ini.
Seramai sembilan peratus atau 196 orang yang menyertai bancian ini berharap pembubaran akan berlaku minggu depan dan masing-masing 12 dan 10 peratus percaya Parlimen akan dibubar awal atau akhir bulan depan.
Seramai 2,238 menjawab soalan itu.

Menjawab soalan sama ada Parlimen perlu terbubar dengan sendiri apabila tamat tempoh mandat pada 28 April, 61 peratus atau 1,316 pembaca Sinar Harian Online bersetuju manakala 39 peratus atau 853 orang tidak setuju.

Sinar harian/-

Isu kematian Chang: Polis siasat MP Pakatan

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Polis menyiasat seorang lagi MP Pakatan Rakat hari ini berhubung penglibatan mereka dalam membangkitkan isu kematian pemuda Chang Chin Te yang mati semasa dalam tahanan di balai polis Subang Jaya, Januari lalu.
MP Subang R Sivarasa Rasiah berkata beliau hadir memberi keterangan di balai polis Tropicana, Petaling Jaya bagi siasatan berhubung kesalahan fitnah jenayah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

NONE
Sivarasa berkata beliau disiasat susulan satu laporan polis yang dibuat sendiri oleh ketua polis daerah Subang Jaya ACP Ramli Yahya.

Peguam itu juga berkata rakannya Gobind Singh Deo yang juga ahli parlimen Puchong turut disoal siasat berhubung insiden yang pada minggu lalu.

"Saya rasa ia satu pembaziran tenaga dan tindakan yang membuang masa. Masa yang berharga bagi pegawai kanan polis diarahkan untuk melakukan gangguan yang tidak sepatutnya dibuat terhadap ahli parlimen pembangkang yang mengambil isu ini mewakili rakyat dalam kawasan mereka.

"Saya menyeru ketua polis negara untuk memastikan supaya sumber polis yang berharga tidak disalahgunakan untuk tujuan ini.

"Ketua polis daerah, ketua polis negeri atau mana-mana pegawai polis yang bertindak dengan melakukan gangguan sedemikian, sepatutnya dikenakan tindakan displin," kata Sivarasa dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Sivarasa yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR berkata beliau disiasat selama lebih setengah jam, bermula jam 11.30 pagi ini, katanya.

Malaysiakini/-