15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
TUMPAT – Kegembiraan sekumpulan pelajar tingkatan lima mandi di lagun Pantai Sri Tujoh bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika cuba berenang menyeberangi lagun tersebut, di sini semalam.
Mayat Muhamad Faiq Zakaria, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat ditemui kira-kira jam 3.40 petang oleh pasukan bomba dan penyelamat Pengkalan Kubor.
Mangsa bersama rakannya lebih 10 orang ke pantai tersebut untuk berkelah sempena cuti sekolah ini dengan membakar ayam beramai-ramai di tepi lagun itu.
Rakannya, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Fadli, 17, berkata selepas menjamu selera ayam bakar itu dia bersama arwah dan beberapa rakan lagi turun mandi dan cuba berenang ke tebing seberang lagun tersebut, kira-kira 50 meter dari tebing tempatnya membakar ayam.
“Apabila sampai di tengah lagun saya rasa air terlalu dalam, jadi kami berpatah balik. Arwah terus berenang tanpa mengendahkan panggilan kami supaya berpatah balik,” katanya.
Menurutnya, selang beberapa minit selepas itu dia ternampak tangan arwah terkapai-kapai meminta tolong lalu dia berenang semula ke arah arwah yang berada di tengah lagun untuk menyelamatnya.
“Saya sempat tarik arwah, dua kali saya cuba bawanya berenang ke tebing tetapi saya tidak berdaya kerana badan arwah berat sangat.
“Dengan keadaan saya yang tidak berdaya ini, seorang lagi kawan saya, Nik Kamarul Azman Nik Azmi, 17, datang membantu tetapi entah macam mana arwah terlepas dari pegangan kami dan terus hilang,” katanya.
Difahamkan kedalaman lagun tersebut kira-kira lima meter.
Kakak mangsa, Nor Haslinda Zakaria, 33, berkata, dia sekeluarga tahu adik bongsunya daripada sembilan adik beradik datang berkelah di Pantai Sri Tujoh.
“Arwah selalu datang ke sini, cuma dia tidak pernah mandi, ini kali pertama dia mandi di lagun ini,” katanya yang memaklumkan adik bongsunya itu pandai berenang.
Menurutnya, arwah seorang anak yang baik dan masih terngiang lagi kata-kata terakhirnya apabila dia ingin belajar bersungguh untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, sejak seminggu kebelakangan ini, arwah tiap-tiap malam solat berjemaah berdekatan dengan masjid di rumahnya di Kampung Tanjung Kuala.
“Sebelum ini dia tidak begitu, kadang kala sahaja solat di masjid tetapi seminggu kebelakangan ini tiap-tiap malam solat berjemaah. Arwah juga sejak akhir-akhir ini terlalu manja dengan saya, rupa-rupanya itu petanda dia akan tinggalkan saya,” katanya.
Jenazah arwah merupakan anak pesara guru, Zakaria Othman, 66, dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Kuala.
Pegawai Operasi Balai Bomba Pengkalan Kubor, Wan Mohd Ramzi Wan Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemui di dasar lagun tersebut kira-kira jam 3.40 petang dengan kedudukannya lima meter dari tebing.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan