27 Mac 2013

Bekas penyampai radio Alan Zachariah meninggal dunia

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Bekas penyampai Radio Televisyen Malaysia, (RTM), Alan Zachariah, 71, meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam.

Anak tunggal mendiang, Adam Zachariah, 34, memberitahu Bernama bapanya dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada petang semalam sebelum meninggal dunia pada kira-kira 1.30 tengah hari.

"Bapa saya tidak pernah mengadu sakit, tapi semalam tiba-tiba dia sakit dada dan kami terus bawa ke hospital," katanya.

Menyifatkan bapanya seorang yang penyayang dan bertanggungjawab, Adam berkata mendiang gemar melancong bersama keluarga selain mahir bermain gitar.

"Kehilangan beliau amat dirasai sebab kami sering melakukan aktiviti bersama," katanya.

Upacara keagamaan untuk mendiang dijangka disempurnakan di Gereja St Ignatius di Petaling Jaya esok.

Selain Adam, mendiang Alan meninggalkan balu, Evelyn, 64.

Anak kelahiran Kuala Lumpur, Alan mula menyertai RTM pada 1966 dan bersara pada 2000.

Mendiang terkenal sebagai penyampai radio siaran bahasa Inggeris ketika bertugas dengan RTM.

Mendiang turut dikenang sebagai individu yang mempopularkan irama jazz di radio tempatan. 

- Bernama

Tiada ulasan: