15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah mengotakan janjinya untuk mengumumkan awal tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) itu, sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki dengan tarikh pembubaran parlimen.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai bijak dan berani, dan Najib sewajarnya malu kepada pemimpin negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.
Menurut Ketua Penerangan DPPM Riduan Mohd Nor, Najib lebih suka membiarkan rakyat berada dalam keadaan teka-teki sehingga menyusahkan mereka merancang urusan kerana risau bertembung dengan pilihan raya.
"Tindakan politik MB Selangor mengumumkan tarikh pembubaran DUN adalah suatu tindakan licik, bijak serta suatu sindiran tajam kepada PM. Jika MB sebuah negeri dalam persekutuan mampu mengumumkan tarikh pembubaran DUN, amat malang sekali seorang PM yang mempunyai kerajaan persekutuan takut dan enggan mengumumkan tarikh pembubaran parlimen.
"Lebih baik MB Selangor menjadi PM kerana beliau berani berterus terang dan berhadapan dengan rakyat, berbanding PM yang penakut untuk menghadapi kebenaran," katanya.
Semalam Abdul Khalid mengumumkan Dun Selangor akan dibubar pada 22 April ini sekiranya parlimen masih belum dibubarkan sebelum tarikh itu.
Namun jika parlimen telah dibubarkan sebelum itu, ia akan automatik terbubar dan akan menjalani pilihan raya umum ke 13 mengikut kerajaan persekutuan.
Tarikh tersebut bersamaan dengan tarikh DUN Selangor dibubarkan secara automatik setelah cukup tempohnya 5 tahun.
"Meskipun lewat dari tarikh jangkaan banyak pihak, setidak-tidaknya MB Selangor berani meletakkan tarikh dan mengumumkan kepada media.
"Beliau tidak merahsiakan tarikh pembubaran Dun supaya setiap rakyat membuat persediaan secukupnya," kata Riduan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan