15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Seluruh pemimpin dan ahli-ahli PAS serta Pakatan Rakyat di seluruh negara diminta memantau dengan rapi segala tindakan luar biasa para pemimpin Umno-BN di negeri-negeri yang dikuasai parti itu, sementara tibanya saat pembubaran parlimen.
Ketika berada di hujung kuasa, para pemimpin Umno-BN dipercayai akan melakukan pelbagai tindakan untuk melakukkan pemindahan aset-aset mereka kepada kroni-kroni mereka, walaupun tindakan mereka itu menyalahi etika dan undang-undang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukti terbaru mengenai tindakan buruk mereka itu boleh dirujuk kepada tindakan yang telah dilakukan oleh para pemimpin Umno-BN Pahang pada Februari lalu.
Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan menerusi mesyuarat Exco Pahang yang telah meluluskan seluruh pengurusan jalan raya di negeri itu kepada sebuah syarikat, Y. P. Mantanence Sdn. Bhd. mulai April ini selama 7 tahun.
Katanya, walaupun keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Exco, tetapi ia ternyata menyalahi etika, lebih-lebih lagi ia mempertingkatkan kos sehingga 25 peratus berbanding kos biasa.
"Disebabkan tindakan itu, banyak pihak turut menjadi mangsa, sehingga ia mencetuskan pelbagai rungutan di kalangan rakyat teutama para kontraktor kelas F," katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, setelah disiasat didapati tindakan tersebut sengaja dilakukan oleh mereka untuk membolehkan mereka memindahkan aset-aset mereka kepada kroni-kroni mereka, setelah disedari mereka tidak lagi berpeluang berbuat demikian pada masa akan datang jika parti itu kalah dalam PRU ke-13 nanti.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu tidak mustahil turut dilakukan juga oleh para pemimpin Umno-BN di negeri-negeri lain yang dikuasai parti itu, sementara parlimen dibubarkan atau terbubar dengan sendirinya sehingga 28 April ini.
"Jadi kita mestilah memantau dengan rapi segala tindakan luar biasa mereka itu kerana selain untuk mengaut keuntungan peribadi dan memberikan habuan kepada kroni-kroni mereka, mereka juga ingin memberikan kesukaran dan tekanan kepada Pakatan Rakyat jika kita dapat memerintah negara selepas PRU ke-13 nanti," ujarnya.
Sebelum ini, tambah beliau, para pemimpin Umno-BN telah menimbulkan pelbagai tekanan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melalui perjanjian air dengan Syabas.
"Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor begitu prihatin kepada rakyat dengan membekalkan air percuma kepada rakyat untuk sekitar 11 mililiterpadu pertama, mereka pula berusaha untuk mengaut kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hak rakyat.
"Kita sememangnya amat kesal dengan sikap mereka itu. Mereka juga telah sedar tentang kemarahan rakyat kepada mereka. Jadi sementara kuasa masih berada di tangan mereka sekarang, mereka pasti akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan mereka. Tindakan mereka itu amat perlu dipantau oleh kita untuk membolehkan kita mengambil tindakan sewajarnya nanti," tegas beliau.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan