15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PASIR GUDANG - Suasana gembira tiga sahabat bermain dengan berpaut pada sebatang paip dalam longkang berhampiran rumah mereka di Taman Puteri Resort, di sini, bertukar panik apabila seorang daripadanya lemas dalam kejadian petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Aliff Ahmad, 11, dihanyutkan sejauh kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui terapung di Sungai Kimkim, dekat sini, pada jam 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa dikatakan mengapungkan diri atas air sambil berpaut pada batang paip dalam longkang berkenaan.
“Mangsa dipercayai terlepas pautannya pada batang paip itu sebelum dihanyutkan arus deras. Kejadian hanya disedari apabila dua rakannya mendapati mangsa tiba-tiba hilang daripada berpaut di batang paip berkenaan.
“Mereka yang panik dengan kehilangannya cuba mencari mangsa, namun tidak berhasil. Pasukan mencari dan menyelamat digegaskan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan, namun usaha menjejaki mangsa juga tidak berhasil,” katanya ketika pemberita ketika dihubungi, semalam.
Roslan berkata, mayat mangsa hanya berjaya ditemui selepas 14 jam kehilangannya oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.
“Mayat Muhammad Aliff dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR). Polis bagaimanapun akan menyiasat kejadian ini secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, ayah mangsa, Ahmad Yahya, 56, ketika ditemui di Unit Forensik HSI, dekat sini, terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu selain menyifatkan Muhammad Aliff seorang anak yang baik dan selalu mendengar kata.
“Saya tidak sangka kerana pada pagi kejadian, dia meminta saya supaya menemaninya di rumah, namun saya terpaksa ke Melaka pada waktu itu kerana ada urusan perniagaan.
“Saya hanya tahu mengenai kejadian ini kira-kira jam 5 petang semalam sebelum bergegas pulang. Saya sedih kerana tidak menurut katanya pada pagi itu, kini dia sudah tiada lagi,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan