27 Mac 2013

Rakan sempat ajar mengucap

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Rosidi menunjukkan lokasi kemalangan yang mengakibatkan rakannya maut.


Rosidi menunjukkan lokasi kemalangan yang mengakibatkan rakannya maut.
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Gunung Keriang, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, motosikal dinaiki mangsa, Kassim Isa, 54, dikatakan dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunong menuju ke Jalan Sungai Baru, Gunung Keriang bertembung dengan sebuah kereta ketika dia berhenti untuk membelok ke tempat kerjanya di sebuah kedai perkakasan.



Mangsa yang cedera parah  meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta hanya cedera ringan.



Saksi, Rosidi Shuib, 42, yang juga merupakan rakan sekerja mangsa berkata, ketika kejadian , dia bersama beberapa rakan sekerja yang lain  berada di tempat kerja bagaimanapun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba.



“Kemudiannya, kami lihat mangsa terpelanting dan tergolek beberapa kali di atas jalan raya sebelum terjatuh.



“Terkejut dengan kejadian itu, kami segera mendapatkan mangsa untuk mengalihkannya ke kawasan yang lebih selamat malah sempat mengajarnya mengucap sebelum dia  meninggal dunia,” katanya.



Menurutnya, kemalangan sering berlaku di kawasan ini.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian itu manakala pemandu kereta berkenaan hanya mengalami cedera ringan.



Katanya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu cuai sehingga mengakibatkan kematian.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: