15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
HULU BERNAM - Suasana sedih menyelubungi Klinik Kesihatan Tanjung Malim apabila tangisan seorang bayi dahagakan susu arwah ibunya, Juwainee, 35, yang maut dalam kemalangan, pagi semalam.
Aqram Ridwan berusia tujuh bulan turut terbabit dalam nahas itu dan menerima rawatan bersama bapanya, Ridwan, 34, serta abangnya, Iqram Ridwan, 2, di klinik berkenaan.
“Sedih bila tengok anak dia menangis cari ibu nak susu, sebab bayi dia baru tujuh bulan dan menyusu badan,” kata Mohd Zulkanain Majid, 22, anak saudara kepada ibu bayi terbabit yang maut dalam kemalangan di Kilometer 397.8 pagi semalam.
Katanya, Aqram dilihat menangis sekuat hati kerana dipercayai mengalami kesakitan dalaman dan kelaparan sebelum dapat ditenangkan jururawat yang turut memberinya susu formula.
Menurutnya, bayi terbabit bersama abang, ibu dan bapanya serta seorang saudaranya terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi selepas susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim, arah Utara dekat sini.
Zulkanain berkata, Juwainee terkorban dalam kemalangan tersebut namun bayinya dilihat selamat dalam pelukannya.
“Suaminya mengalami patah tulang bahu kiri, namun anak keduanya serta adik kandung mangsa terselamat dan tak cedera.
“Kesemua mereka dibawa ke KKTM untuk rawatan dan pemeriksaan. Jenazah ibu bayi itu dibawa ke sini (Hospital Kuala Kubu Bharu - HKKB),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKKB.
Menurut Zulkanain, kesemua mangsa adalah warga Thailand dan sering datang ke Malaysia untuk membeli kain dan tudung untuk dijual di sana.
Menurutnya, mereka akan singgah ke rumahnya di Kampung Jawa, Klang untuk berehat sebelum pulang semula ke Thailand.
“Kami semua bersaudara dan mereka selalu datang ke sini untuk beli barang dan dijual di sana.
“Tapi, malam tadi (kelmarin) mereka tidak sempat tidur dan terus saja pulang selepas berkemas kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam) kerana ibu mertua mangsa sakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Thailand,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkanain terkejut apabila menerima panggilan daripada saudara mangsa mengatakan mereka terbabit dalam kemalangan tersebut.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan