15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Selangor akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 22 April depan jika Parlimen masih belum dibubarkan sebelum tarikh itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penetapan tarikh tersebut dibuat agar tiada lagi persoalan mengenai tarikh pembubaran Dun Selangor.
"Jika kerajaan persekutuan tidak mengisytiharkan parlimen dibubarkan sebelum atau pada 22 April maknanya kerajaan Selangor akan bubar pada hari tersebut.
"Jadi tak ada lagi persoalan masa dan tarikh pembubaran Dun," kata beliau apda sidang media Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, dekat sini lewat petang tadi.
Abdul Khalid juga mencadangkan agar Negeri Pakatan Rakyat yang lain iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan membubarkan Dun pada tarikh yang sama bagi mempercepatkan proses pembubaran Parlimen.
"Kita juga akan melihat bahawa cadangan ini akan kita minta akan dipertimbangkan oleh Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah supaya kita akan memaksa Parlimen dibubarkan," katanya lagi.
Sebelum ini, Abdul Khalid menegaskan beliau akan membubarkan Dun Selangor hujung Mac ini ekoran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki dengan tarikh pembubaran parlimen.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Publisitinya, Tony Pua.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan