15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
ALOR GAJAH - Tujuh sekeluarga berhadapan detik cemas apabila diacukan senjata tajam oleh lima perompak di sebuah rumah di Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, kelima-lima perompak terbabit bertindak mengejutkan salah seorang ahli keluarga mangsa, Mohd Fadhli Mat Aris, 26, sebelum mengarah mengejutkan yang lain.
Salah seorang perompak terbabit masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap sebelum dia membuka pintu.
Salah seorang mangsa, Khairul Azizi Mat Aris @ Hiaris, 31, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dalam bilik, manakala adiknya, Mohd Fadhli tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan perompak dengan mengacukan sebilah parang di leher.
“Selepas adik terjaga, perompak itu meminta dia mengejutkan saya dan isteri, Noraniza, 30, serta dua anak berusia tiga tahun dan enam bulan sebelum kami dibawa ke ruang tamu,” katanya.
Khairul Azizi berkata, perompak terbabit bertindak mengoyakkan langsir rumah, selimut dan kain batik sebelum mengikat kaki serta tangan mereka.
“Selepas itu, satu daripada telefon bimbit perompak berkenaan berbunyi dan saya terdengar dia memberitahu seseorang bahawa mereka sudah berada dalam rumah sebelum mematikan panggilan.
“Perompak itu paksa kami tunjuk di mana barang berharga diletakkan sebelum dia menemui lima telefon bimbit pelbagai jenis dan tiga dompet keluarga berisi wang tunai kira-kira RM500,” katanya.
Menurutnya, beberapa minit kemudian perompak itu mengarahkannya mengejutkan kedua ibu bapanya berusia 61 dan 54 tahun yang berada dalam bilik sebelum mengambil semua barang kemas.
Menurutnya, perompak itu melarikan seutas rantai emas, sebiji loket, tiga gelang tangan dan empat bentuk cincin emas yang keseluruhan dianggarkan RM15,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan