27 Mac 2013

Hairie nafi artis tak laku punca masuk politik

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Shuhaimi Baba

Shuhaimi Baba mengemukakan hujah beliau. Di kiri beliau ialah Hairie Othman. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
SHAH ALAM - Pelakon yang sinonim dengan watak utama dalam filem Leftenan Adnan, Hairie Othman, menafikan dakwaan yang mengatakan seseorang artis terlibat dengan parti politik disebabkan tidak laku di layar seni.

Muncul sebagai panel dalam wacana anjuran Sinar Harian semalam, Hairie berkata, dia berbangga dengan pencapaian sebagai seorang pelakon kerana dengan pencapaian itu berjaya meletakkan dirinya berada sebaris dengan pemimpin dalam parti Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, tidak tepat untuk tuduh seseorang artis tidak laku dahulu baru mereka mahu terlibat dalam politik kerana keadaan itu merugikan.

"Kalau kita tunggu sahaja, tidak pandai ambil peluang atau tunggu tak laku dahulu baru nak terlibat dengan politik kita akan rugi.

"Sepatutnya, dalam keadaan orang kenal kita sebagai pelakon kita perlu ambil peluang melibatkan diri dan cambahkan populariti sebagai seorang artis," katanya ketika menjawab soalan yang diaju moderator.

Wacana Sinar Siri ke-18 bertajuk Artis Masuk Politik: Kredibiliti atau Pancing Undi semalam turut menampilkan Presiden Seniman, Zed Zaidi; Bob Lokman dan Presiden Pengeluar Filem Malaysia, Datuk Shuhaimi Baba sebagai panel.

Menjawab soalan moderator menyentuh tajuk wacana, Hairie berkata, golongan artis sepatutnya lebih prihatin dan faham tentang hak dan tanggungjawab sebagai rakyat serta pengundi.

Menurutnya, tidak timbul isu artis dipergunakan untuk pancing undi terutamanya sempena musim menjelang pilihan raya umum sekarang.

"Sebagai rakyat, artis juga mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang akan dipilih untuk kesejahteraan kita semua.

"Sepatutnya kita kena faham ini adalah tanggungjawab kita semua yang layak mengundi untuk mengambil berat hal politik semasa dan juga hak sebagai rakyat," hujah beliau.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai plaform politik sebagai tempat cari makan, Hairie berkata, tidak sepenuhnya penglibatannya dalam politik untuk meraih mata pencarian.

"Kalau nak tunggu orang panggil ceramah sahaja memang saya tidak cukup makan, tambah-tambah lagi dalam PR.

"Pandangan tentang artis masuk politik untuk cari makan saya kira itu kurang tepat. Ini kerana, kadang-kadang ada program yang saya hadiri tidak dapat apa-apapun," katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: