30 April 2009

Dato R.Ganesan (MIC) Calon Speaker Perak

BN telah menamakan Dato R.Ganesan, bekas ADUN Sungkai sebagai calon Speaker Perak menggantikan V.Sivakumar. Usul ini diserahkan di Pejabat Setiausaha Dewan Negeri pada pagi ini. Usul yang bertarikh 29 April 2009 ini dicadangkan oleh Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong oleh Dato Hamidah Osman. Surat persetujuan daripada Dato' R. Ganesan untuk dipilih sebagai Speaker Perak juga disertakan bersama-sama usul ini.

Perlulah diingatkan boleh atau tidak usul ini dikemukakan dalam persidangan penuh bersejarah itu bergantung kepada Speaker DUN Perak yang masih sah , V. Sivakumar samaada menerima atau menolak usul ini.

Pembaca boleh fikirkan sendiri jawapannya ?

Ceramah Bubarkan DUN Perak, ribuan penyokong PR pelbagai kaum hadir


KAMPAR : Kita tidak mahu UMNO kerana mereka mengamalkan diskriminasi kepada rakyat. Sebab itu kita mahukan Pakatan Rakyat yang tidak mengamalkan diskriminasi. Demikian antara ucapan YAB Menteri Besar Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin dalam ceramah di sini.

Ceramah penerangan yang diadakan di Dewan Tokong Cina Mambang Diawan menampilkan penceramah laian iaitu, Exco Kerajaan Negeri pakatan Rakyat Perak, Nga Kor Ming dan Chen Fock Chai, ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim, ADUN Malim Nawar, Khesvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai.



DS. Nizar menjelaskan terdapat beberapa faktor dan fakta yang bercanggah sehingga Mahkamah Persekutuan telah memutuskan masalah kemelut siapakah Menteri Besar diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Malah kata beliau "Mahkamah tidak ada hak menentukan siapa kerajaan yang sebenar, kerana rakyat adalah yang paling berhak menentukan siapakah kerajaan yang sah".

"Saya berterima kasih kepada saudara yang memberi sokongan termasuk dengan dengan sms dan Email" katanya.



Disamping itu beliau mengupas perkembangan Sidang DUN dengan katanya "7 Mei adalah tarikh yang mengerikan kerana hari itu akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga sama sekali, kami akan bermesyuarat esok untuk menyusun strategi. Kami akah hadir mengikut bidang tugas yang ada pada speaker."

DS. Nizar menyifatkan " kemenangan di Bukit Gantang adalah kemenangan rakyat sebab itu Najib cukup takut. Sekarang UMNO takut kepada PRK kerana rakyat akan hukum mereka dan rakyat akan mengatakan kamu zalim dan aniaya negeri perak." mengakhiri ucapan penuh bersemangat pada malam ini.

Jadilah isteri yang disenangi suami

Ahmad Baei Jaafar

Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.

Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi?

Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka. Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.

Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).

Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh. Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.

Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.

Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.

Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?

Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.

Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.

Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.

Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?

Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.

Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.

Pekan Rabu Batu 5 : Lawatan ADUN Titi Serong bertemu rakyat diteruskan

Drs. Khalil bertanyakan sesuatu kepada OKU cacat penglihatan yang menjual jelly berasal dari Parit Sungai Burung.

Senyuman sambil membalas salam serta senyuman tanda penghargaan dalam kunjungan bertemu rakyat pada hari ini.


TITI SERONG, 29 April :- Usaha mendekati dan meninjau masalah rakyat di DUN Titi Serong diteruskan dalam jadual harian Drs. Khalil Idham Lim apabila beliau meninjau keadaan Pasar Rabu Pekan Batu 5 disini hari ini.

Setiap peniaga dan pengunjung tidak mengira bangsa dan agama disapa oleh Drs. Khalil dan disambut dengan senyuman tanda mereka menghargai kunjungan sekitar 2 jam itu.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah 3 orang pegawai dari pejabat ADUN dan Ketua Kampung Pakatan Rakyat Parit Hj. Tahir, Hj. Ahmad Tyandarius.

Dalam bahasa banjar, kalimat "kulaan" sangat popular untuk memulai pertemuaan sebegini.

Penjual kopi dari Sungai Bakap bersalaman dan bertanya khabar.

"Macamana sidang 7 Mei depan" tanya pak cik ini kepada saya .

Syabas, anak muda gigih dengan perniagaan ikan laut menyambut kedatangan Drs. Khalil dengan penuh ceria.

Seorang malu-malu bergambar, seorang tersenyum lebar bersalam dengan ADUN.

Drs. Khalil bertanya khabar dalam bahasa Mandarin kepada peniaga jam dari Nibong Tebal.

Adik ini ahli Qariah Surau Sg. Labu Bawah, Bila masuk waktu dialah muaazinnya.

Peniaga baju kurung perempuan serta kawan-kawannya sempat berbincang pasal bisnesnya, "kami tahu YB juga minat niaga".

Kertas akhbar lama ditangan diguna untuk lap tangan, namun tanda pertemuan huluran tangan mesti disambut dengan mesra.

"Apa khabar kulaan"

Pak Tam peniagaan keperluan dapur bersalam dengan Drs. Khalil.

Peminat kecil, kata bapanya "dia nak bersalam dengan YB", hadiahnya dapat duit raya.

Keluarga India asal Batu Lima bersarapan bergambar dengan ADUN.




Rayuan derma untuk pesakit buah pinggang kronik.

Lawatan saya pada jam 12.30 tengahhari tadi,Khairul (tengah) seolah merenung masa depan yang belum pasti kesudahannya. Bantulah Khairul....
Saya merayu kepada semua pengunjung blog ini untuk ringankan tangan bagi membantu penderitaan adik Mohd Khairul Nizam bin Azmi. Beliau memerlukan satu bilik kecil khusus dengan anggaran kos sekitar RM 3000 untuk menyimpan alat perubatan dan rawatan harian khairul setiap 4 jam sekali yang dilakukan di rumah.

Salurkan bantuan anda langsung ke akaun pesakit tersebut :

Nama : Mohd Khairul Nizam bin Azmi/Che Jam binti Mat Saleh
Bank : Bank Islam Cawangan Parit Buntar Perak
No.Akaun : 08-022-02-035957-9



Akaun ini khusus dibuka untuk memberi peluang kepada penderma budiman bagi menyegerakan pembinaan bilik yang akan diusahakan secara gotong royong dibawah pengelolaan Pejabat ADUN Titi Serong.

Lawatan saya pada 8 Oktober 2008. Saya harapkan usaha kita bersama dalam blog ini menyelesaikan keperluan Khairul yang tertangguh sekian lama.


Sebelum ini pada bulan oktober 2008 saya telah melawat dan menyiarkan berita dalam blog ini tentang pesakit buah pinggang berumur 17 tahun itu. Pelajar SMK Panglima Bukit Gantang Parit Buntar itu mengidap penyakit itu sejak berumur 4 tahun . Kini beliau mendapat rawatan susulan dari doktor pakar di hospital Pulau Pinang.

Menurut ibu saudara mangsa yang kematian ibunya sejak dua tahun lepas dan berpisah dengan bapa sejak kecil, khairul sekarang ini dibekalkan oleh pihak hospital dengan alat perubatan asas untuk mengantikan air melalui perut yang di tebuk setiap 4 jam sekali. Selain itu beliau juga mengalami penyakit sampingan iaitu pendengaran yang tidak jelas.

Setakat hari ini setelah lawatan dilakukan untuk sekian kalinya, termasuk beberapa kali lawatan oleh Pegawai dari pejabat ADUN didapati permohonan dari pihak berkenaan yang dipohon masih tidak diluluskan.

Buku akaun Khairul di Bank Islam Cawangan Parit Buntar.


Terakhir 2 pegawai dari jabatan yang terbabit telah melawat ke rumah Khairul dan memberi jaminan bantuan akan disegerakan. namun sampai sekarang masih belum diluluskan.


Perasmian tugu Pokok Demokrasi ditunda.

IPOH: Perasmian tugu 'Pokok Demokrasi' yang dijadualkan Jumaat ini ditunda ke tarikh lain apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak menggagalkan pembinaan semula tugu itu semalam kerana ia dijalankan tanpa kebenaran.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pembinaan semula plak itu yang sepatutnya siap sebelum Jumaat ini terpaksa dihentikan atas arahan MBI.

"Kami telah menghantar surat permohonan kepada MBI petang semalam bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan tapak dimulakan semula secepat mungkin," katanya kepada pemberita di Wisma DAP di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Datuk Roshidi Hashim bagi menjelaskan pembinaan plak itu termasuk pembinaanya tidak mengganggu lalu lintas serta boleh menjadi tarikan pelancong.

Semalam MBI menggagalkan usaha pembinaan semula plak peringatan 'Pokok Demokrasi' yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.

Jurucakap MBI berkata, MBI mengarahkan kerja pembinaan tugu itu dihentikan kerana perbuatan membina sebarang bentuk struktur tanpa kebenaran MBI di kawasan seliaannya adalah tidak dibenarkan.

BN kemuka usul pecat Speaker DUN Perak

Barisan Nasional (BN) Perak telah mengemukakan usul untuk memecat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat apabila ia bersidang 7 Mei ini.

Bagaimanapun, Pakatan membantah keputusan tersebut atas alasan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri, yang kini digantung tugas, telah mengeluarkan surat berkaitan dengan usul undi tidak percaya untuk memecat Speaker.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham, beliau (ADUN PR yang lain juga telah menerima notis tersebut) telah menerima surat yang memberitahu mengenai usul tersebut semalam.

"Surat itu menyatakan Zambry (Menteri Besar Perak) dan kerajaan BN negeri akan mengemukakan satu usul undi tidak percaya untuk pecat Speaker (Sivakumar).

"Usul itu tidak sah kerana dia (Abdullah Antong Sabri) telah digantung tugas oleh Speaker,"katanya kepada mStar Online hari ini.

Tegasnya, surat tersebut jelas menghina Speaker kerana Sivakumar tidak diberitahu mengenai usul berkenaan.

"Mereka perlu rujuk dan beritahu kepada Speaker dahulu. Tapi mereka (BN Perak) buat macam itu,"katanya.

Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beruas berkata, BN Perak tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam isu tersebut.

"Bagi saya ini tidak betul dan surat yang dikeluarkan ini jelas menunjukkan kerajaan BN tidak ikut undang-undang.

"Jika mereka mahu pecat dia (Sivakumar) mereka perlu lantik Timbalan Speaker (Lee Yit Foong- Bebas) menggantikan Speaker.

"Tapi mereka (BN Perak) tidak buat begitu kerana Yit Foong(ADUN Jelapang) dikatakan tidak layak kerana itu mereka mahu kemukakan nama yang Speaker yang baru. Mereka( BN Perak) tidak boleh buat andaian-andaian sebegini,"katanya.

Pada 16 April lalu, Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong menghantar notis pemberitahuan persidangan bertarikh 7 Mei kepada semua ADUN negeri itu.

Sultan Perak juga dilaporkan berkenan menandatangani surat perisytiharan berhubung persidangan berkenaan.

Berikutan itu, Speaker DUN Perak, Sivakumar pada 17 April telah bertindak menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis persidangan tanpa pengetahuan dan persetujuannya terlebih dulu. Mstar.

MAHASISWA PERAK desak tarik balik keputusan kabinet

Oleh : Mohd Hafez Sabri

Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATUPERAK) mendesak kabinet menarik balik keputusannya yang menyatakan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Dalam satu kenyataaan hari, Exco Penerangannya, Ahmad Shahir Abdul Aziz berkata, BERSATU PERAK mengkritik sekeras-kerasnya keputusan kabinet itu.

Kabinet membuat keputusan itu pada 23 April lalu sebagai langkah untuk menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang dilaporkan baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Ahmad Syahir berkata, keputusan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga dianggap tidak tepat kerana ia dibuat dengan cara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti mufti.

“Memandangkan isu ini amat berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam, seharusnya pihak kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

“Justeru, BERSATU PERAK berpandangan tindakan kabinet yang membuat ketetapan tersebut tanpa sebarang rujukan kepada tokoh ulamak adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” tegas Ahmad Syahir.

BERSATU PERAK juga,katanya, melihat tindakan kabinet itu amat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif.

‘Campuri bidang kehakiman’

“Ini kerana tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan.

“Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

“Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga.

“Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,” kata Ahmad Syahir.


Oleh itu, katanya, BERSATU PERAK mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kabinet yang “membuat keputusan secara tidak berhemah dan tergopoh-gapah memandangkan kes itu masih dibicara melalui proses mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Perak”.

Sehubungan itu, katanya, BERSATU PERAK turut mendesak kabinet menarik balik keputuan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan keutuhan kuasa pihak mahkamah.

Memorandum JKKKN

Ustaz Mohd Khushairi Haji ariffin (berdiri 3 dari kanan), Haji Shukri Ahmad (duduk 6 dari kanan), Haji Razman Haji Zakaria (duduk kanan sekali) bergambar bersama sebahagian Ketua Kampung dalam kawasan Parlimen Lenggong.


Oleh Khairul Azman Sakri.

LENGGONG: Seramai 39 ketua kampung dan 234 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) seluruh kawasan Parlimen Lenggong tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar (MB) Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak JKKKN Parlimen berkenaan, Ustaz Mohd Khushairi Haji Ariffin, berkata selain tetap berdiri teguh, mereka juga menyokong penuh segala usaha yang sedang dibuat untuk menuntut keadilan dan hak ketua-ketua kampung dan JKKKN seluruh negeri.

Katanya, tindakan penamatan jawatan ketua-ketua kampung dan pembubaran JKKKN seluruh negeri oleh Pemerintah Kudeta Barisan Nasional Perak pada 16 April lalu adalah suatu kezaliman yang dilakukan ke atas pimpinan di peringkat akar umbi.

"Kami dilantik pada 1 Ogos 2008 untuk tempoh dua tahun, iaitu sehingga 31 Julai 2010, tiba-tiba diberi surat penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN.

"Surat penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN pula daripada Pegawai Daerah sedangkan watikah pelantikan dulu daripada MB sendiri, di mana pelantikannya diperkenan Sultan Perak,' katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua kampung dalam kawasan Parlimen Lenggong bagi merangka memorandum bantahan di Pejabat PAS Lenggong di sini baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Haji Shukri Ahmad, Setiausaha PAS kawasan, Abu Bakar Mat Saleh dan Ketua PAS Cawangan Luat Tengah, Haji Razman Haji Zakaria.

Mohd Khushairi berkata, mesyuarat itu telah memutuskan untuk menghantar memorandum kepada pihak berkenaan bagi menuntut beberapa perkara, antaranya ialah mempersoalkan hak tindakan penamatan jawatan ketua-ketua kampung serta pembubaran JKKKN.

Selain itu, katanya pembayaran elaun ketua-ketua kampung serta JKKKN yang tidak dilunaskan sejak Februari lalu atau telah tertunggak lebih tiga bulan didesak supaya dijelaskan.

Beliau yang juga AJK PAS kawasan, berkata pertemuan itu juga mengambil keputusan menyokong penuh pihak negeri yang mengusahakan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN.


Lawatan ke Pasar Minggu Taman Kerian

Bergambar bersama Uncle Ah Kiang (77 tahun). Teman lama sejak awal berhijrah ke Parit Buntar saya sudah mengenali beliau yang tinggal di Pekan Batu 5. Kelebihan beliau ialah fasih berbahasa Banjar, gurauan saya "cuma belum masuk Islam lagi", dia tersenyum dengan gurauan saya kelmarin.

PARIT BUNTAR, 28 April :- ADUN Titi Serong meneruskan siri lawatan bertemu dengan rakyat di dalam kawasan DUN nya dengan meluangkan masa sekitar 2 jam untuk berada di Pasar Minggu di Taman Kerian Parit Buntar. Pasar minggu pada setiap hari Selasa itu merupakan salah satu pasar minggu yang mendapat perhatian ramai penduduk tempatan dan dari luar untuk membeli pelbagai keperluan harian.

Tidak ada aduan khusus yang disampaikan kepada kami dalam lawatan tersebut.Cuma sesetengahnya merungut dengan kegawatan ekonomi menyebabkan jualan agak merosot.

Pada kesempatan yang sama Drs. Khalil sempat berbual dan bertukar-tukar maklumat dengan sepasang suami isteri yang baru balik kerja di sebuah kilang komponen elektronik di Nibong Tebal. Mereka berdua mengatakan agak bertuah kerana kilangnya masih beroperasi seperti biasa sedangkan sepengetahuannya ada kilang yang sudah membuang pekerja dan mengurangkan jumlah hari kerja kerana kemelesetan ekonomi.

Kebanyakan dari mereka yang ditemui bertanyakan kepada ADUN Titi Serong mengenai perkembangan sidang 7 Mei akan datang, jadi atau tidak ?

Semuga Pejabat ADUN Titi Serong meneruskan usaha menyusun pergerakan Drs. Khalil untuk bertemu dengan pengundi di kawasan DUN nya.