30 April 2009

Perasmian tugu Pokok Demokrasi ditunda.

IPOH: Perasmian tugu 'Pokok Demokrasi' yang dijadualkan Jumaat ini ditunda ke tarikh lain apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak menggagalkan pembinaan semula tugu itu semalam kerana ia dijalankan tanpa kebenaran.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pembinaan semula plak itu yang sepatutnya siap sebelum Jumaat ini terpaksa dihentikan atas arahan MBI.

"Kami telah menghantar surat permohonan kepada MBI petang semalam bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan tapak dimulakan semula secepat mungkin," katanya kepada pemberita di Wisma DAP di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Datuk Roshidi Hashim bagi menjelaskan pembinaan plak itu termasuk pembinaanya tidak mengganggu lalu lintas serta boleh menjadi tarikan pelancong.

Semalam MBI menggagalkan usaha pembinaan semula plak peringatan 'Pokok Demokrasi' yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.

Jurucakap MBI berkata, MBI mengarahkan kerja pembinaan tugu itu dihentikan kerana perbuatan membina sebarang bentuk struktur tanpa kebenaran MBI di kawasan seliaannya adalah tidak dibenarkan.

Tiada ulasan: