30 April 2009

Memorandum JKKKN

Ustaz Mohd Khushairi Haji ariffin (berdiri 3 dari kanan), Haji Shukri Ahmad (duduk 6 dari kanan), Haji Razman Haji Zakaria (duduk kanan sekali) bergambar bersama sebahagian Ketua Kampung dalam kawasan Parlimen Lenggong.


Oleh Khairul Azman Sakri.

LENGGONG: Seramai 39 ketua kampung dan 234 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) seluruh kawasan Parlimen Lenggong tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar (MB) Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak JKKKN Parlimen berkenaan, Ustaz Mohd Khushairi Haji Ariffin, berkata selain tetap berdiri teguh, mereka juga menyokong penuh segala usaha yang sedang dibuat untuk menuntut keadilan dan hak ketua-ketua kampung dan JKKKN seluruh negeri.

Katanya, tindakan penamatan jawatan ketua-ketua kampung dan pembubaran JKKKN seluruh negeri oleh Pemerintah Kudeta Barisan Nasional Perak pada 16 April lalu adalah suatu kezaliman yang dilakukan ke atas pimpinan di peringkat akar umbi.

"Kami dilantik pada 1 Ogos 2008 untuk tempoh dua tahun, iaitu sehingga 31 Julai 2010, tiba-tiba diberi surat penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN.

"Surat penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN pula daripada Pegawai Daerah sedangkan watikah pelantikan dulu daripada MB sendiri, di mana pelantikannya diperkenan Sultan Perak,' katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua kampung dalam kawasan Parlimen Lenggong bagi merangka memorandum bantahan di Pejabat PAS Lenggong di sini baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Haji Shukri Ahmad, Setiausaha PAS kawasan, Abu Bakar Mat Saleh dan Ketua PAS Cawangan Luat Tengah, Haji Razman Haji Zakaria.

Mohd Khushairi berkata, mesyuarat itu telah memutuskan untuk menghantar memorandum kepada pihak berkenaan bagi menuntut beberapa perkara, antaranya ialah mempersoalkan hak tindakan penamatan jawatan ketua-ketua kampung serta pembubaran JKKKN.

Selain itu, katanya pembayaran elaun ketua-ketua kampung serta JKKKN yang tidak dilunaskan sejak Februari lalu atau telah tertunggak lebih tiga bulan didesak supaya dijelaskan.

Beliau yang juga AJK PAS kawasan, berkata pertemuan itu juga mengambil keputusan menyokong penuh pihak negeri yang mengusahakan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penamatan jawatan serta pembubaran JKKKN.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selagi ada ruang teruskan menuntut hak, sanggahkan yang bathil

Mahasiswa Malaysia berkata...

btul2...gne la segala peraturan yang telah ditetapkan...boleh lawan, kita lawan..tp mahkamah pon diorang pegang...so banyakkan berdoa pd Allah minta pertolongan -Nya...

Semoga semua pejuang2 Islam di Malaysia diberkati Allah...