11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Amat menyedihkan apabila mengetahui bahawa sebuah lagi sekolah Tamil di Perak masih wujud sebagai sekolah setinggan. SJKT Kampar ditubuhkan 47 tahun yang lalu. Kini sekolah tersebut memiliki lebih kurang 250 orang murid. Sekolah ini terletak di belakang bangunan Majlis Daerah Kampar. Lokasi sekolah ini adalah sangat strategik kerana berhampiran dengan rumah-rumah kediaman dan pekan Kampar.
SJKT Kampar merupakan sebuah sekolah bantuan penuh. Walau bagaimanapun saya mentakrifkan sekolah ini sebagai sekolah setinggan. Ini adalah kerana tapak tanah bangunan sekolah itu masih belum digazetkan oleh kerajaan negeri. Dalam kata lain, SJKT Kampar hanya menumpang atas tanah kerajaan negeri yang masih belum digazetkan.
Saya cukup hairan kenapa perkara seperti ini boleh berlaku.
Sebuah sekolah bantuan penuh yang tidak dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Perkara asas untuk sebuah sekolah ialah tapak tanah untuk mendirikan bangunannya. SJKT Kampar tidak memiliki tanah tetapi sudah memiliki bangunan yang besar. Saya tidak tahu untuk menyalahkan siapa dalam hal ini. Pemimpin-pemimpin masyarakat India yang mengambil sikap tidak peduli ? atau, pihak sekolah dan ibubapa yang tidak mahu mengambil inisiatif untuk mendesak kerajaan? Yang pasti, kerajaan negeri Perak tidak prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil.
Apa guna memberi sumbangan wang kepada sekolah-sekolah Tamil sedangkan masalah asas seperti ini tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri. Jika tapak tanah sekolah tidak digazetkan, maka sekolah itu berada dalam keadaan yang bahaya. Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam 50 tahun akan datang.
Mungkin ada pihak yang akan mengambil usaha untuk menutup sekolah Tamil itu. Tanah itu mungkin akan dijual kepada pemaju atau pihak lain. Ini akan meletakkan sekolah itu dalam keadaan yang genting ketika itu. Untuk mengelakkan perkara-perkara seperti itu berlaku, kerajaan negeri harus menggazetkan tanah itu dengan segera.
Saya telah melawat SJKT Kampar hari ini
bersama-sama dengan YB Chen Fook Chye, ADUN kawasan Keranji. Kami telah bertemu dengan beberapa orang ibubapa yang merungut tentang status tapak tanah sekolah itu. Mereka merasakan bahawa pihak sekolah dan kerajaan negeri harus mengambil perhatian yang serius terhadap perkara yang dibangkitkan.
Sebagai penyelesaian untuk masalah ini Kerajaan harus mengazetkan tapak tanah SJKT Kampar dalam tempoh 1 bulan. Jangan sekadar memberi janji pilihanraya semata-mata untuk meraih undi masyarakat India.
Kenyataan Media YB V.Sivakumar/-