11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR,3 MEI : Bukan sahaja ladang dipenuhi semak samun dan hutan belentara,malah pokok kelapa sawit yang ditanam tidak memenuhi spesifikasi sehingga membantutkan pengeluran hasil yang bermutu. Masalah itu ditambah apabila setiap peneroka dilonggokkan bebanan hutang sehingga RM150,000.00 seorang yang perlu dijelaskan.
Geram dan tidak berpuas hati dengan rungutan serta aduan yang telah diadukan selama ini , seramai 40 peneroka Felda Bukit Rokan Utara,Gemencheh, Negeri Sembilan yang mewakili 105 peneroka bertindak menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) terhadap kegagalan pengurusan Felda dalam mengurus dan menyelenggara ladang kelapa sawit milik peneroka itu.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara, Zainol Harin berkata, para peneroka tidak berpuas hati terhadap jumlah tanggungan hutang yang amat membebankan dan menuntut kajian semula terhadap jumlah hutang yang ditanggung,pemulihan semula ladang serta bayaran gantirugi.
” Kami telah kerap kali mengadu masalah kami kepada pihak pentadbiran Felda Wilayah Raja Alias dan Pejabat Felda Bukit Rokan Utara sejak 2004 melalui beberapa perjumpaan dan perbincangan namun sehingga kini tiada penyelesaian.
“Akibat daripada itu , jumlah hutang kami kian bertambah sehingga ada yang mencecah melebihi RM150,000.00 sementara ladang kelapa sawit kami tidak mengeluarkan hasil mengikut jumlah yang sepatutnya malah terdapat antaranya langsung tidak mengeluarkan hasil,” kata beliau semasa membuat aduan kepada pihak SUHAKAM di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail di sini semalam.
Tambah Zainol lagi,sejak penanaman kelapa sawit itu dijalankan,pihak pengurusan Felda Bukit Rokan Utara telah cuai dalam mengurus dan menyelenggara ladang dengan baik melalui pihak-pihak yang dilantik sehingga menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan dari kebanyakkan ladang mengikut jangkamasa dan jumlah yang sepatutnya.
” Mengikut perjanjian pemulihan ladang pada 2004,pihak Felda bersetuju untuk memberi pinjaman dalam bentuk bantuan Sara Hidup kepada peneroka terlibat maksima sehingga 36 bulan tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau mengharapkan agar SUHAKAM dapat membantu masalah peneroka terhadap kajian semula jumlah bebanan hutang pinjaman bantuan sara hidup yang ditanggung serta pelupusan sebahagian hutang tersebut mengikut tempoh persetujuan perjanjian ladang yang telah ditetapkan.
“Kami berharap agar kesengsaraan kami dalam menanggung bebanan hutan akibat kecuaian dan kegagalan pihak pengurusan Felda mendapat perhatian serius,” tegas Zainol.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata pihak SUHAKAM akan menjalankan siasatan berkenaan perkara berkenaan yang melibatkan hak warga Felda serta mengesorkan agar siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan bagi mengenalpasti salah laku dalam pengurusan Felda itu.
” Ini satu yang tidak adil apabila kos setiap tahun dilonggokkan dan bertambah ke atas peneroka ia disebabkan oleh pihak pengurusan, dan peneroka di bebani dengan hutang,” katanya.
Dalam majlis itu, Sha’ani menerima memorandum bagi pihak SUHAKAM yang diserahkan oleh wakil peneroka Zainol Harin bersama Timbalan Setiausaha Agung PKR,T.Kumar di sini.
Menurut peneroka Felda,Hajjah Munah Hasan,69, yang ditemui berkata beban hutang yang ditanggungnya amat berat memandangkan beliau adalah ibu tunggal dan hanya mengharapkan hasil daripada ladang untuk menyara kehidupan.
” Nak bayar dengan apa ?, hutang semakin bertambah,setiap bulan makcik hanya menerima hasil antara RM 400 – RM500 sebulan, jadi saya harap pihak yang berwajib ambillah tindakan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
FELDA Bukit Rokan Utara telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun 1969 dan mula didiami pada tahun 1972.
Ia terletak di antara Felda Bukit Rokan di sebelah timur dan Felda Bukit Rokan Barat di sebelah barat.
selangorku/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan