03 Mei 2012

Pesara polis cedera dalam kes samun

11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - “Saya dihentak dengan topi keledar berkali-kali oleh kumpulan lelaki terbabit sehingga tidak sedarkan diri,” cerita Chuah Wee Keong, 59, mangsa serangan sekumpulan empat lelaki yang terbabit dalam kes samun di Taman Desa Rishah, di sini, Ahad lalu.

Wee Keong seorang pesara polis sejak 2008 berkata, ketika kejadian dia terdengar keadaan riuh rendah di luar rumah menyebabkan dia cuba melihat apa yang berlaku.

“Mula-mula saya fikir ada sekumpulan lelaki mabuk mengganggu jiran. Oleh itu, saya membawa tukul besi sebagai alat untuk mempertahankan diri bagi mengelakkan perkara tidak diingini terjadi.

“Malangnya, tukul besi dirampas dan saya turut diserang mereka tanpa belas kasihan,” katanya ketika ditemui di HRPB, semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan meluangkan masa selama setengah jam melawat mangsa di hospital berkenaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, dia amat mengagumi sikap berani bekas Koperal tersebut yang bertindak untuk membantu orang awam sewaktu dalam kesusahan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: