03 Mei 2012

Suu Kyi angkat sumpah di parlimen

11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUU KYI (tengah) tiba untuk menghadiri sesi parlimen di Dewan Rendah Myanmar di Naypyitaw semalam. - AGENSI

NAYPYITAW, Myanmar - Ketua pembangkang Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Myanmar semalam.

Suu Kyi menjadi wakil rakyat buat kali pertama sejak beliau berjuang menentang pemerintahan autokratik di Myanmar hampir suku abad lalu.

Kehadiran pemimpin pembangkang berusia 66 tahun itu ke dalam parlimen itu menandakan bermulanya era politik baharu di Myanmar.

Perkembangan tersebut mencetuskan situasi tegang antara parti pimpinan Suu Kyi dan pentadbiran reformis pimpinan Presiden Thein Sein yang mewarisi kuasa daripada tentera Myanmar pada tahun lalu.

Parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) yang dianggotai Suu Kyi menguasai 43 daripada 644 kerusi Parlimen untuk mencabar parti pemerintah.

Terdapat juga kebimbangan bahawa kehadiran sebilangan wakil rakyat NLD di Parlimen dijadikan alasan bahawa demokrasi telah bertapak di Myanmar walaupun tanpa pembaharuan sebenar.

Upacara mengangkat sumpah berkenaan berlangsung di ibu negara Myanmar, di sini.

Dengan memakai bunga ros putih di rambutnya, Suu Kyi berdiri bersama beberapa puluh wakil rakyat NLD ketika speaker meminta mereka membaca lafaz angkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

Pencapaian Suu Kyi menandakan perubahan besar selepas beliau dikenakan tahanan rumah sejak dua dekad lalu sebelum dibebaskan hujung 2010.

Suu Kyi dan anggota-anggota NLD sebelum ini enggan menyertai parlimen apabila sesi terbaharu bermula pada 23 April lalu kerana membantah penggunaan ayat "menjaga perlembagaan negara".

Mereka sebaliknya mahu perkataan 'menjaga' ditukar kepada 'menghormati' dan berikrar akan menukar perlembagaan Myanmar yang digubal oleh junta tentera.

Namun, pada Isnin lalu, Suu Kyi tiba-tiba menukar pendirian dengan berkata: "Politik melibatkan tolak ansur.

"Kita bukan berputus asa tetapi akur kepada aspirasi rakyat". - AGENSI

Tiada ulasan: