11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
TOKYO: Sebuah motosikal Harley Davidson yang hilang apabila tsunami melanda Jepun tahun lalu, ditemui di sebuah pulau di Kanada, kira-kira 6,400 kilometer dari tempat asalnya.
Motosikal yang sudah berkarat itu ditemui dalam kontena besar berwarna putih, tempat pemiliknya, Ikuo Yokoyama menyimpannya.
Yokoyama dijejaki menerusi nombor plat motosikal itu, lapor Fuji TV.
“Tidak salah lagi ia milik saya. Ia sungguh menakjubkan,” kata Yokoyama kepada Nippon TV apabila ditunjukkan gambar motosikal itu.
Tiga anggota keluarganya mati dalam bencana itu yang melanda Mac 2011 dan dia kini tinggal di penempatan sementara di Miyagi.
Motosikal itu adalah antara barangan pertama hilang akibat tsunami yang tiba di pantai barat Amerika Utara.
Mac lalu, seorang lelaki Alaska menemui bola sepak dan kemudian, sebiji bola tampar.
Pemilik mereka dikesan minggu lalu menerusi nama yang terdapat pada bola itu. Warga Kanada, Peter Mark yang menemui motosikal itu memberitahu Fuji TV, dia tidak percaya barangan seperti itu akan menyeberang Lautan Pasifik.
Menurut laporan, dia menemuinya pada 18 April di Pulau Graham, di luar pantai British Columbia.
“Ia sudah berkarat teruk,” kata Mark.
Apabila melihat nombor plat Jepun itu, dia terbayang kemungkinan motosikal itu hanyut dari Jepun akibat tsunami dan menghubungi stesen televisyen tempatan.
Fuji TV melaporkan, motosikal itu akan dihantar semula ke Jepun dan kedai yang menjualnya kepada Yokoyama akan membantu menguruskannya. - Agensi
1 ulasan:
Selalu orang mengagumi kejadian luar biasa seperti ini. Tetapi ramai terlupa ia berlaku dengan Kuasa Allah.
Catat Ulasan