16 September 2010

ANAK TOYO TIDAK MAHU JADI MB SELANGOR KERANA BELIAU TAHU ITU MUSTAHIL

7 Syawal 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

UWEEKK...tiba-tiba je aku termuntah bila membaca kenyataan mantan MB Selangor anak Toyo yang menyebut beliau tidak mahu lagi menjadi MB Selangor jika Umno/Bn menguasai Selangor semula. Alasannya adalah beliau tidak mahu mewarisi kerajaan yang teruk selepas PR memerintah Selangor.

Hanya orang yang tiada akal dan gila sahaja mungkin mempercayai dakwaan anak Toyo bahawa kerajaan Selangor sekarang lebih teruk dari kerajaan di bawah Umno dahulu. Rakyat Selangor sudah tahu segala rahsia anak Toyo sewaktu mentadbir Selangor dahulu hanya dengan mengikuti persidangan atau siasatan SELCAT sahaja.

Anak Toyo enggan hadir apabila dipanggil memberi keterangan di dalam SELCAT kerana beliau tahu akibatnya jika beliau hadir. Tanpa kehadirannya pun kita tahu apa yang anak Toyo ini buat semasa memerintah Selangor. Kita juga tahu siapa yang dapat hadiah jam tangan ratusan ribu ringgit dan siapa yang pergi `melancung' ke Disney Land kununnya sebagai lawatan kerja.

Anak Toyo megah kerana beliau menjadi MB Selangor 8 tahun. Tentulah beliau boleh megah kerana beliau memiliki banglo mewah jutaan ringgit hasil dari `mencabut gigi' pesakit dan `bukannya rasuah'. Itu belum dikira harga baju, tudung, selendang dan banyak lagi yang dibeli atas nama BALKIS kununnya. Semua itu terdedah di dalam siasatan SELCAT, rakyat Selangor tahu semua ini. Beliau juga megah sepanjang 8 tahun menjadi MB Selangor, rakyat Selangor tidak pernah merasai air percuma walaupun gaji dan elaun Pengerusi Syabas mengalahkan gaji Menteri bahkan mungkin gaji PM. Pegawai Kerajaan Negeri ketika beliau menjadi MB mungkin patut bersyukur jika tidak menerima penyapu anugerah bernilai dari anak Toyo.

Sebenarnya anak Toyo bukan tidak mahu menjadi MB Selangor, tetapi beliau tahu bahawa Umno/Bn sudah tidak berdaya lagi untuk merampas Selangor. Daripada asyik berangan, lebih baik anak Toyo berterus terang sahaja. Biarkan sahaja Noh Omar atau raja sesumpah Ezam yang menjadi Mat Jenin./wfauzdin.blogspot.com

San Gu Mao Lu : Tiga Kali Berkunjung ke Rumah Beratap Jerami


6 Syawal 1431H.

Asal Usul:

Pada abad ketiga Masihi, China yang berada dalam keadaan bergolak, diperintah oleh kerajaan tiga negeri, iaitu negeri Wei di bahagian utara, negeri Shu di bahagian barat daya, dan negeri Wu di bahagian tenggara. Antara ketiga-tiga negeri tersebut, negeri Shu merupakan negeri yang paling lemah.

Demi mencapai cita-citanya untuk menyatukan wilayah China, raja negeri Shu, iaitu Liu Bei, tidak jemu-jemu pergi ke merata-rata tempat untuk mencari cendekiawan yang pandai dan bijaksana yang dapat membantunya menewaskan musuhnya. Apabila terdengar ada seorang lelaki bernama Zhuge Liang di kaunti Longzhong (di provinsi Hubei pada masa ini), yang mempunyai bakat cemerlang dalam bidang ketenteraan, baginda pun melahirkan hasrat untuk menjemput beliau menjadi penasihat ketenteraannya.

Pada tahun 207 Masihi, dengan ditemani dua orang "sahabatnya", iaitu hulubalang Guan Yu dan Zhang Fei, Liu Bei pun berangkat ke kaunti Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang. Bagaimanapun, kebetulan, Zhuge Liang tidak ada di rumah. Maka, dengan perasaan penuh kecewa, mereka terpaksa pulang ke negeri Shu.

Tidak berapa lama kemudian, Liu Bei sekali lagi pergi ke Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang. Bagaimanapun, baginda diberitahu bahawa Zhuge Liang telah keluar mengembara, dan tidak tahu bila beliau akan balik. Kali ini, Liu Bei telah meninggalkan satu nota untuk menjelaskan tujuan kedatangannya.

Beberapa hari kemudiannya, Liu Bei sekali lagi pergi ke Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang tanpa mempedulikan nasihat Guan Yu dan Zhang Fei. Kali ini, Zhuge Liang ada di rumah, tetapi beliau sedang tidur dengan lena. Liu Bei menyuruh Guan Yu dan Zhang Fei menunggunya di luar pintu, dan baginda sendiri berdiri di tepi katil Zhuge Liang, menunggu beliau bangun.

Ketika melihat Liu Bei berada di depan katilnya, Zhuge Liang yang baru bangun dari tidur itu, berasa sangat terharu. Maka, kedua-dua mereka pun duduk semeja untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai situasi semasa di China. Zhuge Liang amat menghargai cita-cita luhur serta bakat Liu Bei. Akhirnya, beliau bersetuju untuk menjadi penasihat negeri Shu.

Maka, dengan bantuan Zhuge Liang, negeri Shu telah menang dalam sekian banyak peperangan. Malahan, ia terus berkembang sehingga setanding dengan negeri Wei dan negeri Wu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "San Gu Mao Lu" atau "Tiga Kali Berkunjung ke Rumah Beratap Jerami" ini, berasal dari kisah tentang raja negeri Shu, iaitu Liu Bei menjemput Zhuge Liang menjadi penasihat tenteranya. Ia membawa erti, berusaha berulang kali dengan penuh keikhlasan untuk mendapatkan bantuan seseorang yang berbakat, akan berjaya akhirnya.
CRI/-

PAS nyatakan sokongan, taat setia kepada Sultan Kelantan yang baru

6 Syawal 1431H.

KUALA LUMPUR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan sokongan dan taat setia terhadap pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lalu.

Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa, berkata pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ismail Petra yang sedang gering itu adalah mengikut perundangan negeri dan sah.

"Parti PAS menyatakan sokongan kepada pelantikan ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dan (kami) patik-patik sekalian mengharapkan pelantikan ini memberi satu ruang baru untuk memajukan terus negeri Kelantan yang telah diurus tadbir lebih 20 tahun oleh kerajaan PAS dan sokongan parti tidak berbelah bahagi," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Nasaruddin berkata, pemasyhuran oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bertepatan dengan Artikel 6, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang memberi kuasa pada Majlis Perajaan Negeri (MPN) berbuat demikian.

Beliau berkata, Artikel 6 menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan pelantikan tersebut dibuat oleh MPN.

Sehubungan itu, Nasaruddin yang juga ahli Parlimen Bachok dan mewakili beberapa anggota Parlimen negeri Kelantan yang turut menyatakan sokongan itu mengajak rakyat Kelantan turut memberikan taat setia serta sokongan padu terhadap pemasyhuran tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata pemerintahan di bawah Tuanku Muhammad Faris Petra, seorang raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam itu diyakini akan terus membawa kemajuan serta kemakmuran kepada negeri Kelantan.
Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata semua pihak termasuk PAS tidak berhak menyentuh atau membuat spekulasi dalam soal pemasyhuran seorang Sultan kerana ia adalah hak eksklusif istana serta urusan MPN.

Semalam, seorang ahli MPN Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata, majlis pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. - Bernama

Teruskan Usaha Pentarbiyahan Diri Di Bulan Syawal

6 Syawal 1431H.
Mohd Hafez Sabri

IPOH Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyeru agar umat Islam meneruskan pentarbiyahan diri dengan berpuasa enam di bulan syawal

Menurut beliau, Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ibadah kita di bulan Ramadhan.

Beliau menyatakan lagi bahawa, Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan. Jelas beliau.

DVD sidang bawah pokok: PR Perak lapor polis

6 Syawal 1431H.

IPOH, 15 Sept: Pakatan Rakyat Perak hari ini membuat laporan polis berikutan sikap double standard polis berhubung isu memiliki DVD Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) bawah pokok.

Laporan itu diketuai Speaker Pakatan Rakyat Perak, V Sivakumar bersama pimpinan Pakatan Rakyat di balai polis Ipoh, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurut mereka, polis bersikap pilih kasih kerana hanya bertindak ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Ong Boon Piow sedangkan pimpinan Umno BN yang terang-terangan membuat kenyataan untuk mengedar 50,000 DVD itu secara percuma dibiarkan begitu sahaja.

Kenyataan tersebut mereka dikeluarkan Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Kadir pada 19 Mei tahun lalu.

Selain itu MCA Perak juga ada membuat tayangan percuma kepada badan bukan kerajaan dan orang ramai tentang persidangan bawah pokok tersebut.

"BN boleh buat 50 ribu DVD dan edar kepada orang awam. Kenapa itu tidak dipertikaikan?

"Tetapi mahu dakwa YB Ong Boon Piow, ini sangat jelas berlaku double standard," kata Sivakumar.

Ong Boon Piow yang sebelum ini dijangka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki 23 DVD yang belum diluluskan oleh lembaga penapisan filem.

Pendakwaan yang dijadual di Mahkamah Majistret Ipoh itu kemudiannya dibatalkan pada saat akhir.

Jika terbukti bersalah, Ong boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

DVD kontroversi bertajuk "Rampasan Kuasa BN di Perak" itu memuatkan rakaman sidang tergempar dewan undang negeri Perak pada 3 Mac 2009 yang diadakan di bawah sebatang pokok yang dirakamkan oleh Ong.

Isu Pembunuhan Jutawan Kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya

6 Syawal 1431H.
Nik Abdul Aziz Nik Mat

1. Saya mengucapkan takizah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosialawati Lawiya, jutawan kosmetik yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya. Dari jauh, saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia menyambut Hari Raya Idulfitiri.

2. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia.

Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Selain itu, saya menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.

5. Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW.

6. Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti.

Salam takziah dari saya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
6 Syawwal 1431H / 15 September 2010
Pejabat Menteri Besar Kelantan. 

Tuanku Ismail Petra masih gering, kata adindanya

6 Syawal 1431H.

Keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dilaporkan masih dalam kegeringan dan memerlukan rawatan berterusan, kata adinda baginda Tengku Mohamad.

Sehubungan itu, beliau menolak khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat negeri ini kononnya baginda kini dimasukkan semula ke sebuah hospital di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Tengku Mohamad berkata, sebagaimana pesakit angin ahmar dan jantung, baginda memerlukan rawatan lanjut atau susulan yang berterusan.

“Tetapi baginda tidak dimasukkan ke hospital semula sebagaimana dakwaan yang mengatakan demikian,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu, dan telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tengku Mohamad menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin serta akur kepada keputusan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lalu.

“Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan kena akur dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan," kata beliau.

Beliau juga menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai.

Sebagai anggota keluarga diraja terdekat, beliau memuji sifat kesederhanaan Tengku Muhammad Faris Petra yang dilihat sebagai raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam serta tidak mementingkan protokol dalam kehidupan hariannya.

“Baginda seorang kerabat yang prihatin terhadap rakyat dan sentiasa turun padang mendekati nasib rakyat jelata baginda dari dekat,” katanya.

Tengku Mohamad kesal kerana masih terdapat suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan Majlis Perajaan Negeri berhubung pemasyhuran itu.

- Bernama

PRU 13 sengit, pengundi mahu PR menang besar

6 Syawal 1431H.

BAGAN DATOH, 15 Sept: Pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan pertarungan sengit selepas berlaku kebangkitan baru di kalangan pengundi yang inginkan kemenangan lebih besar Pakatan Rakyat.

Setiausaha PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki menegaskan, pengalaman tumbangnya negeri di bawah PR lantaran kemenangan kecil yang boleh ditumpaskan bila tiga wakil rakyat melompat; menyemarakkan daya juang.

“Rakyat melihat perkara ini sebagai satu pengalaman pahit yang mesti ditebus semula di dalam pilihan raya depan, ujarnya, semangat ini hendaklah diterjemahkan terus dengan tindakan di petak peti undi.

“Perubahan ke arah terbaik akan dapat dilakukan dengan lebih hebat jika kita dapat memerintah negeri ini, kerana itu jangan hanya menang di Dun Rungkup sahaja tetapi kita mahu menang besar,” tegasnya.

Disebutkan beberapa contoh terbaik gandingan yang berlaku sehingga kini di antara pimpinan Pakatan Rakyat yang banyak saling memahami antara satu sama lain yang menggerunkan BN.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh berucap demikian dalam Majlis Meraikan Perantau sempena Aidilfitri 1431H di markaz PAS kawasan di Selekoh, dekat sini, kelmarin.

Justeru, beliau menyeru pengundi kelahiran Bagan Datoh terutama anak muda diseru mendaftar mengundi di kawasan ini dalam usaha melipatgandakan jumlah pengundi dalam PRU 13 akan datang.

Dalam pada itu, Misbahul juga berkata, sudah sampai masanya Kempen Mengundi Balik Kampung digerakkan ke seluruh kawasan bagi memastikan hasrat mendapat kemenangan besar tercapai.

Beliau turut menyarankan penubuhan NGO seperti Ikatan Anak Perantau Bagan Datoh dan seumpamanya diperbanyakkan kerana dengan itu berbagai perkara dapat dilakukan dalam usaha gembleng minat dan semangat pengundi.

Dalam majlis sama juga, beliau melancarkan Gerakan Infak Dewan Serbaguna PAS Kawasan Bagan Datoh yang sudah dimulai dengan pembinaan cerucuk dalaman melebihi RM20 ribu.

Sehubungan itu, mereka yang berminat berbuat demikian boleh melayari http://pasbagandatoh53.blogspot.com/ dan http://misabah.blogspot.com/ untuk mendapat maklumat lanjut.

Harakahdaily/-