16 September 2010

San Gu Mao Lu : Tiga Kali Berkunjung ke Rumah Beratap Jerami


6 Syawal 1431H.

Asal Usul:

Pada abad ketiga Masihi, China yang berada dalam keadaan bergolak, diperintah oleh kerajaan tiga negeri, iaitu negeri Wei di bahagian utara, negeri Shu di bahagian barat daya, dan negeri Wu di bahagian tenggara. Antara ketiga-tiga negeri tersebut, negeri Shu merupakan negeri yang paling lemah.

Demi mencapai cita-citanya untuk menyatukan wilayah China, raja negeri Shu, iaitu Liu Bei, tidak jemu-jemu pergi ke merata-rata tempat untuk mencari cendekiawan yang pandai dan bijaksana yang dapat membantunya menewaskan musuhnya. Apabila terdengar ada seorang lelaki bernama Zhuge Liang di kaunti Longzhong (di provinsi Hubei pada masa ini), yang mempunyai bakat cemerlang dalam bidang ketenteraan, baginda pun melahirkan hasrat untuk menjemput beliau menjadi penasihat ketenteraannya.

Pada tahun 207 Masihi, dengan ditemani dua orang "sahabatnya", iaitu hulubalang Guan Yu dan Zhang Fei, Liu Bei pun berangkat ke kaunti Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang. Bagaimanapun, kebetulan, Zhuge Liang tidak ada di rumah. Maka, dengan perasaan penuh kecewa, mereka terpaksa pulang ke negeri Shu.

Tidak berapa lama kemudian, Liu Bei sekali lagi pergi ke Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang. Bagaimanapun, baginda diberitahu bahawa Zhuge Liang telah keluar mengembara, dan tidak tahu bila beliau akan balik. Kali ini, Liu Bei telah meninggalkan satu nota untuk menjelaskan tujuan kedatangannya.

Beberapa hari kemudiannya, Liu Bei sekali lagi pergi ke Longzhong untuk menziarahi Zhuge Liang tanpa mempedulikan nasihat Guan Yu dan Zhang Fei. Kali ini, Zhuge Liang ada di rumah, tetapi beliau sedang tidur dengan lena. Liu Bei menyuruh Guan Yu dan Zhang Fei menunggunya di luar pintu, dan baginda sendiri berdiri di tepi katil Zhuge Liang, menunggu beliau bangun.

Ketika melihat Liu Bei berada di depan katilnya, Zhuge Liang yang baru bangun dari tidur itu, berasa sangat terharu. Maka, kedua-dua mereka pun duduk semeja untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai situasi semasa di China. Zhuge Liang amat menghargai cita-cita luhur serta bakat Liu Bei. Akhirnya, beliau bersetuju untuk menjadi penasihat negeri Shu.

Maka, dengan bantuan Zhuge Liang, negeri Shu telah menang dalam sekian banyak peperangan. Malahan, ia terus berkembang sehingga setanding dengan negeri Wei dan negeri Wu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "San Gu Mao Lu" atau "Tiga Kali Berkunjung ke Rumah Beratap Jerami" ini, berasal dari kisah tentang raja negeri Shu, iaitu Liu Bei menjemput Zhuge Liang menjadi penasihat tenteranya. Ia membawa erti, berusaha berulang kali dengan penuh keikhlasan untuk mendapatkan bantuan seseorang yang berbakat, akan berjaya akhirnya.
CRI/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dahulu kalau pemerintah nak selesai kan sesuatu masalah kena pergi mencari orang yang cerdik pandai.Tetapi zaman MULTIMEDIA SUPER CORRIDOR pakai klik saja tak perlu nak susah cari.silap klik dapat yang lagi cerdik pandai(pakar dalam muslihatdan kaki bodek)boleh buat harta banyak.renungkanlah

Tanpa Nama berkata...

YB, Masih ada cendikiawan hebat yang tinggal di rumah berbumbung & berdinding atap. Cuba cari dan dampingi mereka-mereka ini. Jgn hanya memandang yg ada PhD atau pada gulungan ijazah sahaja. Jika YB hendak menangkan Islam, carilah org2 seperti ini, muliakanlah mereka, hargailah mereka. Hanya jauhari yang mengenal manikam, fikir-fikirkanlah. Sebagai pejuang Islam yg iklas, carilah cendikiawan seperti yg dilakukan oleh Maharaja China itu...artikel yg bagus YB. teruskan.