Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempertikaikannya, jauh dari memperkecilkannya. Kenyataan seperti ini tidak pernah didengar apatah lagi dihebohkan sedemikian rupa di media.
Selama ini sebagai rakyat marhaen, kita patuh dan taat kepada sistem undang-undang manusia yang mana Sultan adalah ketua pemimpin. Tetapi tidak terlintas Sultan mempunyai kuasa sulit sebegitu.
Dalam cerita melayu dulu-dulu, Sultan mempunyai kuasa sakti, ada berbagai-bagai bentuk samada melalui kerisnya atau melalui selimpangnya. Kuasa sakti itu pula diguna apabila berdepan dengan kesulitan.
Kesulitan atau kekacauan dapat diselesaikan apabila kuasa sulit itu digunakan. Dalam cerita moden orang putih dan Jepun umpamanya. Banyak hero-hero yang mempunyai kuasa sulit. Ia diguna dalam keadaan terdesak saja. Kuasa-kuasa sulit dapat dilihat sebagai api yang keluar dari tangan atau mulut untuk memhembus dan membakar musuh- Cerita Ultraman. Badan boleh bertukar menjadi sasa, gagah dan mempunyai kuasa yang luar biasa dari enjin-enjin ketika tersedar – Incredible Hulk.
Pada satu masa cerita-cerita ini sangat popular di Malaysia. Pernah juga ada kes budak mati terjatuh dari tingkat atas rumah flat kerana cuba terbang menggunakan sayap superman atau meniru gaya spiderman bergayut. Ini contoh yang klasik kuasa-kuasa sulit yang ada ada watak-watak manusia istimewa yang mempunyai kuasa sulit untuk menyelamatkan dirinya dan menyelamatkan manusia lain yang berada dalam keadaan sulit.
Berbalik kepada kuasa sulit sultan, sebagai marhaen kita tidak tahu setakat mana kuasa sulit sultan boleh berperanan untuk membantu rakyat jelata yang marhen. Kita tidak tahu adakah kuasa itu berada di atas undang-undang atau di atas perlembagaan British dulu. Hebat dan kuat macam mana kuasa sulit itu juga tidak tergambarkan.
Sebagai rakyat marhaen, ingin juga lihat supaya kuasa-kuasa sulit itu dikeluarkan sekali-sekala untuk ditunjuk kepada rakyat, paling tidak biar rakyat gerun pada sultan. Ia boleh menimbulkan rasa pada rakyat untuk terus takut, segan serta hormat pada sultan. Mungkin masa zaman penjajah kuasa itu belum ada, kalau tidak sudah tentu ia boleh diguna untuk mengusir penjajah.
Tetapi apa yang dibimbangkan ialah kuasa sulit sultan itu dapat dirasai oleh semua rakyat jelata. Lebih membimbangkan lagi apabila ada pihak yang merasa teraniaya kesan penggunaan kuasa sulit itu. Jika keadaan ini berlaku, adakah sultan-sultan boleh mengeluarkan kuasa sulit mereka untuk menentangnya apabila askar dan polis sudah tidak mampu lagi?.
Cuba lihat Pulau Batu Putih sudah hilang dari peta Malaysia, kenapa Sultan tidak menggunakan kuasa sulit menghalang Pulau Batu Putih dari menjadi milik Singapura?. Bahkan Singapura sendiri terlepas dari peta Malaysia itu pun tidak termampu ditahan oleh apa yang disebut sebagai kuasa sulit sultan.
Setakat ini sudah ada dua benda ajaib yang belum di ketahui oleh UNESCO untuk dijadikan bahan sejarah. Pertama ialah "kontrak sosial" dan kini ke dua ialah "kuasa sulit sultan". Pernah suatu ketika fasilitator BTN di tanya, di manakah dokumen kontrak sosial di simpan?. Fasilitator tersebut jawab ia disimpan dalam bilik kebal di Wisma Putra. Jawapan tersebut ditertawa oleh perserta BTN. Orang zaman sekarang sudah cerdik mereka tidak boleh lagi ditipu tanpa fakta dan bukti.
Kenapa ia disimpan begitu!. Keluarkan biar rakyat jelata tahu dan dapat kesan dari kedua-dua benda ajaib tersebut supaya masyarakat dapat dibentuk untuk hidup harmoni dan aman damai tanpa rasa prejudis antara satu sama lain.
Marhaen bimbang untuk jangkamasa panjang, dua benda ajaib itu tidak boleh diguna sepertimana kegagalannya untuk mempertahankan pulau Singapura dan pulau batu putih dari jatuh ke tangan Negara lain.