10 Jun 2012

Tiada maruah pihak persenda lebuh raya rakyat

20 Rejab 1433H. [MOD] -
Aslani M,

KOTA BHARU: Pihak yang tidak ada maruah sahaja mempersendakan usaha kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bagi menyelesaikan masalah lalu lintas.

Bekas Setiasuaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua berkata, siapa sebenarnya yang menipu rakyat bagi membina kemudahan asas bagi manfaat orang ramai di Kelantan.

“Sedangkan semua orang tahu projek lebuh raya itu pernah dijanjikan mahu dibina sejak 1986 oleh pemimpin Umno, namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan.

“Jadi siapa sebenarnya yang tipu rakyat. Tengok jambatan Sultan Yahya Petra kedua sampai sekarang belum siap selepas masuk tahun kelima.

“Saya difahamkan sudah berapa kali bertukar kontraktor yang membina jambatan itu. Sedangkan di China jambatan yang merentangi laut dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada ceramah di Lembah Sireh malam tadi.

Ceramah terbabit diadakan sempena program Cakna Rakyat Dun Bunut Payong. Hadir sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Adun Bunut Payong, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pelbagai acara diadakan pada sebelah pagi sehingga petang. Biar pun hujan sebelah petang namun ia tidak menghalang orang ramai datang mengikuti ceramah.

Rabu lalu sekumpulan pemuda yang didalangi Umno mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa peralatan binaan yang buruk, seperti mempersendakan kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat.

Lau yang juga bekas guru besar berkata, lebuh raya berkenaan diyakini dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan bahan mentah seperti pasir dan batu banyak terdapat di lokasi lebuh raya yang akan dibina.

Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan menjadi penghalang kepada Kelantan mendapat hak ke atas royalti petroleum.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak ada masalah untuk membayar royalti tersebut, namun masalahnya ada pemimpin Umno di Kelantan sendiri yang menghalangnya,” ujar beliau.

Salahuddin pula memberitahu dua menteri kabinet yang berasal dari Kelantan tidak memainkan peranan untuk memastikan negeri ini mendapat hak ke atas royalti.

“Mereka tahu kalau Kelantan mendapat royalti, Umno buat selama-lamanya tidak bermimpi untuk menawan Kelantan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Belajar main politik cara bijak

20 Rejab 1433H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Semasa belajar ilmu mantik di sekolah agama dulu, ustaz ada menyebut bahawa ilmu ini penting ketika berhujjah dan berbalas hujjah. Tetapi pada waktu itu aku tidak temui ilmu yang dimaksudkan itu. Mungkin contoh yang diberi ketika itu tidak relevan dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tetapi apabila tamat pengajian dan berkecimpung dalam masyarakat, ilmu itu mula tampak sedikit demi sedikit.

Rupa-rupanya ilmu ini amat berguna kepada orang politik. kepetahan mereka menjawab tuduhan dan mematah hujjah lawan adalah menggunakan ilmu mantik. Malah kadang-kadang upacan musuh akan diguna semula untuk membunuhnya secara KO.

Saya teringat suatu ketika dahulu, Datuk Mohamad Asri Muda, Presiden PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, ketika kempen pilihanraya di RTM katanya, “Saya dengar Tunku Abdul Rahman dalam ceramahnya mengistiharkan akan membina lebuh raya timur - barat (Jeli – Grik sekarang) kalau Perikatan menang di Kelantan. Saya hubungi Tunku dan minta penjelasan, bagaimana kalau PAS memang juga? Tunku sepontan menjawab, kita akan buat juga.” Berdasarkan jawapan itu, Datuk Asri mengakhiri ceramahnya di RTM itu katanya, “Kalau PAS memang, kerajaan pusat akan buat lebuh raya juga, jadi tuan-tuan dan puan-puan undilah PAS.”

Tahun 2012 menjelang pilihanraya ke 13 kempen sudah bermula secara tidak rasmi. Semuanya bermula daripada demontasi minta kerajaan hapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. Dalam pada itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji, bayaran baliknya akan dimansuhkan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.

Kempen ini memang menarik terutama pelajar yang terlibat dengan pinjaman itu.
Setelah isu itu dilupakan semua pihak, tiba-tiba sahaja pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan telah membekukan pinjaman kepada mahasiswa UNISEL. Keesokannya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor.

Alasan pembekuan itu adalah bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu. Pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.

Ekoran tindakan itu, banyak pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Exco kerajaan, ABIM menyatakan kekesalan terhadap tindakan kerajaan itu, malah tidakan itu dikira tidak adil dan menzalimi pelajar. Mereka mahu PTPTN tidak dibekukan pada waktu ini. Walau bagaimanapun bagi menyelamat keadaan MB mengumumkan untuk mencairkan harta UNISEL untuk membiayai urusan pendidikan sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pengajian.

Berdasarkan itu, menteri dan perdana menteri segara mengumumkan penarikan balik pembekuan itu. Sehubungan itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS. Cuma menariknya PM semasa berucap di Kedah semalam beliau berkata, “kita tarik balik pembekuan PTPTN setelah mendapati kerajaan Selangor tidak mampu membiayai pendidikan percuma kepada pelajar di negerinya.”

Nampaknya PM menggunakan peluru Pakatan Rakyat untuk membunuh balik mereka. Yalah kalau Pakatan berjuang supaya pelajar tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN, maknanya mereka belajar secara percuma. Jadi sekarang buatlah sebegitu. Agaknya itulah maksudnya. Tetapi yang paling penting di sini menampakkan, kerajaan BN baik hati dan bersimpati kepada pelajar di Selangor.

Begitulah fikiran orang politik, begitulah hujjah orang politik dan begitulah tektik orang politik. Cuma persoalannya adakah jawapan itu memuaskan semua pihak dan memberi mata kepada BN atau tidak?

Pembaca artikel ini tentu tahu jawapannya dan saya pasti, kisah yang berlaku pada zaman tunku dengan zaman najib amat jauh. Hujjah yang diberi ini bukan boleh menyelamatkan BN tetapi menggelapkan masa depannya. Mengapa?

Perhatikan, Pakatan Rakyat berjuang untuk menghapuskan bayaran balik, bukan pendidikan percuma. Pendidikan tetap berbayar tetapi ada pihak lain yang perlu membayarnya. Dan yang kedua, perjuangan ini hanya akan dapat direalisasikan setelah menguasai Putrajaya, maknanya setelah memerintah Malaysia. Jadi, perjuangan ini bukan untuk Selangor pada waktu ini.

Berdasarkan itu tindakan kerajaan pusat itu ternyata tersalah langkah. Rakyat tetap menilainya sebagai kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat.

Malah tindakan kerajaan menarik balik itu ada kemungkinan besar kerana tidak mahu aset beku UNISEL dicairkan. Hal ini kerana mereka kini menunggu peluang untuk merampas Selangor pada pilihanraya nanti. Ya, bagaimana kalau harta beku itu dicairkan? Kuranglah harta yang boleh diwarisi nanti.

23 orang awam Syria termasuk wanita, kanak-kanak dibunuh

20 Rejab 1433H. [MOD] -

BEIRUT 10 Jun - Sekurang-kurangnya 23 orang dibunuh oleh tentera Syria semalam, termasuk sembilan wanita dan tiga kanak-kanan di dalam dua kejadian berasingan di sini.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Britain berkata, serangan pertama di selatan pekan Daraa itu mengakibatkan 17 orang terkorban manakala serangan kedua pula menyebabkan enam lagi terkorban di tengah bandar Homs.

Katanya lagi, korban terbaru itu berlaku di kawasan kediaman yang merupakan tempat bermulanya pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad Mac tahun lalu.

Turut kelihatan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan meriam dan sesetengah daripada mereka turut cedera parah. - AFP

AJK Pemandu Bersih 2.0 diserang lima pemuda

20 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 diserang lima pemuda ketika sedang jogging di Taman Kanagapuram di Seksyen 18, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi, Chin Huat Wong, 39, cedera di kepala selepas diserang menggunakan topi keledar dan ditumbuk oleh lima lelaki menaiki motosikal.

Huat Wong berkata, dia dikepung dan berlari sejauh 100 meter untuk menyelamatkan diri tetapi gagal selepas terjatuh.

“Saya dipukul bertubi-tubi dan salah seorang daripada mereka mengarahkan saya memberi wang.

“Lima pemuda tersebut beredar selepas saya tidak memberikan wang kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, akibat serangan tersebut, dia menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dia membuat laporan di pondok polis PPUM.

Dia yang juga pensyarah di salah sebuah universiti tempatan berkata, tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya bermotifkan politik kerana penyerang tidak menunjukkan kesungguhannya untuk menyamun.

Huat Wong berkata, hairan dengan tindakan penyerang kerana tidak memeriksa badannya selepas diberitahu tidak mempunyai wang walaupun dia mempunyai telefon bimbit di dalam poket seluarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunadi Mohamed mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan samun dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

sinar harian/-

Sangka madu rupanya racun

20 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Memperoleh wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira RM300,000 sepatutnya melegakan Azmi (bukan nama sebenar) bersama isteri dan empat anak mereka untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.

Bagaimanapun, musibah pula melanda apabila wang itu habis dikikis penari dangdut, Ratna, 35, yang juga janda dari seberang selepas lima tahun menjadi isteri keduanya.

Ratna kemudian meminta cerai dengan alasan menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain sebelum pulang ke Indonesia dengan meninggalkan dua anak kecil hasil perkahwinan mereka selepas menyedari Azmi, 65, tiada wang lagi.

Episod hitam itu bermula 10 tahun lalu apabila Azmi, bekas pegawai syarikat swasta, terikut-ikut perangai rakan sebaya yang gemar berfoya-foya di kelab dangdut sekitar ibu kota selepas menjadi orang kaya baru (OKB) kerana menerima wang KWSP.

Disebabkan masih banyak wang, kelab dangdut menjadi rumah kedua Azmi hingga jatuh cinta dengan penari dangdut.

metro/-

TERKINI: Jerman atasi Portugal 1-0

20 Rejab 1433H. [MOD] -

[KEDUDUKAN SEMASA] SELEPAS kejutan awal dalam Kumpulan B, dua gergasi - Jerman dan Portugal yang bersaing di stadium Arena Lviv, Lviv mempamerkan permainan cemerlang tetapi Jerman sebagaimana diramalkan memenangi pertemuan sulungnya.

Kemenangan INI mengukuhkan kedudukan Jerman dengan tiga mata penuh. Terdahulu Denmark mengatasi Belanda juga 1-0.

Jerman menjaringkan gol pertama pada minit ke-72 menerusi Mario Gomez. Pasukan itu hampir menambah dua lagi beberapa minit selepas itu.

Pasukan Portugal juga memperoleh beberapa peluang emas untuk menyamakan kedudukan tetapi tidak berkesudahan.

Portugal kembali mengasak bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan tetapi barisan pertahanan dan penjaga gol sangat kebal mengecewakan mereka.

Nani hampir menjaringkan gol pada minit ke-84 tetapi lambungannya terkena palang.

Pertemuan ini juga menyaksikan bintang-bintang Real Madrid - Mesut Ozil, Sami Khedira dari Jerman menentang Ronaldo, Coentrao dan Pepe sebagai seteru kali ini.

Setakat ini, mereka telah bertemu sebanyak 17 kali. Jerman telah menang lapan dari 16 perlawanan. Portugal hanya menang tiga kali.

Pertemuan terakhir mereka ialah pada separuh akhir Euro 2008, di mana Jerman menang 3-2.

Di akhir babak separuh masa pertama, di mana 52 peratus permainan dikuasai oleh Jerman, kedua-dua pasukan itu terikat tanpa jaringan.

Portugal nyaris menjaringkan gol pada saat-saat terakhir perlawanan separuh masa pertama apabila tendangan pemainnya terkena palang gawang dan diselamatkan oleh Jerman.

Pengadil melayangkan empat kad kuning dalam pertemuan ini.

Penyerang Portugal, Helder Postiga menerima layangan kad kuning selepas mengasari penjaga gol Jerman, Manuel Neuer pada minit ke-12.

Serangan Jerman yang diketuai Lukas Podolski dan Gomez berjaya dipatahkan benteng Portugal.

Percubaan Pepe selepas mendapat sepakan sudut terkena palang gol Jerman pada minit kecederaan.

Dalam pada itu, Denmark melakar kejutan dengan menewaskan Belanda 1-0 hasil jaringan Michael Krohn Dehli di Stadium Metalist Kharkiv pada jam 12 tengah malam tadi.

Jerman menghuni tangga teratas Kumpulan B bersama Denmark dengan tiga mata meninggalkan Belanda dan Portugal.

Pada saingan pembukaan Kumpulan C awal pagi esok, perlawanan yang menarik, Sepanyol akan menentang Itali dan Republik Ireland bertemu Croatia.

Barisan pemain Jerman:
01 Neuer
05 Hummels
14 Badstuber
16 Lahm
20 Boateng
06 Khedira
07 Schweinsteiger
08 Ozil
13 Mueller
10 Podolski
23 Gomez

Barisan pemain Portugal:
12 Rui Patricio
02 Alves
03 Pepe
05 Coentrao
21 Joao Pereira
04 Veloso
08 Joao Moutinho
16 Meireles
17 Nani
07 Ronaldo
23 Postiga Booked

Sekilas fakta perlawanan:

- Kedudukan gol: Jerman (1); Portugal (0)

- Kad kuning: Badstuber dam Lahm(Jerman); Postiga dan Coentrao (Portugal)

- Penguasaan permainan: 50% (Jerman); 50% (Portugal)

- Sasaran ke gawang: Jerman (12); Portugal (9)

- Sepakan penjuru: Jerman (2); Portugal (10)

- Pemain gantian: Ozil (Kroos) dan Gomez (Klose) bagi Jerman; Meireles (Varela) dan Postiga (Oliveira) bagi Portugal

- Hero perlawanan: Mario Gomez (penjaring tunggal Jerman)

- Masa kecederaan: 6 minit

sinar harian/-

Tujuh maut konflik agama di Myanmar

20 Rejab 1433H. [MOD] -

BEBERAPA pemimpin Islam menemui pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berhubung keganasan agama di Yangon, Rabu lepas.

YANGON - Pasukan keselamatan membanjiri barat Myanmar semalam bagi mengembalikan ketenteraman selepas sekurang-kurangnya tujuh nyawa melayang dalam keganasan antara penduduk Islam dan Buddha, menurut media negara berkenaan.

Stesen televisyen Myanmar melaporkan, unit polis dan tentera berjaya mengawal kekacauan yang tercetus di negeri Rakhine, dekat sempadan Bangladesh.

Keganasan agama di negeri berkenaan menyaksikan ratusan buah rumah penganut Buddha dibakar.

"Namun, keadaan kembali tenang sejak pagi ini (semalam)," menurut stesen televisyen Myanmar.

Huru-hara tercetus kelmarin apabila sekurang-kurangnya empat penduduk beragama Buddha maut dalam beberapa rusuhan di Rakhine yang didiami oleh sejumlah besar etnik Rohingya.

Pada keesokan harinya, gelombang kedua keganasan melanda beberapa perkampungan di pedalaman Myanmar apabila lebih banyak kediaman dibakar sehingga memaksa penduduk beragama Buddha melarikan diri ke bandar Maungdaw untuk mencari perlindungan.

Media rasmi pemerintah menyatakan, tujuh terbunuh, 17 cedera dan hampir 500 buah rumah musnah sepanjang kekacauan dua hari di Rakhine.

Situasi tegang di negeri itu tercetus Ahad lalu selepas 10 orang Islam yang berada di dalam sebuah bas mati dibelasah oleh 300 penduduk beragama Buddha.

Mereka tersilap menyangka mangsa adalah beberapa penjenayah yang merogol dan membunuh seorang gadis beragama Buddha di Rakhine, bulan lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, Rohingya merupakan antara etnik minoriti paling teruk ditindas di dunia.

Di Myanmar, Rohingya dianggap sebagai orang asing dan bukan salah satu etnik negara berkenaan.

Menurut PBB, terdapat sekitar 750,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dengan kebanyakan mereka menetap di Rakhine.

Lebih 1 juta lagi etnik berkenaan dipercayai hidup dalam buangan di beberapa negara lain. - AFP