18 November 2010

Teknik Mengetahui Kek Yang Mengandungi Arak

11 Zulhijjah 1431H.
Chef Farid

Pengalaman bekerja di Hotel telah memberi pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama pembaca semua.Saya pernah di lemparkan dengan kek yang saya buat kerana tidak mencampurkan wain atau rum.

Rasa bersalah sentiasa menghantui kerana bersubahat untuk menghidangkan makanan yang tidak halal kepada orang Islam yang lain.Dengan itu saya berhenti kerja, coz saya rasa ada tempat lain lagi, yang boleh saya dapat rezeki yang halal.

Disini saya perturunkan, bagaimana ingin mengetahui kek yang kita makan mengandungi bahan tersebut.

Apabila kek yang ada wain, rasanya seakan-akan masam sedikit.

Puas saya fikirkan macaman nak memperjelaskan lagi rasanya.ok la, pernah tak buat Sponge Cake (Sponge Cake Mix 100 gram, Air 100ml, Telur 100 ml dan Minyak 100 ml), kalaupernah cuba gantikan air dalam resepi, dengan air Pepsi atau Coke.

Hasilnya kek kita akan terasa masam-masam sedikit seperti kek yang ada wain.

Cubala buat, dan simpan "rasa" itu supaya kita akan lebih berhati-hati lagi dimasa akan datang, dan beritahu rakan2 atau saudara mara.

Untuk pengetahuan, adunan kek biasanya digaul dengan tangan. Oleh itu, berhati-hatilah membeli kek.

Sekian.

Pertikai kedai tutup cuti Raya, Periksa tahap mental dia.

11 Zulhijjah 1431H.
Hafizi Pauzi.

Chua dianggap sudah kurang siuman bila mempertikaikan kedai ditutup pada hari cuti umum, harap dia jumpa doktor pakar untuk periksa tahap mental dia, demikian respon ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim di Twitter terhadap kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sekali lagi cuba mencetuskan isu untuk membelasah PAS semalam apabila mempersoalkan mengapa kebanyakan kedai di Kota Bharu tutup sempena sambutan Aidil Adha.

“Disebabkan Hari Raya Haji, semua kedai nampak tertutup untuk sambutan ataupun ini adalah arahan daripada majlis tempatan? Ia sunyi di Kota Bharu,” soal Chua di Twitter walaupun sememangnya umum diketahui bahawa sambutan Hari Raya Haji di Kelantan dan beberapa negeri lain adalah jauh lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Saya desak pihak polis menyiasat chua kerana ia ada unsur melaga lagakan antara muslim dan non muslim,Tidakah Chua sedar bahawa Hari Raya Haji adalah cuti umum.

Drs. Khalil juga menyatakan Chua juga mestilah memohon maaf secara terbuka dgn kenyataan biadabnya dan memberikan penjelasan yang sebenarnya , dengan maksud kenyataannya itu.

"Kenyataannya menimbul keresahan dalam masyarakat" kata Drs. Khalil

Menurutnya lagi umat Islam dan bukan Islam mesti bantah sikap chua yang mempertikaikan amalan biasa yang sudah lama diamalkan dan gambarkan toleransi beragama.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak menyifatkan tindakan Chua mengambarkan dan membuktikan bahawa Parti MCA dan dirinya sendiri sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia.

"Juga membuktikan bahawa BN buka lagi wadah yang sesuai untuk menyatupadukan masyarakat."

Drs. Khalil : Korbankan waktu untuk imarahkan rumah Allah.

Drs. Khalil sedang menyampaikan Khutbah Hari Raya Korban di Surau Parit Hj. Nasir Titi Serong.

11 Zulhijjah 1431H.
Hafizi Pauzi

TITI SERONG, 18 Nov.:- Umat Islam diseru untuk mengorbankan waktu 5 kali sehari semalam untuk memenuhi mesjid dan surau bagi memastikan mesjid dan surau tidak menghadapi femenomina kekurangan jemaah, Demikian antara kandungan khutbah ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa beliau berkhutbah Hari Raya Aidil Adha di Surau Parit Hj. Nasir di sini.

Dalam Khutbahnya juga beliau menyeru supaya umat Islam juga mengorban waktu yang ada untuk menimba ilmu agama dimana sahaja. Tegasnya lagi Ilmulah merupakan pusaka yang terbaik yang kita boleh warisi kepada anak-anak kita. Dengan ilmu menurut Drs. Khalil anak-anak kita akan mencapai matlamat kehidupan dan ridha Allah SWT.

"Sesungguhnya para jemaah mestilah bertanggungjawab untuk memastikan rumah Allah ini tidak kosong dari jemaah, juga kita mesti pastikan anak-anak kita sudah dididik dengan ilmu agama secukupnya" Katanya.

Drs. Khalil yang ditemui selepas itu menyatakan bahawa kehidupan masyarakat dalam DUN Titi Serong adalah amat sinonim dengan Mesjid dan Surau. Mereka dikalangan masyarakat Melayu Banjar adalah sangat taat beribadah dan suka ke Mesjid dan Surau. katanya.

"Oleh itu program "Mesra Mesjid dan Surau" yang pernah saya katakan sejak awal saya menang disini masih diteruskan sehingga sekarang" jelas Drs. Khalil

Drs. Khalil juga mengharapak pihak jawatankuasa Mesjid dan Surau dalam DUNny sudi untuk menyampaikan maklumat sekiranya terdapat masalah dan keperluan yang perlu diambil perhatian.

"Sekiranya kita mampu untuk membantu kita akan usahakan melalui saluran tertentu, yang penting pejabat kami kenalah diberikan aduan terlebih dahulu" Katanya.

Menurut Drs. Khalil yang juga merupakan Ketua penerangan PAS Perak itu, ini adalah kali ke empat beliau berada diluar Pusat Tarbiyah titi Serong untuk menyampaikan Khutbah.

"Untuk tahun 2008, Raya Puasa dan Haji saya berada di Pusat Tarbiya Titi Serong, dan untuk tahun 2009 dan 2010 saya menjelajah sebanyak 2 mesjid dan 2 surau untuk sembahyang bersama warga Titi Serong" jelasnya.

"Kerana itu saya sangat mengharga pihak jawatankuasa Mesjid dan Surau dalam DUN titi Serong yang sentiasa mengambil langkah untuk mengimarahkan rumah Allah itu. Selain dari solat berjemaah, kebanyakannnya menganjurkan kelas-kelas pengajian disamping mengadakan aktiviti rutin mingguan seperti bacaan yaasin pada malam Jumaat, dan sambutan hari kebesaran Islam secara terus menerus."

Ditanya mengenai peranan Mesjid yang lebih penting baginya, Drs. Khalil menegaskan harapannya supaya rumah Allah itu menjadi tempat yang subur dengan ilmu dan tempat penyatuan umaah.

Katanya lagi jika dua peranan itu berjalan dengan seiring pastinya akan melahirkan masyarakat yang lebih baik dimasa akan datang.

PAS tidak perlu ceramah jika media adil

11 Zulhijjah 1431H.
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 18 Nov: PAS tidak akan bergelut lagi mengatur ceramah menerangkan isu kepada rakyat sekiranya media di Malaysia bersikap adil, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Ketika ditemui selepas menyampaikan khutbah Aidiladha di Markaz Tarbiah PAS Negeri Pulau Pinang di Pongsu Seribu, semalam beliau menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tidak membenarkan media pro Umno BN membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah

Beliau menambah, isu banjir tidak sepatutnya dijadikan isu politik sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan negeri membantu mangsa banjir.

"Jika media di Malaysia bersikap adil dengan memberi ruang untuk PAS dan parti dalam Pakatan Rakyat bersuara di mana-mana siaran sama ada cetak atau elektronik, saya yakin PAS tidak payah lagi berceramah di sana ke mari malahan boleh menumpukan pada gerakan kebajikan dan dakwah," jelasnya.

Ini tidak, katanya media bersikap seperti 'jakun' membantu kerajaan BN yang nyata zalim serta takut kepada erti kekalahan sebenar.

Justeru itu, ujarnya mereka sanggup menggadai prinsip dan etika kewartawanan semata-mata mahu mengikut telunjuk kepimpinan yang telah terbukti rasuah dan melakukan penyelewengan.

"Mereka tetap jakun dari dulu sehingga hari ini, tidak sebagaimana media di Indonesia, Thailand dan Vietnam bakal mengikut rentak negara berkenaan," tegasnya.

Sementara itu, semasa berkhutbah beliau berpesan kepada umat Islam supaya memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan melaksanakan semua suruhan sama ada ianya masuk akal atau sebaliknya.

Menurutnya, Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat mimpi untuk menyembelih anaknya Ismail a.s terus sahaja melaksanakan arahan tersebut biarpun ianya tidak lojik bagi manusia yang jahil.

"Anak yang sedang membesar mana boleh dikorbankan, mesti ada perasaan sayang dan kasih. Tetapi, kerana ianya suruhan Allah SWT kena dituruti," jelasnya dalam program Korban Perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Lima ekor lembu dikorbankan dan dibahagikan kepada fakir miskin di cawangan-cawangan.

Jauhi rasuah, fitnah dan zalim sesama manusia

11 Zulhijjah 1431H.

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Umat Islam diajak memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha di dalam setiap kehidupan terlebih dahulu selaku individu muslim.

“Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.

Katanya, umat Islam juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

“Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan.

“Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia,” ujarnya dalam perutusan Aidiladha 1431 Hijrah yang disambut hari ini.

Tambahnya, kesemuanya itu akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya, Aidil Adha mempunyai pengajaran yang amat besar kepada kehidupan kita sebagai seseorang Muslim dan umat Islam. Dalam hubungan ini, antara pengajaran terbesar sekali ialah tentunya tentang semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam menyempurnakan perintah Allah. Pengorbanan baginda mereka di dalam menjunjung perintah Allah adalah lambang kepatuhan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya.

Penghayatan serta kefahaman terhadap pengorbanan yang dilakukan baginda seharusnya diinsafi serta dihayati oleh seluruh umat Islam, terutama di kalangan para belia. Selaku kelompok teras masyarakat, para belia mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan sebagai agen perubah yang positif terhadap persekitaran mereka. Peranan ini boleh dijayakan menerusi proses penghayatan semangat Aidiladha dalam konteks pengukuhan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh ajaran Islam di dalam amalan dan penghayatan diri.

Kita yakin, sekiranya penghayatan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tinggi ini dapat dijelmakan, sebagai agen perubahan, para belia akan mendorong kewujudan sebuah persekitaran hidup yang bercorak Islami sejajar dengan tuntutan syariah. Persekitaran yang Islami adalah prasyarat asas yang akan membawa kepada sebuah kehidupan yang yang diberkati dan seterusnya membawa kepada kelahiran umat terbaik - khayra ummah.

Bagi tujuan tersebut, marilah kita memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha ini di dalam setiap kehidupan diri kita terlebih dahulu selaku individu Muslim. Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri. Kita juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan. Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia. Kesemua ini akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T, yang disegarkan melalui amalan-amalan kerohanian seperti solat sunat, membaca Al-Qur’an serta zikir.

Semoga Allah swt merahmati segala urusan kehidupan kita semua dan memberi kekuatan untuk kita terus gigih dan komited di medan dakwah. Dan khusus untuk para jemaah haji di Mekah, bagi pihak Abim, kami mendoakan semoga semua memperoleh haji dan mabrur dan sentiasa berada di dalam kesihatan yang terbaik untuk menyempurnakan ibadah terpenting Islam ini. Wassalam.

Harakahdaily/-

Banjir kilat di Lenggong.


11 Zulhijjah 1431H.
Mohd Rashidi Yusuf.

LENGGONG, 15 Nov-: Sepuluh keluarga terpaksa dipindah apabila tujuh kampung termasuk pekan dilanda banjir lumpur membabitkan hampir 100 rumah, sebuah masjid dan lebih 20 premis kedai selepas hujan kira-kira tiga jam sejak petang semalam.

Di Mukim Temelong, Kampung Banggol Batu dan Taman Kota Tampan paling teruk, di mana 10 daripada hampir 30 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di surau taman berkenaan selain di rumah saudara mara.

Banjir lumpur akibat limpahan air Sungai Nerok mulai jam 8.30 malam itu turut melanda Masjid Kampung Banggol Batu dan tujuh premis kedai, termasuk sebuah kedai runcit, sebuah bengkel motorsikal, sebuah kedai pakaian dan sebuah kedai makan.

Khalid Yusof, 41, terpaksa menggunakan lori jiran untuk memunggah barangan di dalam kedai seperti beras, gula, dan pelbagai barangan lain selain peti ais dan lain-lain apabila air masuk ketika hujan masih turun.

Katanya, ketika air mulai masuk dia sedang berada di rumahnya untuk mengurus air yang masuk sedikit ke dalam rumah akibat longkang melimpah dan pada ketika sama jiran memberitahu kedainya dimasuki air.

"Sebaik jiran memberitahu air mulai masuk ke dalam kedai, saya bergegas ke kedai untuk menyelamatkan barang-barang di dalamnya yang lebih penting daripada keadaan di dalam rumah.

"Nasib baik dengan pertolongan jiran-jiran peti air serta barangan di dalamnya dapat diselamatkan,' katanya.

Khalid berkata, dia bernasib baik apabila air mulai surut jam 11 malam dan walaupun air naik hingga ke paras 0.4 meter di dalam kedainya dia tidak mengalami kerugian besar.

Pemilik bengkel motorsikal, Badri Othman, 40, pula berkata, dia kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebuah mesin kompresor dan tiga buah motorsikal ditenggelami air, tidak sempat diselamatkan kerana rumahnya juga dilanda banjir.

Katanya, air naik dengan pantas, manakala dia dan keluarga terpaksa bergelut dengan banjir di rumahnya di Banggol Batu, menyebabkan bengkelnya yang terletak di Taman Kota Tampan tidak sempat diurus.

Seorang peniaga makanan, Mohd Yusri Yacob, 36, terpaksa menghentikan perniagaannya apabila air naik ketika hujan masih turun dan kemungkinan tidak dapat berniaga untuk sekurang-kurangnya dua hari.

Sementara itu, tiga sekeluarga di kampung banggol batu yang sedang menunggu rumah PPRT, bernasib baik dapat menyelamatkan barangan penting di dalam rumah sebelum berpindah ke rumah saudara di kampung sama.

Ketua keluarga, Mohd Mizi Abdul Rani, 28, berkata ketika hujan lebat sejak jam 6 petang, dia, adiknya, Mohd Radzi, 26, dan ibunya Hasnah Abdullah, 64, bergegas memunggah barang-barang penting termasuk barangan elektrik ke tingkat atas rumah.

"Air naik separas 1.5 meter di dalam rumah dan walaupun semua barang-barang sempat diselamatkan, kami tiga beranak terpaksa berpindah bimbang kalau-kalau air naik lagi," katanya.

Mohd Mizi berkata, banjir kali ini adalah yang ketiga melanda rumah mereka pada tahun ini, di mana kali kedua selepas Aidilfitri lalu sepertimana dilaporkan akhbar ini.

Di Mukim Lenggong pula, di pekan Lenggong sendiri kira-kira 10 premis kedai termasuk sebuah kedai motorsikal dan kedai mesin Singer dilanda banjir limpahan air longkang, bagaimanapun tidak ada kerosakan harta benda berlaku.

Di Kampung Sumpitan 40 buah rumah dan dua buah kedai dilanda banjir lumpur mulai lebih dua jam mulai 11 malam akibat limpahan air Sungai Temelong, bagaimanapun tidak ada mangsa dipindahkan.

Umat Islam tidak perlu bersetuju dengan Gerakan Sederhana Global Malaysia

11 Zulhijjah 1431H.
Nuruddin Muhammad

Tidak terkejut jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pada 2 November yang lalu menyatakan sokongan kepada falsafah Gerakan Kesederhanaan Global (GKM) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Hujah beliau lagi, sejarah membuktikan semua agama mempunyai golongan pelampau yang boleh mencetuskan konflik walaupun tidak berupaya menggugat kestabilan, keamanan dan demokrasi.

Memang kini, malaysia antara destinasi hab pemikiran Amerikanisasi yang mendokong tinggi cara pandang sarwa ala barat-sekular. Pertemuan demi pertemuan antara pemimpin dua negara ini cukup menjelaskan bahawa kitab sekular Amerika masih belum dikhatamkan oleh pemimpin-pamimpin tempatan kita.

PM juga ada memberi cadangan supaya diwujudkan “Pergerakan Kesederhanaan Global” adalah bertujuan mengajak pemimpin, ulama serta cerdik pandai dunia Islam tampil secara berani untuk menyuarakan pendirian secara terbuka dan tegas, sekali gus mengekang fahaman ekstremis. Cadangan ini telah disuarakan di Perhimpunan PBB di New York dan Sidang ASEAN ke 17 yang baru berlalu baru-baru ini.

Persoalannya sekarang, adakah Malaysia ingin mempopularkan aliran pemikiran baru? Dalam teks ucapan Datuk Seri Najib ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke 50 PERKIM pada 6 November, beliau mengambil PERKIM sebagai contoh kumpulan sederhana. Apakah kayu ukur sebenar gerakan sederhana yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib? Adakah cara perjuangan NGO islam atau gerakan dakwah selain PERKIM adalah ekstrim?

Perdana Menteri sendiri telah melabelkan Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana dan progresif, ketika sidang media hari terakhir lawatan kerja beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB, mesyuarat ke-2 ASEAN-Amerika Syarikat serta pertemuan dua hala dengan pemimpin asing dan rundingan bersama sektor perniagaan di New York sejak Khamis lalu. Lawatan ini disifatkan sebagai global bagi Malaysia untuk menampilkan peranan dalam isu antarabangsa seperti Islamphobia dan penyelesaian konflik antarabangsa. Dengan itu, penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global juga dilihat sebagai salah satu metod utama bagi merealisasikan ‘konsep sederhana’ yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sederhana? Adakah sama dengan konsep wasatiyah atau istilah ummatan wasatan yang Islam gariskan?

Sederhana di mata Datuk Seri Najib adalah berlawanan dengan ekstrim. Adakah ekstrim yang dikempenkan oleh kerajaan Malaysia sejajar dengan kempen Obama boleh disamakan pula dengan perbuatan ghulluw atau melampau batas di dalam Islam?

Meletakkan kayu ukur perbuatan yang melampaui batas bukanlah suatu perkara yang mudah biarpun perbuatan ini ada disebut lebih 20 kali di dalam Al-Quran. Menurut Imam Al-Qurtubi, di dalam Surah Al-Maidah, ayat 99, Allah s.w.t. telah mengharamkan sikap ghuluw dengan memberi contoh sikap Yahudi yang menuduh Maryam binti Imran berzina dan sikap Nasrani yang menganggap Maryam pula sebagai Tuhan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:

‘Wahai manusia, waspadalah kamu sekalian terhadap ghulluw di dalam Islam. Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu hanyalah sikap ghulluw dalam agama mereka.’

Ghulluw semestinya telah terpesong daripada cara pandang Islam yang meletakkan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras sesuatu perbuatan Muslim. Berlawanan pula dengan tahasul yang membawa maksud terlalu beringan-ringan dalam meletak hukum, sikap ini turut tidak berlandaskan hukum syarak hingga kelihatan memperlekehkan agama yang telah tersedia dengan rukhsahnya. Tasahul boleh membawa kepada perilaku fasiq kerana memudahkan syariah dan fatwa.

Idea yang dilontarkan Perdana Menteri kelihatannya seperti ingin menjernihkan atau membetulkan pandangan Barat yang kurang memahami Islam dan melabel Islam dengan istilah pengganas atau ekstrimis. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, seperti ada perkara yang tidak kena berlaku ketika penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, Monaco pada Ogos lalu yang telah menimbulkan bantahan dan kecaman dari ramai pihak. Festival ini dalam konteks Islam adalah memudahkan agama sehingga merosakan pandangan kaum bukan islam terhadap syariah islam. Tiada beza syariah islam dengan perilaku kaum bukan islam.
Adakah Datuk Seri Najib ingin menjustifikasikan tindakan Datin Seri Rosmah sebagai selari dengan fahaman beliau tentang konsep ‘bersederhana’ dalam Islam, Malaysia adalah negara yang sederhana atau sebenarnya disebabkan dasar ingin menjaga hati negara Barat, festival dengan pakaian sedemikian dianjurkan? Adakah ini yang dikatakan tidak ekstrim dan tidak melampau dalam beragama?

Apa yang berlaku kini, apabila berlangsungka festival Busana Muslim di Malaysia yang cukup memalukan agama, dicadangkan pula Malaysia sebagai Hab Hiburan Malam antarabangsa menunjukkan gerakan sederhana ini bukan gerakan wasatiyyah. Gerakan sederhana ini termasuk ketegori tasahul dan terkeluar daripada kayu ukur wasatiyyah-ghulluw. Ia tidak layak dibahas secara islamis melainkan menggelarkan gerakan ini sebagai gerakan sekular yang ingin menjinakkan gerakan dakwah Malaysia.

Apalah yang dipentingkan sangat dengan labelan Barat jika dibandingkan dengan tindakan umat Islam sendiri yang sanggup merendah-rendahkan martabat Islam dengan mengabaikan syarat pemakaian Islam agar sesuai dengan pakaian Barat dengan harapan Barat akan melihat Islam itu dengan cara yang lebih baik. Realitinya, pandangan Barat tetap tidak akan berubah kerana mereka sendiri yang mencipta istilah ekstrimis tersebut.

Label yang diberikan Barat tidak harus terlalu diambil berat kerana menurut catatan rasmi FBI, hanya 6% dari serangan pengganas di wilayah AS (1980-2005) dilakukan oleh mereka yang digelar 'ekstremis' Islam. Bakinya 94% berasal dari kelompok-kelompok lain (42% dari Latin, 24% dari kelompok sayap kiri ekstrim, 7% dari ekstremis Yahudi, 5% dari komunis, dan 16% dari semua kelompok lain). Data yang dikumpulkan oleh Europol lebih menguatkan bukti dengan terbitnya laporan ‘EU Terrorism Situation and Trend’. Di lama web rasmi Europol, laporan seawal tahun 1998 hingga 2010 boleh diakses dengan mudah.

Hasilnya jelas, dan tegas membuktikan bahawa tidak semua pengganas adalah Muslim. Malah, 99.6% dari serangan pengganas di Eropah dilakukan oleh kelompok-kelompok non-Muslim dan 84.8% daripadanya berasal dari kelompok yang sama sekali tidak mempunyai hubung kait dengan Islam. Maksudnya, hanya sejumlah 0.4% kes sahaja mempunyai kaitan dengan Muslim. Itupun kerana alasan tertentu seperti penindasan dan lain-lain.

Perlebalan umat Islam sering dilakukan melalui cara fikir dan pandang akademik cara barat. Fundamentalisme Islam merupakan satu terma popular dan lumrah diguna pakai sama ada di kalangan pelajar, pengkaji, sarjana, dan ulama baik di dunia Timur mahu pun Barat. Kalimah fundamentalisme Islam bukan berasal daripada dunia Islam tetapi ia diberikan oleh dunia Barat (tidak merujuk pada keseluruhan Barat) kepada penganut Islam. Istilah ini sebenarnya berasal dari bahasa Inggeris, begitu juga dengan termanya bukan berasal dari dunia Islam, ia merujuk kepada golongan Kristian, American Protestant, yang menentang dengan kekerasan pemikiran modenisme dan liberalisme, khususnya evolusionisme dan Darwinisme.

Asal-usul kelahiran dan doktrin pegangan fundamentalisme (Kristian) berkait langsung dengan sejarah dan pengalaman yang berlaku dalam agama Kristian Protestan di Amerika Syarikat. Fundamentalisme seperti yang disebutkan di atas adalah gerakan militan dan (ultra) konservatif Protestan yang muncul di Amerika Syarikat sebagai satu tindakbalas terhadap kemajuan Kristian moden dalam akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ia juga sebagai respon menentang teori evolusi dan pengkajian secara sejarah kitab Bible serta pentafsiran. Ini jelas berdasarkan petikan berikut:

‘During the 1920s fundamentalists actively fought against medernism in their churches and against evolution in their schools. They lost those battles but retreated and reorganized into a network of instituitions that has housed much of the conservative wing of American Protestantism ever since.’’

Jelas di sini, fundamentalisme dalam konteks asalnya (Kristian) merupakan satu nama yang digunakan bagi merujuk kepada satu golongan penganut agama Kristian yang muncul sebagai satu tindakbalas terhadap kemajuan Kristian moden dalam abad ke-19 terutamanya di Amerika Syarikat.

Ulama’ Islam yang tegar mempertahankan syariah secara kaffah (holistik) bukannya fundementalis. Mereka adalah pejuang ummatan wasatan yang erat menggenggam sunnah bukannya ekstrim menurut kayu ukur sekular.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng

PENGANGGURAN DAN MODAL INSAN MALAYSIA (2)

11 Zulhijjah 1431H.
Shaharul Shafie

Modal insan gagal dipupuk oleh kerajaan di kalangan majikan

Situasi di dalam sektor sumber manusia hari ini juga sedikit sebanyak tidak mempunyai ruang yang cukup untuk maju dalam kerjaya. Inilah kelemahan dasar modal insan atau ’human capital’ negara ini yang menyaksikan Malaysia telah jatuh ke belakang di dalam amalan modal insan di dalam organisasinya tidak kira awam ataupun swasta. Buktinya baru beberapa hari lalu, Kuala Lumpur dilaporkan jatuh ke tangga 48 dari tangga 40 di antara 65 bandaraya besar dunia yang dilaporkan oleh sebuah firma perunding pengurusan terkenal dunia, AT Kearney. Firma berkenaan berasa ragu-ragu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib untuk menjadikan ibu kota Malaysia ini sebagai kota berkelas dunia dengan kelemahan yang ada.

Antara penyebab utama yang menurunkan Malaysia kali ini ialah kelemahan di dalam rancangan dan pelaksanaan program modal insan (human capital planning). Malaysia ditegur kerana masih menekankan kepada pembangunan fizikal semata-mata apabila Pelan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digarapkan oleh Najib masih gagal menitikberatkan isu pekerja dan modal insan. Pada hari ini, Malaysia sudah benar-benar berada dalam keadaan kaget apabila para pekerja masih dianggap sebagai mesin atau alatan untuk sesebuah organisasi untuk tujuan membuat untung semata-mata dan bukannya sebagai aset agar bakat pekerja dapat diasuh, diberikan peluang latihan pembangunan diri, peluang kenaikan pangkat dalam kerjaya yang berpanduan dan memperolehi sistem penilaian prestasi kerja yang telus melalui KPI dan kompetensi.

Disebabkan keadaan ini, para majikan tidak berasa hairan sekiranya pekerjanya meninggalkan syarikat kerana mereka tidak rasainya sebagai satu kehilangan besar. Untuk itu mereka menumpukan Bahagian Sumber Manusia semata-mata untuk pengambilan pekerja sedangkan di negara-negara maju, kehilangan atau turnover staf adalah satu kerugian besar organisasi dan bahagian sumber manusia mereka lebih menumpukan usaha kepada modal insan terutamanya dalam merangka latihan industri, program menggalakkan pembangunan bakat (talent)dan peluang kenaikan dalam kerjaya yang menjuruskan kepada pengekalan staf di dalam syarikat. Bahagian sumber manusia mereka juga tidak lagi membuat banyak kerja-kerja sumber manusia yang dianggap ortodoks seperti pengambilan pekerja semata-mata sebagai fungsi utama mereka tetapi lebih menumpukan kepada aspek pembangunan organisasi.

Di kalangan syarikat dan firma di Malaysia, hanya yang dilihat sebagai kehilangan besar pada staf mereka yang membawa masuk wang yang banyak ke dalam syarikat sekiranya meninggalkan syarikat mereka terutamanya di sektor perbankan dan kewangan terutamanya pekerjaan berkaitan dengan pemasaran. Ini adalah kerana bentuk budaya kerja yang masih wujud di Malaysia yang hanya mementingkan wang masuk semata-mata yang mana keadaan ini pernah wujud di Amerika Syarikat lebih kurang 30 tahun yang lalu.

Apabila masa kini terus berlalu, keadaan di Amerika Syarikat dan negara-negara maju bukan sahaja mencapai negara berpendapatan tinggi, tetapi juga beralih dari mementingkan keuntungan total kepada melahirkan bakat-bakat yang terbaik di dalam industri dengan melaksanakan sistem modal insan yang menekankan kepada aset kemanusiaan untuk masa depan syarikat yang lebih bertahan lama dalam dunia persaingan. Jika kita masih pada tahap yang sama ini sehingga tahun 2020, maka Wawasan 2020 akan hanyalah satu khabar yang indah dari rupa.

Majikan masih mempunyai kuasa penentu mutlak skim gaji dan manfaat pekerja

Di Malaysia, bukan sahaja peluang pekerjaan yang semakin kurang untuk golongan yang berijazah tetapi sikap majikan yang kini mampu berkuasa mengawal dan menentukan gaji pekerja. Ini kerana mereka tidak bimbang untuk tidak mendapat pekerja baru sekiranya pekerjanya berhenti. Bagi mereka, berduyun-duyun mahasiswa yang ada di luar untuk mendapatkan pekerjaan itu walaupun dengan gaji yang rendah. Ada syarikat yang sanggup menyediakan program persaraan secara sukarela atau lebih dikenali sebagai VSS dan ada juga secara paksa atau MSS untuk menyingkirkan golongan pekerja lama yang memperolehi gaji yang tinggi. Tujuannya adalah untuk membolehkan mereka mencari pekerja muda yang boleh ditawarkan dengan gaji yang rendah.

Maka dengan itu peluang pekerja lama untuk maju ke hadapan dalam kerjaya dan mempertingkatkan kualiti hidup mereka semakin berkurangan. Selain dari kemampuan majikan menentukan gaji pekerja baru yang hanya mahu memerah habis keringat yang sebolehnya ke atas pekerja mereka dengan gaji dan manfaat pekerjaan yang rendah, inilah yang boleh ditakrifkan sebagai kegagalan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di dalam memperkasakan sistem modal insan di kalangan majikan kita. KSM perlu menyedarkan majikan-majikan di Malaysia bahawa syarat mencapai negara k-ekonomi menjelang 2020, mereka perlulah mula menganggap setiap individu yang bekerja dengan mereka adalah aset yang perlu digilap dan dijagai.

Malaysia menguar-guarkan keyakinannya di dalam media dan di meja-meja perbincangan di dalam dan luar negara bahawa kita mampu mencapai negara maju menjelang 2020. Bagi pendapat saya, Malaysia yang bakal memasuki dekad yang baru tidak lama lagi, sebenarnya amat sukar sekali untuk mencapainya. Petanda-petanda dan penanda aras ekonomi yang ada memang menunjukkan negara akan terus berkembang makro ekonominya tetapi akan sampai satu masanya akan menurun kerana golongan pekerja semakin penat bekerja, revolusi buruh akan mengambil tempat akibat mereka sedar kerajaan menyokong majikan dan produktiviti yang berkurangan beserta dengan masalah kualiti. Ini seterusnya lambat-laun akan membantutkan pembangunan ekonomi yang berterusan untuk mencapai agenda transformasi ekonomi nasional.

Bukan itu sahaja, masalah ini akan menjadi faktor penolak kepada pelabur luar negara untuk memindahkan pelaburan mereka dari negara ini dan kini perkara ini memang sudah pun mula berlaku. Maka, masalah-masalah dalaman pekerja, perkara-perkara berkaitan modal insan, pendidikan, perkongsian ilmu antara institusi akademik dan swasta perlu diberikan perhatian segera sekiranya kita masih kepinginkan status negara maju dalam masa terdekat ini.

Namun begitu, tahun 2020 yang hanya 10 tahun dari sekarang, bagi mencapainya adalah satu perkara yang mustahil buat masa sekarang. Faktor yang menyumbang kepada kemungkinan kecil bagi mencapainya adalah kerana pemimpin negara utama negara yang lebih gemar berpolitik daripada melakukan kerja yang diamanahkan rakyat untuk pembangunan negara. Mereka lebih nampak sibuk melakukan apa sahaja menerusi agenda politik untuk memastikan mereka terus berkuasa dan terus lupa bahawa mereka menerima gaji daripada rakyat pada hari ini untuk mentadbirurus negara ini supaya menjadi lebih baik.

Ingatlah! Masa tidak menunggu kita dan balaslah balik amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Tidak kira siapalah yang bakal membentuk kerajaan di masa depan, BN atau Pakatan Rakyat tetapi kepentingan negara ini adalah jauh melampaui batas politik masing-masing. Menyempurnakan amanah adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam dan ia juga dititikberatkan di dalam ajaran agama-agama yang lain.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com