Oleh : Tapai
Assalamu’alaikum w.b.t. dan Salam Reformasi,
Krisis di Perak sesungguhnya menarik perhatian dan mengundang komen bukan sahaja dari ahli politik, tetapi juga dari pelbagai pihak termasuk para bloggers, ahli akademik, professional, pelayar internet penyokong kedua-dua belah pihak dan rakyat marhaen amnya.
Di dalam artikel saya (12/05/2009), pada hari DS Nizar disiytiharkan sebagai MB Perak yang sah, saya telah menyentuh mengenai undi tidak percaya yang mungkin dibuat oleh gerombolan UBN. Soalnya apakah ia akan menjadi kenyataan?
Hari ini Tun Dr. Mahathir (TDM) juga mencadangkan agar undi tidak percaya ini dilakukan terhadap MB yang sah malah yang lucunya TDM sendiri mengakui bahawa dari pengamatan beliau UBN akan tewas sekiranya dibubarkan DUN Perak dan diadakan pilihanraya semula. Mesej yang sangat jelas di sini adalah meskipun UBN tahu mereka tidak akan disokong untuk terus memerintah negeri Perak, mereka masih ingin membolot kuasa yang tidak direstui rakyat. Jadi, apakah maksud kata-kata pemimpin mereka bahawa UBN sentiasa mendahulukan kehendak rakyat? Omong kosonglah jawapnya!!
Dalam perbincangan di Astro Awani, sdr Nobisha pula turut mengulas dengan agak bernas berkaitan isu di Perak ini. Beliau mengupas tentang perlunya politik permuafakatan menggantikan politik pertentangan. Saya menghormati pandangan idealis beliau yang dikira menarik juga yang ingin meneroka segala kemungkinan kepada langkah penyelesaian terhadap isu ini, antaranya ialah DS Nizar kekal MB kepada kerajaan minoriti, DUN bersidang bagi memutuskan kedudukan, membubarkan DUN, melalui proses mahkamah hingga selesai atau menyerahkan bulat-bulat kepada 59 ADUN menyelesaikannya kerana mereka dianggap memulakan krisis ini.
Namun secara realitinya tolak ansur sebegitu tinggi jika dilihat dari sudut politik permuafakatan masih belum wujud secara total di dalam politik Malaysia apatah lagi dengan sikap UBN terutamanya dalam isu rompakan kuasa ini. Kesinambungan kepada ulasan beliau boleh dilihat di : http://nobisha.blogspot.com/2009/05/siapa-ahli-politik-siapa-negarawan-di.html, mengundang pelbagai komen dari pengunjung blognya yang tidak kurang juga menariknya. Saya tidak hendak komen dalam blog beliau tetapi lebih selesa menulis komen saya untuk tatapan umum di sini.
Untuk itu, berbalik kepada isu undi tidak percaya tadi, mungkin sdr Nobisha dan para penjenguk blognya tertinggal sedikit fakta yang boleh dibahaskan dan tidak boleh tidak, perlu dikaitkan dengan isu undi tidak percaya terhadap DS Nizar tersebut. Ianya berkaitan kerana saya yakin ramai di luar sana berpendapat bahawa satu-satunya cara terbaik untuk menamatkan krisis ini secara tuntas adalah dengan pembubaran DUN serta mengembalikan hak demokratik pengundi di Perak. Undi tidak percaya terhadap DS Nizar tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan mengundang lebih banyak persoalan, kesangsian dan perbalahan yang mungkin hanya bakal disusuli dengan cabar mencabar di mahkamah yang berpanjangan.
Fakta yang saya maksudkan adalah persoalan, isu-isu teknikal dan perundangan yang bakal timbul seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel sebelum ini.
Samada undi tidak percaya akan berjaya menyelamatkan UBN atau tidak adalah sesuatu yang UBN sendiri belum pasti kerana sekiranya ia berlaku pun, krisis ini akan hanya berterusan disebabkan pihak PR boleh saja terus mempertikaikan di mahkamah berkaitan :
1) Kedudukan 3 ADUN (Bebas) melompat yang belum disahkan statusnya. Adakah mereka ini layak mengundi dalam DUN?
2) Kedudukan 7 ADUN BN yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Sememangnya YB Speaker tidak punyai kuasa untuk menggantung mereka tetapi jawatankuasa tersebut memilki kuasa ini. Jadi, adakah mereka ini juga masih layak mengundi dalam DUN?
3) Kedudukan Ganeson yang merupakan Speaker haram tidak layak mempengerusikan sidang DUN. Adakah “pemecatan” YB Sivakumar yang dilaksanakan sebegitu rupa dianggap sah?
4) Akan banyak lagi persoalan berbangkit yang akan mencabar keabsahan undi tidak percaya terhadap DS Nizar.
Seandainya YB Sivakumar kekal sebagai Speaker DUN dalam keadaan 10 ADUN tadi enggan mengiktiraf hukuman terhadap mereka atau status mereka, adakah YB Speaker akan menerima usul untuk undi tidak percaya ini? Sudah tentu tidak!! Sekiranya 10 ADUN tadi akur dengan satus mereka yang hilang hak mengundi, maka UBN akan akan “dilaukkan” di dalam DUN. Mereka tidak akan sekali-sekali membenarkan ini berlaku.
Penyelesaian yang paling masuk akal untuk menamatkan krisis adalah pembubaran DUN. Kini UBN sendiri sudah tidak yakin undi tidak percaya akan menyelamatkan mereka. UBN kini telah tersepit, dalam dilema dan ketakutan. Membubarkan DUN bererti mereka mungkin kalah dan kehilangan kuasa, mengadakan undi tidak percaya bakal menyebabkan mereka akan terus bergelut di mahkamah dengan PR. Sekalipun jika akhirnya mahkamah membuat keputusan menyebelahi mereka, rakyat akan amat terluka dan natijahnya akan dapat dilihat di PRU-13.
Jadi, apakah strategi pilihan UBN sekarang untuk terus bergayut di anjung kuasa di Perak? Sama-sama kita saksikan episod seterusnya.
Wassalam.