27 Mac 2013

Kanak-kanak 4 tahun ditemui lemas

15 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


lemas

Rubhamala (kanan) menunjukkan tempat anaknya hilang kepada pegawai Bomba dan Penyelamat Unit K9 bagi mencari mangsa.
lemas

Rubhamala (tengah) mengecam mayat anaknya yang hanyut kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
lemas

Som Sak (dua, kiri) memberikan penerangan kepada Kim Swee (kiri) yang melawat pusat operasi sambil diperhatikan oleh Ketua Zon Perak Selatan, Abd Samad Hashim.
BIDOR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui lemas selepas mandi bersama ibu dan rakan-rakannya di Sungai Bidor, lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, mangsa dikenali sebagai J Dinesh dipercayai lemas di sungai tersebut ketika mandi bersama ibunya, T Rubhamala, 22, di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, Dinesh bersama rakannya mandi di sungai tersebut sebelum ibunya yang memandikan adik bongsunya berusia 1 tahun menyedari mangsa hilang.

"Terkejut dengan kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu, ibunya bersama rakan mangsa cuba mencari Dinesh, namun gagal.

"Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 5.30 petang kelmarin, kami bertindak menubuhkan satu pasukan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hadir sama, Adun Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hasan; Adun Sungkai, A Sivanesan dan Pembantu Khas Penyelaras Dun Sungkai, Goh Kim Swee.

Kata Som Sak, seramai 10 anggota polis dibantu 11 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bidor menjalankan operasi mencari mangsa di sekitar Sungai Bidor.

Jelasnya, gerakan mencari menyelamat mangsa dijalankan sekitar tiga kilometer di Sungai Bidor namun, Dinesh gagal ditemui dan operasi berkenaan terpaksa ditangguhkan.

Kata Som Sak,  operasi mencari mangsa diteruskan kira-kira 8.30  pagi semalam, dengan kekuatan 32 anggota terdiri daripada polis, bomba dan Rela.

Katanya, pasukan berkenaan memperluaskan kawasan mencari sehingga 15 kilometer sepanjang Sungai Bidor bagi mengesan mangsa.

"Operasi mencari diperkuatkan lagi dengan bantuan Unit K9 Bomba dan Penyelamat bagi membantu mencari mangsa di sepanjang Sungai Bidor.

“Dengan bantuan Unit K9, kami berjaya menemui mangsa yang tersangkut pada kayu di kawasan Kampung Sungai Batu 2, dekat Bidor Station, di sini," katanya.

Beliau berkata, Dinesh ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 5.35 petang tadi telah hanyut kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Jelasnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
 

Anak berubah sikap

Sementara itu, ibu mangsa, Rubhamala berkata, sebelum mereka mahu mandi di Sungai Bidor, anaknya gembira malah tidak sabar-sabar mahu ke sana apabila dia memberitahu mahu dibawa mandi di sungai.

Tambahnya, Dinesh juga tidak sabar-sabar mahu membuka baju walaupun belum sampai Sungai Bidor kerana terlalu seronok.

"Ini adalah kali pertama kami mandi di sungai dan tidak menyangka saya akan kehilangan seorang anak.

“Sebelum ini kami tinggal di Langkap dan baru seminggu pindah di Taman Bidor Intan mengikut suami. Sejak kami sekeluarga berpindah ke Bidor, Dinesh menunjukkan perubahan sikap yang agak ketara," katanya.

Kata Rubhamala, sebelum ini, anaknya bersikap biasa jika ditegur tetapi sejak kebelakangan ini, Dinesh takut apabila dia meninggikan suara padahal dia tidak pernah seperti itu.

"Dinesh sangat rapat dengan abang dan adiknya malahan mereka sentiasa bermain bersama-sama," katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: