10 April 2013

Tidak sempat mohon maaf

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tidak sempat mohon maaf


Keadaan mayat Muniandy yang ditemui terbaring dalam keadaan tertiarap di dalam bilik rumahnya.
PARIT BUNTAR - Seorang isteri terkilan kerana tidak sempat memohon maaf serta berdamai dengan suaminya selepas satu perselisihan faham apabila


suaminya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dalam rumah mereka di Taman Seri Tenggara, di sini, petang kelmarin.



Mangsa, A Muniandy, 46 ditemui dalam keadaan tertiarap di atas lantai bilik utama dalam rumahnya dengan hanya memakai seluar pendek pada lebih kurang



jam 1.30 petang oleh isterinya, N Kasturi, 44 bersama dua anak perempuan mereka sejurus pulang ke rumah itu.



Kasturi berkata, pada malam sebelum kejadian, berlaku sedikit perselisihan faham antara dia dengan mendiang suaminya menyebabkan dia nekad meninggalkan rumah bersama dua anaknya.



Menurut Kasturi, dia bermalam di rumah ibu saudaranya di Selinsing sebelum memutuskan untuk pulang ke rumah dan berdamai dengan mendiang suaminya.



"Mulanya saya sangka suami saya pengsan dan memanggil ambulans untuk membawanya ke hospital. Namun saya terkejut apabila petugas hospital yang datang mengesahkan suami saya telah meninggal dunia.



"Kehilangan suami saya amat dirasai. Saya juga risau memikirkan masa depan dua anak perempuan kami yang masih kecil kerana pendapatan saya sebagai pekerja kilang tidak memadai untuk membesarkan mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.



Tambah Kasturi, mendiang suaminya yang hanya bergantung hidup dengan pencen ilat sejak enam tahun lalu pernah mengadu kerap sakit dada walaupun kesihatannya tidak membimbangkan sebelum ini.



Katanya, dia sekeluarga pasrah dengan kematian Muniandy dan berharap mampu meneruskan kehidupan dengan lebih cekal selepas ini.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan MAt Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.



"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan punca kematian mungkin disebabkan sakit jantung," katanya.

Sinar/-


Tiada ulasan: