09 April 2010

21 Orang Cedera Akibat Gempa Di Aceh

JAKARTA: Seramai 21 penduduk Pulau Simeulue mengalami kecederaan dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda Sinabang, Aceh, pada awal pagi semalam.

Mangsa yang cedera, akibat terkena runtuhan tiang bangunan, diberi rawatan oleh pasukan perubatan di khemah sementara di Desa Gunung Putih, Teluk Dalam, Simeuleu.

Berdasarkan maklumat agensi berita ANTARA dari Simeulue, empat daripada mangsa-mangsa itu mengalami cedera parah.

Sehingga ini, belum ada laporan kematian akibat kejadian pada pukul 5.15 pagi itu.

Timbalan Gabenor Aceh, Muhammad Nazar, telah melawat mangsa yang dirawat di pusat rawatan sementara yang terletak di kawasan terbuka sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku gempa susulan di wilayah kepulauan itu.

Muhammad Nazar dipetik sebagai berkata bekalan elektrik di kawasan Simeulue telah terputus berikutan kira-kira 30 tiang kabel elektrik tumbang di atas jalan raya.

Katanya bekalan elektrik dijangka dapat dipulihkan dalam masa beberapa hari lagi.

Gempa bumi itu merupakan yang terbesar sejak gempa bumi berkekuatan 8.9 pada skala Richter yang disertai tsunami di Aceh pada 26 Disember, 2004. Dalam kejadian 2004 itu, lebih 200,000 penduduk Aceh terkorban.-BERNAMA

Tiada ulasan: