20 April 2009

Sultan Azlan: Raja berada di atas politik

Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda di istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini, lapor Bernama.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu
berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Cari titik pertemuan

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Hak raja berpelembagaan

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan , falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak.

15 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cakap di bibir memang mudah..lidah kan tak bertulang,tapi kemelut hari ini nampaknya tiada kesudahan...undang2 dah jadi barang permainan puak tertentu...akhirnya semua orang memandang hina kepada undang2 dan institusinya..penyelesaian baliklah kepada rakyat ...biarlah rakyat yang membuat penghakimannya...hati rakyat yang ramai perlu dipuasi berbanding dari segelintir hati puak2 yang yg durjana

PenaKiri berkata...

Minta jasa baik Tuanku Sultan menjadi atau mencari orang tengah untuk berbincang.

Tuanku memang berada diatas politik dan tidak boleh berdebat secara terbuka. Tapi demi kerukunan negeri,bangsa dan agama. Maka Tuanku boleh gunakan tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran.Doronglah secara agresif agar penyesaian berlaku ibarat menarik rambut dari tepung, tepung tak berterabur rambut tak putus.

Tanpa Nama berkata...

pabila hak ditutupi bicara....andai hakiki seirama bahasa....kiranya wahyu diselami,dihayati dan dilaksana.....

Tanpa Nama berkata...

So, what is the solution.
Simple and we don't have to go around the bushes - just bubarkan DUN Perak.
DAULAT TUANKU, Daulat Tuanku, DAULAT TUANKU...

Tanpa Nama berkata...

rakyat bnyk x puas hati satu cara bubarkan DUN , apala susah sgt

muslimah80 berkata...

Salam ...

Setuju dengan cadangan penakiri ... semoga Baginda Sultan ambil berat pasal kemaslahatan rakyat bukan nya puak2 tertentu sahaja yang menjadi penghasut dan perosak bangsa ... wallahu a'lam

Hamba Miskin berkata...

Salam..tumpang iklan. Bibik ini sudah melampaui batas manusia!! Masuk sini --> www.dzulhaqq.blogspot.com Sebarkan!!

Tanpa Nama berkata...

Harap ini semua menjadi peringatan dan iktibar kita orang2 melayu khususnya dan rakyat malaysia amnya..terutama parti2 politik di luar sana..semoga Allah swt sentiasa melindungi kita umat islam.

Tanpa Nama berkata...

Apa lagi bubarkan DUN .. sekarang ni nampak Raja berat sebelah UMNO... buktikan Raja bijak memerintah...

Tanpa Nama berkata...

Salam tuanku... hamba hanya rakyat biasa yg hanya inginkan keadilan. Hamba x minta ditimang, x minta di puji. Cukuplah sekadar tuanku pertimbangkan keadilan yg saksama. Janganlah ada keputusan yg dilihat hanya untuk menguntungkan sebelah pehak. Adakah hanya mereka saja rakyat tuanku? saya ni bkn rakyat tuankukah?

allenhash berkata...

Ampun Tuanku,
Oleh yang demikian, sayugia diingatkan agar Tuanku act accordingly...Raja Berpelembagaan, Raja yang menegakkan Perlembagaan bukan Raja yang memijak-mijak Perlembagaan...

Tanpa Nama berkata...

Raja adil Raja dijunjung,ditaati ,(bukan disembah)yang layak disembah hanya ALLAH S.W.T.
Raja zalim Raja disanggah.
Oleh itu buktikanlah Tuanku raja yang adil lagi bijaksana.
Daulat tuanku.

Suhaimi Said berkata...

Baginda tak sentuh pun siapa yang menarik kuasa Raja dan Imuniti Raja. Agaknya, kalau UMNO yang derhaka, that's alright!

alamalikut berkata...

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.
Ungkapan menyindir namanya ni.... sebelum itu eloklah kita lihat lihat dulu data yang sah tentang berapa banyak bumi malaysia ini telah tergadai kepada bangsa asing. Kalau dah ada data tersebut, kaji pula siapa,parti mana,pemerintah mana yang telah mengadaikan bumi ini... ckp berbidalan ni bunyinya sedap, satu jari tunjuk org empat lagi tunjuk muka sendiri... rakyat adalah kuasa.. letih penat kami rakyat membangunkan negara ini, kalian hanya dudok senang lenang... rakyat yang bagi kamu makan, kalau ada sezarah sekali pun yang kalian makan hasil dari titik peluh aku... dunia khirat aku tidak izinkan.

yopnph berkata...

peringatan untuk semua parti politik,tapi sejarah tercatit bahawa parti UMNO telah memulakan dari tahun 90 hingga sekarang,raja raja telah dihina oleh juak juak umno dan ada raja dipertikaikan kedudukan sehingga sangup menabalkan raja diktan dekat ketereh,tapi kini mereka ini ingin menjadi jaguh konon mempertahan raja,pakatan rakyat harus ambil peringatan jangan ikut cara puak umno ni....ingat kebenaran akan terbukti juga.daulat tuanku.