17 April 2013

Calon BN Manjoi ahli PAS

6 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan calon BN di Dun Manjoi yang diisytiharkan oleh Pengerusi BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir semalam adalah ahli PAS.


(Raja Ahmad dalam sidang media hari ini)

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, calon tersebut, Muhammad Ziad Zainal Abidin, 38,  telah menyertai PAS pada tahun 1997.

Katanya, sehingga hari ini, menantu kepada Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali itu tidak pernah mengumumkan dirinya keluar daripada parti.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat ahli serta penyokong Umno di Manjoi tidak mengetahui tentang identiti Ziad termasuklah dirinya pernah menyertai parti lawan.

Zaid katanya dikatakan baru aktif di bahagian Tambun dan baru sahaja dilantik sebagai bendahari bahagian tersebut.

“Persoalan timbul, adakah beliau sudah keluar daripada PAS?,” soal beliau ketika sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor, Safarizal Saleh dan Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak menjelaskan, pencalonan Ziad seolah-olah BN Perak ketandusan calon yang ‘winnable candidate’ dari kalangan ahli serta pimpinannya.

Jelasnya, pihaknya turut mempersoal adakah BN Perak khasnya telah menyemak latar belakang calon-calonnya sebelum mereka diberikan tanggungjawab sebagai calon.

Ketika ditanya penglibatan Ziad di dalam PAS, Raja Iskandar berkata, beliau tidak memegang mana-mana jawatan tetapi beliau banyak membantu gerak kerja parti termasuklah ketika pilihanraya 2008 yang lalu.

Ujarnya, Ziad telah mendaftar keahliannya pada 5 Oktober 1997 dengan kaedah daftar terus bernombor 0441563.

“PAS Perak mengalu-alukan pencalonan Ziad sebagai calon dan kami mengucapkan maju jaya kepada beliau dalam pilihanraya ini,” jelasnya lagi.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang lah dia ni nak islam tu yg dia nak jadi ahli sbb pas guna nama islam...tapi bila dia lihat sekarang pas dah terpesong jauh dari landasan islam...kalau yg nak islam hanya individu tapi parti memang tak bercirikan islam...tambah lg yg kepimpinan dlm pas dah tak berakhlak,tak jaga syariat...hanya sebut islam je tapi amalannya dlm kehidupan ramai yg rosak....-ahli pas yg frust